Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan, Permaisuri zahir takziah pemergian Tan Sri Zaleha Ismail

SHAH ALAM, 15 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail malam tadi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin dalam titah baginda menyifatkan Allahyarhamah sebagai tokoh pemimpin wanita tersohor yang banyak berjasa kepada rakyat.

Baginda berdua bertitah Allahyarhamah yang juga bekas menteri perpaduan dan pembangunan masyarakat dari 1995 hingga 1999 pernah menjadi wakil rakyat Permatang, Selangor pada 1978 dan ahli parlimen Gombak pada 1987.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) berkenan menerima menghadap Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 15 Mac 2018. Foto Facebook Selangor Royal Office

“Sikap Allahyarhamah yang mudah mesra dan peramah menyebabkan ramai yang menyenanginya sehingga beliau pernah dilantik sebagai penaung kehormat Persatuan Ibu Tunggal Selangor.

“Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” titah baginda melalui Facebook Selangor Royal Office.

Baginda bertitah Allahyarhamah dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor pada 1980 dan Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2001 yang membawa gelaran Datin Paduka Seri.

Zaleha yang dilahirkan di Kuala Langat pada 18 Mei 1936 menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Sebelum aktif dalam politik, Allahyarhamah pernah bertugas di Radio Malaya sebagai pembantu rancangan dan pegawai ensiklopedia di Dewan Bahasa dan Pustaka.