Categories
AGENSI SELANGOR

B40 hilang kerja boleh mohon bantuan LZS hingga esok

SHAH ALAM, 9 DIS: Permohonan bantuan Zakat Selangor Peduli (ZSP) buat golongan berpendapatan rendah (B40) yang hilang kerja dan terjejas pendapatan akibat Covid-19 dibuka hingga esok.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata pemohon mestilah warganegara, menetap di negeri ini sekurang-kurangnya tiga tahun dan tidak berdaftar dalam senarai asnaf bawah agensi itu.

“Permohonan ditutup pada 10 Disember. Mohon sekarang di laman web rasmi LZS www.zakatselangor.com.my,” katanya di Facebook.

Bantuan sekali bayar yang boleh dimohon sejak 23 November dijangka memanfaatkan 15,000 keluarga.

Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bawah ZSP yang menyediakan 19 inisiatif bantuan dan memanfaatkan 59,322 penerima serta 431 institusi di Selangor.

Selain bantuan kepada B40, seramai 7,000 pelajar asnaf fakir, miskin dan mualaf yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia menerima sumbangan tablet berserta data internet.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS peduli nasib 59,000 individu, institusi terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 4 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperluas skop bantuannya kepada golongan rentan, kumpulan B40 dan M40 serta membantu pemulihan institusi yang terkesan akibat Covid-19 melalui program Zakat Selangor Peduli.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata sejak diperkenalkan pada 2 Julai lepas, Zakat Selangor Peduli memperuntukkan RM69.3 juta bantuan bagi diagihkan kepada 59,000 penerima dan 431 institusi sehingga akhir tahun ini.

“Sehingga Oktober lepas, LZS berjaya mengagihkan RM56.6 juta atau hampir 82 peratus peruntukan zakat kepada golongan yang memerlukan melalui program Zakat Selangor Peduli,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Zakat Selangor Peduli melibatkan 19 inisiatif dengan empat agenda utama iaitu memenuhi keperluan fakir miskin, meringankan beban golongan rentan, pemulihan institusi agama dan membantu petugas barisan hadapan.

Bagi golongan rentan yang terkesan Covid-19 seperti B40 dan M40 hingga menyebabkan mereka diberhentikan kerja atau dikurangkan gaji, bantuan zakat sebanyak RM500 yang disasarkan kepada 15,000 penerima di bawah Zakat Selangor Peduli boleh dimohon secara dalam talian.

Mohd Sabirin berkata sejak Julai hingga Oktober lepas, LZS membantu 95 maahad tahfiz dan 15 sekolah agama melibatkan peruntukan RM900,000 untuk kos penyelenggaraan selepas dihentikan operasi akibat Covid-19 kerana perlu membayar sewa premis serta hutang utiliti yang tertunggak.

Pada masa yang sama LZS juga menyumbang RM300,000 bagi mengimarahkan 60 masjid dan menyalurkan RM112,700 untuk peruntukan sanitasi dan baik pulih 28 masjid serta surau.

Beliau berkata agenda Zakat Selangor Peduli yang seterusnya ialah menyokong petugas barisan hadapan dengan menyediakan program sumbangan peralatan hospital seperti alat pelindung diri, peralatan pengurusan jenazah Covid-19 kepada pusat penilaian Covid-19, pusat pemberian vaksin dan juga sumbangan makanan kering.

Bagaimanapun, Mohd Sabirin berkata LZS kekal dengan agenda utamanya iaitu menyantuni asnaf fakir dan miskin termasuk bantuan zakat seperti kewangan dan makanan bulanan, bantuan tempat tinggal, bantuan pendidikan untuk anak-anak asnaf dan pelbagai lagi.

Katanya terdapat segelintir golongan beranggapan memandangkan LZS berjaya memperoleh kutipan tertinggi di Malaysia tahun lalu iaitu RM913 juta, maka mereka memilih untuk membayar zakat di negeri lain sedangkan hakikatnya keperluan bantuan agihan di Selangor sangat tinggi sekarang.

“Selangor sehingga kini, hanya ada lebih kurang 350,000 termasuk individu dan organisasi yang membayar zakat dan ia jauh berbeza jika dibandingkan 3.7 juta penduduk Islam Selangor yang membayar zakat fitrah,” katanya sambil mengajak orang ramai untuk menunaikan satu daripada rukun Islam yang lima itu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 5,000 mohon bantuan RM500, LZS masih buka pendaftaran

SHAH ALAM, 13 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima hampir 5,000 permohonan bantuan sekali bayar RM500 menerusi program Zakat Selangor Peduli (ZSP) setakat kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata jumlah berkenaan diterima pihaknya selepas permohonan dibuka secara dalam talian sejak 2 Julai lepas.

“Sehingga 11 Julai 2021, LZS menerima hampir 5,000 permohonan ZSP. Buat masa ini, permohonan masih lagi dibuka sehingga peruntukan yang disediakan dipenuhi.

“Pada masa sama, LZS giat mencari penerima bersasar dengan kerjasama persatuan-persatuan untuk memohon ZSP,” katanya ketika dihubungi.

Pada 7 Julai, LZS mempelawa golongan berpendapatan rendah (B40) yang terkesan akibat Covid-19 memohon bantuan sekali bayar berjumlah RM500.

Saipolyazan berkata pihaknya memperuntuk sejumlah RM10.5 juta bagi tujuan tersebut yang dijangka memberi manfaat kepada 15,000 individu dan ketua keluarga yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan akibat pendemik.

Permohonan dibuka secara dalam talian menerusi laman web http://www.zakatselangor.com.my.