Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS bantu mantan imam terlantar sakit saraf

SHAH ALAM, 24 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini menyerahkan lampin pakai buang, susu dan bekalan ubat kepada bekas imam Masjid Munawwarah Blok S di Tanjong Karang.

Melalui kenyataan di Facebook, agensi itu turut menyerahkan katil baharu kepada Mohd Sidek, 74, yang terlantar sejak setahun lalu akibat sakit saraf dan kencing manis.

“Beliau berkhidmat sebagai imam dua di masjid tersebut sejak 10 tahun lalu dan kini dijaga oleh anak serta menantunya,” tulis LZS.

Agensi itu turut berterima kasih kepada pembayar zakat negeri ini bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan.

Bayaran zakat boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://fpx.zakatselangor.com.my.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Mufti Selangor: Sah bayar zakat guna Shopee, ikut hukum syarak

SHAH ALAM, 25 DIS: Pungutan zakat melalui platform e-dagang Shopee sah pada sisi agama dan tidak melanggar hukum syarak, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid menjelaskan syarikat itu tidak dilantik sebagai amil, sebaliknya hanya ejen kutipan bagi memudahkan urusan bayaran zakat.

Beliau berkata proses tersebut juga tidak melibatkan sebarang urusan akad yang wajib diuruskan oleh amil beragama Islam sahaja.

“Hanya kaedah pembayaran mereka (Shopee) sahaja digunakan bagi memudahkan proses zakat kerana masyarakat kini lebih selesa menggunakan transaksi dalam talian.

“Saya difahamkan upah syarikat itu dibayar oleh amil dan bukan ambil 1/32 atau 1/16 dari jumlah (zakat) dikutip mereka,” katanya kepada SelangorKini sambil menambah bayaran zakat tetap sah tanpa lafaz akad.

Kenyataan itu susulan pertikaian Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia semalam berhubung peranan sebenar Shopee di sebalik proses memungut zakat.

Presidennya Zamihan Mat Zin turut mempersoal kadar upah diterima portal tersebut, sama ada ia menguntungkan mana-mana pihak atau tidak.

Bermula 18 Disember, Lembaga Zakat Selangor melantik syarikat e-dagang terkemuka itu sebagai ejen kutipan zakat bagi memudahkan urusan umat Islam negeri ini.

Kaedah sama turut dilaksana pusat pungutan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Kutipan zakat dijangka susut tahun depan, asnaf terkesan – LZS

HULU LANGAT, 6 DIS: Jumlah kutipan zakat pada tahun depan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dijangka menyusut, berikutan banyak perniagaan mengalami kerugian dan ada antara individu dihentikan kerja kesan daripada pandemik Covid-19.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Abdul Basith Hamid berkata situasi itu secara tidak langsung memberi kesan kepada jumlah peruntukan untuk disalurkan kepada golongan asnaf.

“Kutipan tahun ini mencapai sasaran, tapi lebih merisaukan pada tahun depan kerana pengeluar zakat utama adalah individu yang membuat potongan gaji bulanan dan zakat perniagaan, jika kedua-duanya terkesan, ia akan memberi impak pada kutipan zakat 2021.

“Daripada segi agihan pula, mereka yang membayar zakat juga ada potensi menjadi penerima zakat. Namun mungkin ada kaedah lain yang dapat memastikan agihan zakat dapat diteruskan, katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Beliau ditemui ketika menziarahi sebuah keluarga enam adik-beradik yang menjadi yatim piatu, selepas ibu mereka Rosni Abd Razak, 44, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pada 28 November lepas.

Dalam pada itu Abdul Basith berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor susulan gelombang ketiga pandemik Covid-19, lebih 5,000 permohonan baharu zakat diterima pihaknya.

“Sebelum ini pemohon mempunyai kerjaya dan mereka adalah pengeluar zakat, namun akibat Covid-19 ada antara mereka hilang pekerjaan, sumber perniagaan terjejas, dan gaji dipotong,” katanya.

Sementara itu dalam kunjungan itu LZS menghulurkan sumbangan berbentuk khairat kematian, bantuan keperluan sekolah dan harian, bagi meringan beban enam adik-beradik yang berusia dalam lingkungan antara 13 hingga 25 tahun itu.

Anak kedua, Mohd Amirul Azri Faizul, 22 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata dia ada menyimpan niat membawa Allahyarham ibunya untuk menunaikan umrah pada masa depan, namun hajatnya tidak kesampaian.

“Kami adik beradik amat terasa kehilangan mak, dia pergi terlalu cepat. Sekarang tumpuan saya ialah menjaga adik-adik lain yang masih bersekolah,” katanya yang sekarang tinggal di rumah neneknya.

-BERNAMA

 

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

PKPB: MAIWP sedia RM9.5 juta Bantuan Zakat Kecemasan

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM9.5 juta bagi Bantuan Zakat Kecemasan kepada golongan yang terjejas, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

MAIWP dalam satu kenyataan menyatakan dua syarat utama permohonan ini adalah pemohon yang tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, serta pemohon bukan penerima Bantuan Kewangan Bulanan Baitulmal MAIWP.

“Mereka yang menjadi tumpuan (bantuan) kali ini ialah pemandu teksi atau e-panggilan, pengawal keselamatan, peniaga kecil, mereka yang hilang pekerjaan akibat Covid-19 dan lain-lain yang terkesan akibat wabak itu.

“Mereka yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM500 dan akan disalurkan sebelum 31 Disember ini,” menurut kenyataan tersebut.

Orang ramai boleh membuat permohonan bantuan yang dibuka secara dalam talian menerusi pautan ebaitulmal.maiwp.gov.my/ez-zakat mulai 16 hingga 27 November.

Menurut kenyataan itu lagi, Bantuan Zakat Kecemasan bukan kali pertama diluluskan, malah telah mula dibuka semasa PKP pertama pada Mac lalu, dengan RM10 juta telah diperuntukkan serta membantu seramai 23,340 orang.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM23 juta

SHAH ALAM, 6 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada sembilan syarikat korporat bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM22,973,247.69 di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Syarikat berkenaan ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), UMW Holdings Berhad, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Bank Kerjasama Rakyat, Kumpulan Alam Flora Sdn Bhd, Anih Berhad, Padiberas Nasional Berhad, Maybank Islamic Berhad dan Northport (Malaysia) Bhd.

Pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 itu didahului oleh TNB yang diwakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebanyak RM5,389,531.68.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan menerima zakat perniagaan daripada Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah Che Othman (tengah) di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pada 6 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ia diikuti UMW Holdings Berhad yang diwakili Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah Che Othman dengan jumlah zakat perniagaan sebanyak RM4,147,654.50.

Sementara itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,582,879.90 yang disampaikan Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub manakala Bank Kerjasama Rakyat diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Rosman Mohamed menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2,538,145.

Seterusnya, Kumpulan Alam Flora Sdn Bhd yang diserahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Zain Hassan menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,989,848.12.

Anih Berhad diwakili Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD, Mohamad Husni Abdul Mutalib pula menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,976,921.45 manakala Padiberas Nasional Berhad menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,797,366.05 yang disampaikan Pengarah Urusannya, Ismail Mohamed Yusof.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan menerima zakat perniagaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (kiri) di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pada 6 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Maybank Islamic Berhad diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Shahrizan Sulaiman menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,300,000 dan Northport (Malaysia) Bhd yang diserahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof berjumlah RM1,250,901.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berkenan menyaksikan upacara penyerahan zakat berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi; Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop.

Majlis penyerahan zakat diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Selangor Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas guru besar dijel, salah guna wang zakat

KUALA TERENGGANU, 18 JUN: Seorang bekas guru besar dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah menyalahgunakan wang zakat sumbangan sebuah syarikat yang sepatutnya disalurkan kepada pelajar sekolah rendah.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Zabidah Sulaiman, 59, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang melepas dan membebaskan wanita itu pada Jun 2019 daripada pertuduhan.

Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan mensabitkan Zabidah atas pertuduhan menyalahgunakan wang zakat sebanyak RM5,000 yang disumbangkan Syarikat Ladang Rakyat Terengganu untuk diberikan kepada 100 pelajar Sekolah Kebangsaan Cheneh Baru 2 di Kemaman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas di sekolah tersebut di bilik mesyuarat Syarikat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd pada 13 Julai 2015 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Abdul Wahab membenarkan pelaksanaan hukuman ke atas wanita itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dan mengenakan jaminan sebanyak RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS: Jumlah asnaf dijangka meningkat 10,000 kesan PKP

SHAH ALAM, 20 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan peningkatan  kira-kira 10,000 asnaf fakir, miskin dan mualaf hingga hujung tahun ini akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua pegawai eksekutifnya.

Saipolyazan M Yusop berkata pihaknya menjangkakan seramai 70,000 golongan berkenaan akan berdaftar tahun ini namun angka itu dijangka bertambah susulan ramai yang hilang punca pendapatan.

Beliau berkata pihaknya sedang mengkaji bantuan yang akan disediakan kepada golongan itu bagi memaksimumkan penerima dengan kutipan zakat.

“Kita sedang mengkaji cara membantu mereka yang terkesan ini agar semua memperoleh manfaat dari LZS,” katanya dalam sidang media khas Facebook LZS hari ini.

Mengulas mengenai agihan Ramadan kepada golongan terbabit, Saipolyazan berkata sebanyak RM27.6 juta diagihkan kepada 60,312 asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Jelasnya daripada jumlah itu RM19.1 juta diagihkan kepada 41,240 keluarga miskin, RM7.2 juta untuk 14,922 keluarga fakir dan RM1.3 juta bagi 4,150 keluarga mualaf.

“Setiap penerima mendapat bantuan zakat mulai Mei ini dan kadar diterima antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan,” katanya.

Wang zakat itu disalurkan menerusi pembayaran dikreditkan terus ke akaun asnaf atau kaedah V-Cash (Baucar Tunai) yang membolehkan ketua keluarga tidak memiliki akaun bank untuk mengeluarkan wang bantuan zakat di cawangan Bank Islam.

Selain itu, kaedah tunai juga dilakukan tetapi hanya bagi kes tertentu seperti warga emas, individu yang sakit terlantar atau akaun bank bermasalah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berkenan kurnia sumbangan zakat kepada 500 keluarga asnaf

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan zakat dan bantuan keperluan harian kepada 500 keluarga terdiri daripada golongan asnaf di sekitar kawasan Lembah Pantai.

Pemberian sumbangan yang disempurnakan Al-Sultan Abdullah itu bersempena program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan 2019, di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke program anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu pada kira-kira pukul 11.18 pagi disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Turut hadir dan menyambut ketibaan Seri Paduka ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee.

Pada program itu, Seri Paduka turut menyampaikan sumbangan bantuan terdiri daripada pakaian persekolahan kepada anak-anak asnaf bernilai RM5.1 juta, Bantuan Am Persekolahan sejumlah RM9.82 juta serta Bantuan Am Pelajaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebanyak RM12.45 juta, yang akan diagihkan kepada golongan asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan golongan asnaf yang hadir ke program itu, sebelum berangkat pulang kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan tahun ini membabitkan hampir 100 motosikal berkuasa tinggi dan 10 teksi iaitu penerima Skim Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi, berkonvoi dalam perjalanan sejauh lebih 30 kilometer bagi menyantuni golongan asnaf.

Konvoi berkenaan bermula dari Taman Metropolitan Batu, seterusnya bergerak ke Masjid Al-Mukhlisin Taman Alam Damai, Cheras yang disambut oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaafar sebelum berakhir di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, Lembah Pantai.

Sementara itu, Mujahid dalam ucapannya berkata, program itu merupakan inisiatif MAIWP bagi memperhebatkan hebahan tentang usaha proaktif MAIWP dalam melaksanakan agenda pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan khususnya menerusi program agihan zakat.

“Dalam menunaikan amanah para pembayar zakat ini, MAIWP telah merencana pelbagai aktiviti agihan zakat. Antaranya MAIWP sehingga kini menawarkan sebanyak 28 skim bantuan zakat merangkumi bantuan daripada aspek keperluan asasi, pendidikan, ekonomi dan kebajikan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima zakat Tabung Haji RM24.7 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat RM24.7 juta daripada Tabung Haji (TH), hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Dato’ Sri Zukri Samat menyampaikan cek zakat itu ketika Majlis Penyempurnaan Kursus Haji Perdana 1440H/2019M Peringkat Selangor.

Penyerahan itu dilakukan di hadapan lebih 3,000 peserta kursus haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selangor adalah penerima zakat TH tertinggi berbanding negeri lain dan ia meningkat 26.3 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM19.5 juta.

Zukri dalam sembah ucapannya berkata, sokongan dan kepercayaan berterusan dari semua pihak adalah penting bagi memastikan TH terus teguh dan maju.

“Sesungguhnya tanggungjawab mengurus simpanan dan urusan haji adalah amanah yang besar dan tidak diambil mudah oleh pihak kami.

“Kami berharap semua pihak dapat mendoakan agar Allah SWT memelihara dan memberi keberkatan kepada warga Tabung Haji dalam usaha memartabatkan perkhidmatan kepada umat Islam Malaysia,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Tabung Haji serah zakat RM6.5 juta kepada Maidam

 

KUALA TERENGGANU, 30 Mei: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM6.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 2018 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima pembayaran zakat itu daripada Pengurus Besar (Operasi Domestik) TH Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali di Istana Syarqiyyah, di sini.

“Bayaran zakat untuk Terengganu itu mencatatkan peningkatan sebanyak 26.4 peratus berbanding tahun 2017 yang berjumlah RM5,162,195.54,” kata Ahmad Ruzman selepas majlis penyampaian zakat berkenaan.

Turut hadir Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Maidam Datuk Osman Muda dan Pengarah TH Negeri Terengganu Datuk Mohyen Mosman.

Ahmad Ruzman berkata TH berharap dengan pembayaran zakat itu, ia dapat dimanfaatkan oleh Maidam ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf.

Ahmad Ruzman berkata jumlah keseluruhan bayaran zakat TH pada 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6 peratus iaitu RM85.57 juta berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM67.61 juta.

Pada majlis yang sama Dr Ahmad Shamsuri turut menyampaikan sumbangan zakat Terengganu Incorporated kepada Sultan Mizan yang berjumlah RM3.8 juta bagi zakat perniagaan syarikat anak kerajaan negeri itu untuk tahun kewangan 2018.

Pada majlis yang berasingan di pejabatnya, Maidam turut menerima pembayaran zakat dari Bank Muamalat Malaysia Berhad yang berjumlah RM159,304.

Sementara itu, Osman berkata Maidam menyasarkan pungutan zakat berjumlah RM170 juta pada tahun ini berbanding RM160.3 juta tahun lepas. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kisah tujuh beradik ditinggal ibu ‘WhatsApp’ lama

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 MEI : Mesej WhatsApp yang tular di media sosial berhubung tujuh beradik ditinggalkan ibu adalah mesej lama, kata Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Wakilnya dalam kenyataan memberitahu, ia adalah mesej tular pada 2017 yang kembali berulang dan kembali disebarkan sejak Ramadan tahun lalu.

“Bagaimanapun LZS turut melakukan siasatan dan menghubungi nama yang terdapat pada mesej terbabit untuk mendapatkan pengesahan dan maklumat lengkap.

“Hasilnya individu berkenaan memaklumkan bahawa mesej tular itu merupakan viral lama yang disebarkan oleh rakan-rakan kejiranan sejak tahun 2017,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, WhatsApp tular itu memaklumkan tujuh beradik yang berusia dari 6 hingga 18 tahun ditinggalkaan ibu kepada bapa yang juga pengawal keselamatan.

Turut diberitahu keluarga terbabit terputus bekalan makanan dan terpaksa makan bubur nasi kosong sahaja.

Mengulas lanjut, LZS memaklumkan keluarga asnaf miskin itu telahpun menerima bantuan daripada Zakat Selangor sejak 2017.

“Bantuan yang diterima ialah bantuan Aidilfitri, persekolahan anak dan bantuan kewangan bulanan sebanyak RM650 sebulan.

“Kami berharap supaya orang ramai yang menerima WhatsApp ini tidak lagi menyebarkannya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Sultan Sharafuddin serah bantuan Aidilfitri kepada pelajar KUIS

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SEMENYIH, 23 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan bantuan Aidilfitri berjumlah RM125,000 kepada 250 pelajar asnaf fakir, miskin dan mualaf Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), hari ini.

Sumbangan terbabit disampaikan pada Majlis Sumbangan Hari Raya dan Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Selangor di Masjid Al-Azhar KUIS, di sini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM48,000 diserahkan kepada 96 pelajar asnaf miskin dan 64 asnaf mualaf menerima RM32,000.

Manakala, RM45,000 diserahkan kepada 90 asnaf fakir dengan masing-masing menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Hadir mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Rektor KUIS; Prof Dato’ Ab Halim Tamuri serta Pengarah Jabatan Agama Islam, Dato’ Haris Kasim.

Sultan Sharafuddin bersama hadirin kemudian berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak serta tarawih.