Categories
SELANGOR

Pelajar SMK Seksyen 7 Antara Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2013

anugerah malidur rasul 2013  nawarzir 01

SHAH ALAM, 24 JAN : Seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, di sini, tidak menyangka apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Saidina Ali sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor tahun ini.

Pelajar tersebut, Nawarzir Ahmad Zuri, 18, dipilih berdasarkan pencapaian akademiknya yang cemerlang apabila mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tidak hanya cemerlang dalam akademik, anak tunggal ini juga aktif dalam bidang kokurikulum di mana beliau dilantik sebagai Ketua Fasilitator Kursus Kepimpinan Murid Tahun 2012.

Semasa ditemui, Nawarzir melahirkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas pemberian anugerah tersebut yang disifatkan sebagai pembakar semangat kepada dirinya untuk menjadi lebih baik.

“Saya berkenan menjunjung duli ke atas DYMM Sultan Selangor kerana telah berkenan memilih saya sebagai penerima anugerah ini.

“Terima kasih juga kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan seluruh ahli keluarga serta guru-guru di SMK Seksyen 7.

“Saya akan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh dan memberi sumbangan kepada bangsa, agama dan negara.

anugerah malidur rasul 2013 abdul aziz   01“Saya juga ingin menyeru kepada semua remaja yang menjadi aset negara ini untuk berpegang kepada ajaran Islam supaya segala perbuatan diberkati,” katanya.

Beliau yang dilahirkan di Petaling Jaya menerima wang tunai RM5000, sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian yang disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Nawarzir yang mempunyai minat mendalam terhadap bidang Agama Islam pernah memegang jawatan sebagai Pemimpin Khatam Al-Quran di sekolah, Iftar Jamie dan Solat Terawih 2012.

Beliau juga menjadi Penyampai Tazkirah Sempena Program Ihya 2011 dan terlibat dalam Majlis Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1433H/2012M.

Pemegang Anugerah Tokoh Murid 2012 ini turut pernah dianugerahkan Anugerah Khas Tokoh Akademik, Anugerah Tokoh Pemimpin Murid Lelaki, Anugerah Lencana Kecemerlangan Gemilang Emas Akademik Peperiksaan Percubaan SPM, Anugerah Kecemerlangan Sahsiah dan Anugerah Kecemerlangan Gemilang Perak PMR.

Sementara itu, penerima Anugerah Khalid Al-Walid, Tan Sri Ismail Adam, 63, berasa terharu apabila diberi pengiktirafan dalam sambutan tahun ini.

Beliau yang telah berkhidmat selama 38 tahun dalam perkhidmatan awam bertekad untuk terus menyumbang tenaga dan bakti kepada negeri selagi diberi kudrat oleh Ilahi.

“Apalah sangat sumbangan yang saya berikan kepada negeri, tetapi saya amat bersyukur dan terharu kerana dipilih untuk menerima anugerah ini.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada DYMM Sultan dan Kerajaan Negeri atas pengiktirafan ini,” katanya yang kini berkhidmat sebagai penasihat di Syarikat Prasarana Sdn Bhd.

Selain itu, turut menerima anugerah pada sambutan tahun ini ialah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Datuk Abdul Aziz Andik Achok, 78, (Anugerah Umar Abdul Aziz).

Juga menerima anugerah ialah Pegawai Penyelidik Agensi Nuklear Malaysia, Dr Mohd Abdul Wahab Yusof, 53, (Anugerah Imam Al-Ghazali) dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin, 52, (Anugerah Saidatina Khadijah).

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah antara RM 15,000 dan RM 10,000 beserta sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian.

malidur rasul 2013 semua

Categories
SELANGOR

Hujan Tak Halang Lebih 5,000 Berarak Maulidur Rasul di Selangor

 

malidur rasul 2013 hujan 05

SHAH ALAM, 24 JAN: Perarakan dalam sambutan Majlis Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor disambut meriah dengan penyertaan 118 kontinjen yang berarak walaupun dalam keadaan hujan lebat pagi ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut serta di dalam perarakan itu yang disertai pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan anak syarikat Kerajaan Selangor.

Abdul Khalid yang mengetuai perarakkan tersebut dilihat menolak payung yang ditawarkan dan bersama-sama meredah hujan bersama 5,000 peserta lain.

Perarakan tersebut dimulakan seawal jam 8.20 pagi dari Stadium Mini Shah Alam menuju ke tapak sambutan majlis di Stadium Malawati.

Majlis sambutan yang turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Sultan Selangor itu, menamilkan pelbagai acara dan persembahan dari artis popular seperti Mawi dan kumpulan Rabbani.

Dalam sambutan bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu, Baginda Sultan berkenan menyampaikan lima Anugerah Khas Maulidur Rasul dan pemenang kontinjen perarakan terbaik dalam pelbagai kategori.

Penerima anugerah-anugerah tersebut terdiri daripada Datuk Abdul Aziz Andik Achok yang menerima Anugerah Umar Abdul Aziz, Tan Sri Datuk Ismail Adam (Anugerah Khalid Al-Walid) dan Dr Mohd Abd Wahab Yusof (Anugerah Imam Al-Ghazali).

Turut menerima anugerah dalam majlis tersebut Profesor Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin bagi Anugerah Saidatina Khadijah dan Nawarzir Ahmad Zuri bagi Anugerah Saidina Ali.

Turut hadir dalam majlis sambutan itu, Exco Kerajaan Negeri, Dr Yaakob Sapari, Dr Ahmad Yunus Hairi, Iskandar Abdul Samad, MP Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Negeri.

malidur rasul 2013 hujan 03 malidur rasul 2013 nyanyi 02 malidur rasul 2013 hujan 02