Categories
AGENSI SELANGOR

Zakat Selangor buka permohonan bantuan untuk pelajar IPT hingga 20 Februari

SHAH ALAM, 24 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka permohonan Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mulai hari ini.

Agensi itu memaklumkan permohonan sumbangan pendidikan itu dibuka selama sebulan sehingga 20 Februari depan.

“Alhamdulillah, berita baik ini buat semua pelajar IPT dalam dan luar negara untuk memohon dana ini. Dana ini adalah secara one-off bagi setiap peringkat pelajaran,” katanya menerusi Facebook hari ini.

LZS turut mengingatkan pemohon membaca syarat-syarat terlebih dahulu sebelum mengisi butiran kerana hanya sekali sahaja permohonan dibenarkan.

Agensi itu memaklumkan permohonan boleh dibuat menerusi dalam talian di www.zakatselangor.com.my/spzas

Menerusi perkongsian infografik, LZS menjelaskan sumbangan dibawah peruntukan asnaf fisabilillah itu adalah RM700 bagi pelajar dalam negara dan RM2,500 untuk pelajar luar negara.

Antara syarat permohonan individu itu perlu beragama Islam, warganegara Malaysia, ketua keluarga/penjaga lahir di Selangor atau bermastautin dan menetap di negeri ini tidak kurang tiga tahun.

Permohonan dibuka kepada pelajar semester dua dan keatas bagi IPT dalam negara dan bidang pengajian Islam serta perubatan peringkat Sarjana Muda bagi mereka yang belajar di Mesir, Jordan dan Maghribi.

Selain itu, pendapatan seisi rumah hendaklah melebihi garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf, namun jumlah lebihan tersebut tidak melebihi RM5,000 bagi dalam negara dan RM7,000 luar negara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bantuan banjir: LZS buka permohonan fasa dua, lebih 23,000 keluarga terima manfaat

SHAH ALAM, 17 JAN: Lebih 23,000 keluarga menerima bantuan banjir melalui program Lembaga Zakat Selangor (LZS) Peduli setakat 13 Januari.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan masih meneruskan proses permohonan yang dibuka sejak 20 Disember tahun lalu bagi meringan beban mangsa banjir di negeri ini.

“Kami masih meneruskan proses permohonan LZS Peduli bagi meringankan beban mangsa banjir besar di Selangor. Kerjasama dan kesabaran anda amat dihargai,” katanya.

Pada 10 Januari lalu, agensi itu memaklumkan seramai 22,500 mangsa banjir negeri ini menerima bantuan fasa satu melalui LZS Peduli antara 28 hingga 31 Disember lalu.

Permohonan fasa dua bantuan sama dibuka antara 1 hingga 31 Januari bagi memberi peluang kepada mangsa yang tidak sempat berbuat demikian.

Mangsa banjir boleh membuat permohonan boleh dibuat melalui pautan www.zakatselangor.com.my/lzspeduli manakala manual dikhususkan kepada warga emas tidak mahir teknologi.

LZS mengumumkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan mangsa banjir selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Warga emas OKU, pesakit buah pinggang syukur LZS tanggung kos baiki rumah

SHAH ALAM, 12 JAN: Tiada apa mampu diungkapkan selain rasa syukur seorang warga emas kelainan upaya (OKU) apabila rumahnya yang rosak teruk akibat banjir bulan lepas akan dibaik pulih.

 

Sewah Samidjo

Sewah Samidjo, 64, yang kudung kedua-dua belah kaki sejak lahir terharu atas komitmen Lembaga Zakat Selangor (LZS) membaiki kediaman dihuni lebih 20 tahun lalu dekat Kampung Bukit Lanchong di sini.

Lebih menggembirakan bapa dua anak, pembaikan rumah dijangka bermula bulan depan akan mengikut spesifikasi yang lebih mesra OKU sekali gus memudahkan pergerakannya dengan kerusi roda.

“Syukur sangat-sangat sebab mereka (LZS) nak baiki semula. Kalau ikutkan memang tak mampu  guna wang sendiri untuk buat semua ini, keadaan rumah pun sangat kritikal akibat ditenggelami air.

“Sebagai asnaf fakir yang berdaftar dengan LZS sejak sekian lama, saya akui bantuan amat mudah diperoleh kerana paling penting kena ikut prosedur.

“Saya berterima kasih kepada LZS yang selama ini banyak membantu dari segi ubat-ubatan, kerusi roda, makanan asas, wang belanja dan sekarang baik pulih rumah pula,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sewah antara 25 asnaf fakir di kampung berkenaan yang dikenal pasti layak mendapat bantuan baik pulih rumah pascabanjir.

Abdul Rahman Othman

Sementara itu, Abdul Rahman Othman, 53, berharap baik pulih rumah disegerakan demi keselesaan keluarga terutama isterinya Rosidah Dahlan, 53, yang menderita sakit buah pinggang sejak lima tahun lepas.

Bapa lima anak berkata tragedi 18 Disember lalu akan terus terpahat dalam ingatan berikutan seluruh harta benda termasuk 36 kotak ubat isterinya hanyut dibawa arus banjir.

“Penderitaan dialami kami hanya tuhan yang tahu. Saya terpaksa mencari tangki hitam besar untuk meletakkan isteri kerana dia kurang sihat sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah 2.

“Alhamdulillah, sekarang semuanya dalam keadaan baik cuma rumah kami masih serba kekurangan dan kalau boleh dibaiki dengan cepat lagi bagus,” katanya

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Nyaris dipatuk ular tedung, wanita lega LZS baik pulih rumah sepupu bisu

SHAH ALAM, 12 JAN: Nasib sepasang adik-beradik bisu yang nyaris dipatuk ular tedung ketika banjir melanda Kampung Bukit Lanchong di sini bulan lepas mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kediaman Robaiyah Mohamad, 65, dan Rohani Mohamad, 58, yang rosak teruk akibat bencana akan dibaik pulih sebaik proses bancian selesai dijalankan agensi berkenaan dijangka pada Februari ini.

Suhaina Samsudin

Sepupu mereka, Suhaina Samsudin, 38, berkata dia bersyukur kerana rumah didiami kedua-dua wanita terbabit sejak lebih empat dekad akan dibaiki terutama siling dari ruang dapur yang dipercayai menjadi laluan masuk haiwan berbisa itu.

“Saya simpati dengan kehidupan sebatang kara mereka. Bila dapat tahu rumah ini akan dibaiki saya rasa lega sangat dan tak perlu bimbang untuk tinggalkan mereka memandangkan saya duduk jauh.

 

“Risau juga sebab ketika banjir baru-baru ini, dua ekor ular tedung hitam masuk ke rumah dan mereka berdua hampir dipatuk. Syukur tiada apa-apa kerana mereka cepat-cepat keluar selamatkan diri dalam limpahan air banjir,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Terdahulu, Robaiyah dan Rohani antara 25 asnaf fakir di kampung berkenaan yang dikenal pasti layak mendapat bantuan baik pulih itu selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop hari ini.

Bercerita lanjut, Suhaina yang saban bulan berulang-alik dari Cheras ke Bukit Lanchong sejak 2010 untuk melawat sepupunya itu berkata buat masa ini dia memilih untuk tinggal bersama mereka bagi mengurus bantuan diterima pihak tertentu.

“Kita pun faham keadaan mereka yang tidak boleh bercakap, Jadi, kena ada orang yang boleh bantu lebih-lebih lagi untuk terjemahkan setiap mesej ingin disampaikan mereka,” katanya.

Menurutnya, semasa zaman kanak-kanak sepupunya itu tinggal di hutan bersama keluarga selain tidak bersekolah dan bergaul dengan masyarakat luar.

“Masa mereka banyak dihabiskan dalam hutan. Seingat saya, pada usia belasan tahun baru mereka berpindah ke sini bersama ibu bapa termasuk dua beradik lain.

“Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa mereka dan kakak sudah meninggal dunia manakala adik lelaki menghilangkan diri sehingga sekarang. Jadi, kehidupan mereka amat susah,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pascabanjir: Zakat Selangor bina semula 32 rumah, anggaran kos RM93,000 seunit

SHAH ALAM, 12 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) bercadang membina semula 32 rumah asnaf fakir dan miskin yang terjejas banjir bulan lalu manakala 150 rumah lagi dibaik pulih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata kos pembinaan setiap rumah dianggar mencecah RM93,000 manakala maksimum RM31,500 untuk baik pulih kediaman mengikut jenis kerosakan.

Menurutnya kerja membina semula dan membaik pulih rumah dilakukan selepas proses bancian dan semakan kelayakan yang dijangka selesai pada Februari ini.

“Buat sementara waktu, mangsa terjejas ditempatkan di rumah sewa yang dibiayai sepenuhnya oleh LZS supaya mereka boleh meneruskan kehidupan sehingga kerja pembinaan dan pembaikan selesai.

“Insya-Allah, program bantuan seperti ini berterusan sehingga akhir tahun. Kita bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta jawatankuasa bencana untuk mengesan mereka memerlukan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas turun padang bagi program bancian dan semakan kelayakan di Kampung Bukit Lanchong dekat sini.

Mengulas keadaan rumah di Kampung Bukit Lanchong, Saipolyazan berkata sebanyak 75 rumah di kawasan terbabit dikenal pasti Penolong Amil Kariah dalam program berkenaan meliputi 25 asnaf dan selebihnya bukan asnaf.

“Aktiviti turun padang merupakan serampang dua mata bagi memastikan keluarga bukan asnaf yang dikenal pasti dapat dibanci.

“Keluarga terbabit akan didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin sekiranya layak serta memenuhi had kifayah. Jika sebaliknya, kita akan serah maklumat mereka kepada agensi lain untuk tindakan,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bilangan asnaf dijangka meningkat, pastikan tiada golongan cicir bantuan

SHAH ALAM, 17 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan jumlah asnaf negeri ini meningkat sehingga 70,000 individu pada tahun hadapan.

Ketua Divisyen Operasi Bahagian Asnaf Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata anggaran itu bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 selain tahap pertumbuhan ekonomi ketika ini.

“Pada 2019 bilangan asnaf antara 54,000 hingga 56,000 orang. Jumlah meningkat pada 2020 kepada 58,000 selepas wabak dan mencecah 64,000 tahun ini.

“Pandemik memang beri kesan kepada asnaf sedia ada malah yang bukan fakir sebelum ini jatuh ke kategori itu (akibat Covid-19) disebabkan hilang pekerjaan dan perniagan tidak sebaik sebelum ini,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Pedulikah Zakat Selangor? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam ini.

Sebagai persediaan menghadapi peningkatan jumlah terbabit, Mohd Sabirin berkata LZS melaksanakan beberapa langkah kawalan bagi mengelakkan sebarang isu.

“Pertama kita akan fokuskan kepada empat golongan asnaf iaitu fakir, miskin, amil dan mualaf dengan peruntukan 70 peratus kutipan khas untuk kumpulan ini, kita tidak mahu ada tercicir terima bantuan.

“Kedua kita ikut maqasid syariah iaitu dahulu bantuan keperluan hidup seperti makanan dan tempat tinggal. Barulah kita beri bantuan lain seperti pendidikan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: 70,528 pelajar asnaf terima bantuan yuran, kelengkapan sekolah

SHAH ALAM, 19 FEB: Seramai 70,528 pelajar asnaf telah menerima bantuan yuran dan kelengkapan sekolah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan yang membabitkan RM34.6 juta itu meliputi pakaian seragam, kasut, stoking, beg dan alat tulis.

“Semoga usaha LZS ini disambut baik dan memanfaatkan keluarga-keluarga yang memerlukan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Md Yusop berkata bantuan persekolahan kepada anak asnaf fakir dan miskin di negeri ini meningkat daripada 65,000 penerima pada tahun lalu kepada lebih 70,000 tahun ini.

Menurut Saipolyazan, bantuan yuran persekolahan bermula dari RM100 hingga RM250 seorang bergantung kepada tahap persekolahan mereka.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS: Warga emas tinggal di surau dapat bilik sewa

SHAH ALAM, 13 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan bilik sewa buat seorang warga emas yang didapati hampir empat tahun hidup menumpang di surau.

Agensi itu menerusi kenyataan berkata bayaran sewa bulanan ditanggung LZS sementara badan bukan kerajaan (NGO) menyediakan perabot bilik tidur buat lelaki berkenaan.

“Difahamkan, pakcik berkenaan menumpang teduh di surau dan menjual dadih demi kelangsungan hidup hanya kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak.

“Sebenarnya sudah beberapa kali pakcik berkenaan dipujuk untuk berpindah daripada surau, tetapi ditolak dan akhirnya beliau berjaya dipujuk untuk berpindah ke bilik sewa di Seksyen 17, Shah Alam,” katanya.

LZS juga memaklumkan usaha itu turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Kemasyarakatan Asnaf Seksyen 7 dan sebuah televisyen swasta.

“Terima kasih pembayar Zakat Selangor kerana wang zakat yang anda tunaikan dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

65,000 asnaf, fakir, miskin dibantu LZS tahun ini

HULU LANGAT, 20 NOV: Seramai 65,000 golongan asnaf, fakir dan miskin di negeri ini dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada tahun ini.

Ketua Operasi Agihan Hulu Langat LZS, Mohd Aqmal Jais berkata, daripada jumlah itu, 9,197 penerima adalah dari Hulu Langat.

Katanya, jumlah itu mungkin akan meningkat dari semasa ke semasa dan bergantung kepada kerjasama pihak Skuad Jejak Kemiskinan setiap daerah, pemimpin setempat dan masyarakat.

“Alhamdulillah, sehingga kini kita menerima kerjasama baik daripada pihak mereka dan sebaik aduan diterima LZS komited turun padang bagi membantu golongan ini.

“Malah, sumbangan ini juga antara usaha LZS dalam memastikan mereka yang memerlukan tidak tercicir malah sentiasa disantuni,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah Agensi Lembaga Zakat Selangor bersama Tenaga Nasional Berhad cawangan Cheras di daerah Hulu Langat, di sini, hari ini.

Mohd Aqmal berkata, aktiviti rutin turun padang itu bertujuan menyelami kelangsungan hidup asnaf selain melihat keperluan lain yang layak disantuni LZS.

“Aktiviti ziarah asnaf, fakir, miskin ini juga memberi ruang untuk LZS beramah mesra dan mendekati golongan ini selain mendapatkan maklum balas secara terus berkenaan keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor,” katanya.

Katanya, LZS akan memberi bantuan dari segi kewangan, makanan, pendidikan, sewa rumah dan membantu dalam soal pembangunan pendidikan.

Pada masa sama, beliau berkata, kerjasama masyarakat yang mempunyai maklumat mana-mana individu yang memerlukan bantuan diminta terus melaporkan ke cawangan LZS berhampiran.

“Tunailah zakat di Lembaga Zakat Selangor, saya yakin zakat anda akan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kutipan zakat di Selangor hanya untuk umat Islam

SHAH ALAM, 4 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa kutipan zakat di negeri ini hanya diagihkan kepada lapan golongan asnaf, termasuk asnaf fakir, miskin dan mu’allaf (saudara baru) dari kalangan umat Islam sahaja.

Titah baginda, walaupun agama Islam adalah agama yang menekankan sifat perikemanusiaan namun agihan zakat yang diperolehi daripada umat Islam terutama yang miskin dan memerlukan bantuan terlebih dahulu.

“Seperti yang kita sedia maklum, tanggungjawab membayar zakat adalah merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam.

“Berkaitan dengan isu agihan zakat ini, baginda mendapat nasihat daripada Mufti Selangor bahawa agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan hanya sekiranya ianya menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam di bawah asnaf Mu’allafati Qulubuhum,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulitnya.

Baginda bertitah, masih ramai orang Islam yang miskin di luar bandar dan juga miskin bandar yang perlu dibantu menggunakan hasil kutipan zakat.

Titahnya, hal itu kerana di Negeri Selangor, majoriti rakyatnya beragama Islam dan jumlah penduduk Islam semakin bertambah setiap tahun.

“Bagi orang-orang miskin yang bukan beragama Islam adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu dan menolong mereka menerusi jabatan dan agensi yang telah ditetapkan,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda juga ingin mengingatkan bahawa fungsi zakat dan cukai pendapatan adalah berbeza.

Justeru, baginda diharap masyarakat dapat memahami dengan jelas tujuan setiap badan itu ditubuhkan.

“Baginda juga mahu isu pengagihan zakat ini tidak lagi diperdebatkan secara terbuka di media massa.

“Baginda juga menyeru agar tiada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan isu berkaitan dengan agama Islam untuk meraih populariti, atau untuk mengambil hati mana-mana pihak tertentu,” titah baginda.

Terdahulu, terdapat laporan akhbar yang tular di media sosial baru-baru ini yang memetik kenyataan dua orang mufti dan seorang ahli politik yang menyentuh tentang agihan wang kutipan zakat kepada orang bukan Islam di negara ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Zakat Selangor tanggung rumah sewa anak yatim piatu

SHAH ALAM, 21 OGOS: Lembaga Zakat Selangor menanggung sepenuhnya bayaran rumah sewa dua beradik yatim piatu selepas mereka tiada tempat bergantung ekoran kematian ibu dan bapa.

Zakat Selangor dalam kenyataan berkata, sebelum ini mereka berdua hanya menumpang kasih dan menetap di rumah bekas anak murid arwah ibu-bapa mereka.

“Difahamkan arwah ayah dan ibu mereka sebelum ini mengajar di sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta sebagai pensyarah pengajian Islam.

“Kedua-dua beradik itu sudah terkapai menguruskan kehidupan mereka selepas wang simpanan orang tua mereka habis digunakan bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, kedua-dua anak yatim berkenaan disahkan layak di bawah asnaf fakir.

Katanya, selain menguruskan bantuan rumah sewa, Zakat Selangor juga menghulurkan bantuan lain seperti kewangan bulanan dan pendidikan.

“Zakat Selangor akan terus membantu mereka dan marilah kita doakan semoga ALLAH kurniakan kekuatan dan permudahkan urusan mereka,” katanya.

‘Tak guna hasil kutipan zakat tinggi, tapi rakyat menderita’


MB : Jangan bangga hasil kutipan zakat tinggi jika ia tidak mampu mengupayakan umat Islam terutama golongan asnaf.