Categories
AGENDA NASIONAL

Tahun Baharu Cina: Enam barang disenarai bawah harga kawalan

CHERAS, 31 JAN : Sebanyak enam jenis barangan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2022 yang dilaksana dari 29 Januari hingga 4 Februari.

EXCO Pengguna berkata senarai barangan terbabit adalah ikan bawal putih berat antara 200 gram (g) hingga 400g seekor dan udang putih berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram.

Menurut Mohd Zawawi Ahmad Mughni bawang putih dari China; babi hidup kawalan di peringkat ladang sahaja, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) turut tersenarai dalam harga kawalan.

“Peniaga juga perlu mempamerkan tanda harga khas warna merah jambu di bawah skim ini bagi membezakan antara barangan harga terkawal dan jualan borong di premis masing-masing.

“Pelaksanaan skim ini dikuat kuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan di bawah skim ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi ‘walkabout’ Ops Pematuhan SHMMP Tahun Baharu Cina bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di Pasaraya NSK Trade City BMC Mall di sini hari ini.

Mohad Zawawi berkata mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Peniaga di sekitar Selangor diminta memberi kerjasama dan patuh dengan harga ditetapkanSHMMP tahun ini,” katanya.

Menurutnya, pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi ‘Price Catcher’ bagi tujuan semakan harga barang keperluan harian yang lain dan boleh membuat perbandingan harga mengikut premis dalam radius 10 kilometer daripada kediaman.

Pengguna juga boleh membuat aduan dengan mengemukakan maklumat lengkap berhubung salah laku peniaga di sekitar Selangor menerusi saluran aduan rasmi berikut :

i. WhatsApp 019-279 4317
ii. Portal e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel [email protected]
v. Ez ADU KPDNHEP
vi. Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor 03-
5514 4393/ 5518 1810/ 5512 5485

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Anggota Jawatankuasa Industri Halal sedang dimuktamad – EXCO

SHAH ALAM, 2 JAN: Kerajaan Negeri kini di peringkat akhir memuktamadkan senarai anggota Jawatankuasa Industri Halal Selangor, kata EXCO industri halal.

Zawawi Ahmad Mughni berkata lantikan melibatkan pegawai Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pakar universiti serta bidang berkaitan.

“Insya-Allah mesyuarat pertama jawatankuasa ini bakal diadakan pada Februari sekaligus memastikan Selangor selangkah ke depan dalam industri halal,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Pada 22 Oktober tahun lepas, Zawawi berkata negeri ini bakal melaksanakan penstrukturan semula Halal International Selangor (HIS).

Jawatankuasa tersebut berperanan merancang pelan strategik ekonomi yang bakal membuka peluang pelaburan, trend dagangan dan penjanaan pendapatan kepada negeri.

Beliau berkata industri halal bukan tertumpu produk makanan dan minuman sahaja sebaliknya melibatkan pelbagai sektor yang memberi manfaat kepada industri tempatan.

Categories
SELANGOR

Pimpinan KEADILAN ucap tahniah pada Zawawi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 OGOS : Akhirnya Pakatan Harapan dan KEADILAN berjaya membuktikan parti itu terus unggul di Sungai Kandis dengan kemenangan bergaya calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Mohd Zawawi berjaya mengalahkan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti undi sebanyak 5,842 pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis yang berlangsung semalam.

Sementara itu beberapa pimpinan tertinggi KEADILAN tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada Mohd Zawawi dan jenteranya atas kemenangan terbabit.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui facebooknya berkata, beliau bersyukur KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) terus mengekalkan penguasaan di Sungai Kandis.

“Teruskan khidmat bakti buat rakyat demi tradisi cakna dan peduli. Rakyat akan terus memerhati dan menilai. Masa untuk bekerja!,” tulisnya.

Sementara itu Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berharap supaya Mohd Zawawi meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat Sungai Kandis.

“Moga meneruskan tradisi peduli rakyat dan kecemerlangan Negeri Selangor,” katanya dalam laman facebooknya hari ini.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah.

“Terima kasih kepada penduduk Sungai Kandis yang sekali lagi memberi kepercayaan kepada PAKATAN untuk mewakili suara mereka.

“Kemenangan ini harus dijadikan motivasi untuk dua PRK akan datang. Selamat menjalankan amanah yang diberikan saudara Mohd Zawawi,” tulisnya.

 

Categories
SELANGOR

Zawawi yakin pengundi tetap pendirian undi PAKATAN

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kehadiran pemimpin utama Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, tidak akan mengubah pendirian pengundi kawasan berkenaan.

Calon Pakatan Harapan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, hal itu kerana beliau menganggap kawasan itu hanya menjadi persinggahan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN terbabit.

“Hadirnya mereka ke sini bagi membantu calonnya, jadi ia menjadi tugas mereka sebagai Presiden dan bekas Perdana Menteri.

“Kita lihat juga penerimaan pengundi di sini, saya melihat yang hadir dalam perjumpaan itu kebanyakannya bukan pengundi tempatan, mungkin tetamu luar yang melancong ke Sungai Kandis sempena PRK,” katanya pada sidang media, di Dewan MBSA Sungai Kandis, di sini.

Sementara itu, Mohd Zawawi tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya sekiranya calon lawannya terus menyerang peribadi hingga mengaibkan diri dan keluarganya.

Katanya, pihaknya banyak menerima aduan berkenaan calon lawan yang tidak henti menyerang peribadinya sehingga lupa untuk memperjuangkan isu rakyat kawasan itu.

“Walaupun tinggal dua hari lagi untuk berkempen tetapi pihak lawan masih lupa tujuan sebenar. Mereka hanya tahu menyerang peribadi hingga mengaibkan saya. Oleh itu, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Pada masa sama, menjelang 4 Ogos ini, Zawawi menasihatkan pengundi DUN berkenaan supaya datang awal ke pusat pembuangan undi bagi melancarkan urusan pengundian.

Katanya, ia bagi mengelakkan pengundi hantu menggunakan nombor kad pengenalan yang berdaftar sebagai pengundi sah.

“Pengundi juga dinasihatkan supaya tidak melupakan kad pengenalan dan menjaga kesihatan diri,” katanya.

Categories
SELANGOR

PRK Sungai Kandis: Mohd Zawawi ikrar terus dukung reformasi

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI KANDIS, 1 OGOS: Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berikrar akan terus mendukung perjuangan reformasi dalam setiap perkara khususnya berkaitan pentadbiran di Selangor.

Menggariskan lima teras utama, beliau mengajak rakyat di Sungai Kandis untuk terus bersama Kerajaan Negeri ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) yang terbukti cekap, adil dan sentiasa memerangi unsur rasuah dalam tadbir urus.

“Saya akan bersama Kerajaan yang profesional dan terhindar daripada campur tangan politik dalam urusan pentadbiran serta syarikat berkepentingan kerajaan (GLC).

“Kebersamaan saya juga di dalam Kerajaan yang memberikan kebebasan maklumat kepada semua termasuk media.

“Kerajaan PAKATAN tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang atau menyentuh isu berkaitan kerahsiaan serta keselamatan negeri dan negara tercinta,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN.

Beliau turut berikrar terus memperjuangkan dasar Kerajaan Negeri yang sentiasa memelihara kepentingan rakyat tanpa menafikan bantuan kepada yang berhak selain menjunjung amalan membanteras kronisme dan nepotisme.

Selain itu, Mohd Zawawi turut memberikan jaminan akan sentiasa membawa suara rakyat ke Dewan Negeri Selangor (DNS) secara adil tanpa pilih kasih.

“Saya ingin tegaskan, DNS tidak memerlukan suara tambahan daripada parti Pembangkang.

“Mereka (Pembangkang) tidak mampu melaksanakan apa-apa kebajikan kepada rakyat disebabkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat pada hari ini adalah di bawah PAKATAN,” katanya.

Dalam sidang media sama, Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Negeri Selangor yang diwakili Nik Mohd Yusoff Nik Ismail turut menyatakan sokongan kepada Mohd Zawawi dan meminta rakyat di Sungai Kandis memilih calon KEADILAN.

Categories
SELANGOR

Zawawi minta media lapor berita sahih

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 JUL: Media massa diminta terus bekerjasama menyalurkan laporan berita sahih dan benar kepada rakyat demi kebaikan serta kesejahteraan semua.

Calon Pakatan Harapan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pelbagai maklumat dan berita ditagih rakyat khususnya pengundi yang mengikuti perkembangannya dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Saya berharap semua media bekerja saban hari dan waktu supaya dapat menyampaikan berita yang tepat kepada orang ramai berhubung PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Diharap media juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya pengundi akan tanggungjawab mereka keluar mengundi, pada 4 Ogos ini,” katanya ketika mengadakan lawatan di Pusat Media Jabatan Penerangan untuk PRK DUN Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Beliau berkata, promosi berterusan Jabatan Penerangan dan media dalam perkara berkaitan pasti akan memberi kesan kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab itu.

Katanya, ia juga berhubung kefahaman peranan rakyat bersuara dalam negara demokrasi seperti di negara ini.

“Kemudahan lengkap dan selesa di pusat ini pastinya dapat mewujudkan keadaan bekerja lebih kondusif dan mampu membantu petugas media menghasilkan idea bagi laporan berita yang baik.

“Saya mendoakan semua media yang terbabit dalam PRK DUN Sungai Kandis dapat menjalankan tugas dan bekerjasama baik dengan semua pihak,” katanya.

Categories
SELANGOR

Zawawi buat laporan polis atas dua tuduhan fitnah

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 31 JUL: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni, membuat dua laporan polis bagi menafikan dakwaan beliau menyokong pesta tarian gelek dan terbabit dalam penyalahgunaan dana ketika berkhidmat di sebuah sekolah, pada 1998.

Beliau mendakwa, tuduhan itu dibuat pihak tertentu dipercayai pihak lawan bertujuan menjejaskan reputasinya sebagai calon KEADILAN dan PAKATAN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis.

“Dua laporan polis dibuat iaitu berkaitan fitnah mengatakan saya bersetuju dan menyokong tarian gelek bertujuan untuk memungut derma.

“Manakala yang kedua, mengatakan saya terbabit dengan isu salah guna wang ketika berkhidmat di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang, kira-kira 20 tahun lalu sebagai tenaga pengajar.

“Saya menafikan terbabit dengan dua tuduhan itu yang dipercayai sengaja diadakan bagi menjejaskan reputasi sebagai calon, dalam PRK kali ini,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, beliau dimaklumkan berhubung isu salah guna wang sekolah itu melalui laporan media sosial yang dianggapnya sengaja direka pihak tertentu untuk kempen PRK Sungai Kandis dan jumlah wang diselewengnya juga tidak dinyatakan.

Katanya, begitu juga dengan isu tarian gelek yang tidak benar apabila beliau dilaporkan menyatakan ‘saya membuat kenyataan bahawa tarian gelek untuk Tabung Harapan tidak haram kerana niat baik’.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan ini dan ia adalah fitnah yang sengaja diada-adakan.

“Saya menolak budaya politik fitnah dan kotor kerana kita sedang mempromosikan budaya politik bersih serta sihat,” katanya.

Sementara itu, peguamnya, Mohd Khairul Anwar Ismail berkata, laporan polis dibuat itu adalah bagi membantu Mohd Zawawi dan menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatqn lanjut.

“Tindakan ini bagi memberi kesedaran kepada semua pihak dan orang ramai bahawa segala perbuatan dilakukan termasuk penulisan di media sisoal tertakluk kepada undang-undang.

“Ia adalah pengajaran kepada masyarakat iaitu setiap kata-kata harus disertai dengan tanggungjawab dan fitnah seharusnya tidak berlaku,” katanya.

Categories
SELANGOR

Zawawi: Parti komponen PAKATAN beri kerjasama

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 31 JUL: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni, menafikan tiada kerjasama antara parti komponen dalam gabungan itu bagi membantu kempen beliau menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis.

Semua parti termasuk DAP, katanya, sentiasa berganding bahu sepanjang tempoh kempen bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAKATAN, pada 4 Ogos ini.

“Exco Kerajaan Negeri, V Ganabatirau turun lebih tiga kali membantu saya berkempen di DUN Sungai Kandis ini bersama Ahli Dewan Negeri Pandamaran, Tony Leong.

“Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga akan turut serta bersama kita pada 2 Ogos ini diikuti pada hari kemuncak dengan kehadiran Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi, calon PAKATAN daripada KEADILAN berkata demikian bagi menyangkal dakwaan pihak tertentu yang menganggap tidak wujud kerjasama antara parti dalam PAKATAN terutama DAP, dalam PRK itu.

“Kerjasama antara semua parti dalam PAKATAN tetap utuh dan kita saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Zawawi tolak cadangan Umno tarik pelajar jadi ahli parti

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 31 JUL: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni, tidak bersetuju dengan cadangan Umno menurunkan had umur ahlinya kepada 16 tahun kerana golongan pelajar dianggap tidak sesuai terbabit dengan lapangan politik.

Sambil menyifatkan ia tindakan terdesak Umno bagi meraih sokongan golongan muda, beliau berkata, ia memberi impak negatif kepada golongan itu yang perlu menumpukan perhatian kepada pelajaran.

“Bagi saya, cadangan itu boleh dianggap tidak relevan kerana pelajar tidak harus dibabitkan dengan politik.

“Kita tidak mahu penyertaan melalui parti politik akan mengakibatkan berlaku perpecahan, dalam kalangan mereka,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Calon PAKATAN bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis itu berkata demikian berhubung kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengumumkan penurunan had umur ahli Umno kepada 16 tahun berbanding 18 tahun, sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, Umno dan Barisan Nasional yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 berusaha membaiki reputasinya dengan melakukan pembaharuan itu tetapi ia dilihat tidak sesuai dengan keadaan semasa.

“Ia bertujuan untuk meraih sokongqn golongan muda tetapi saya tidak bersetuju kerana pelajar 16 tahun seharusnya memberi tumpuan terhadap pelajaran bukan berpolitik,” katanya.

Categories
SELANGOR

PRK Sungai Kandis: Zawawi perjuang hak semua rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 31 JUL: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menegaskan, perjuangan membela rakyat tanpa mengira bangsa menjadi teras perjuangannya sebagai pemimpin politik.

Jika diberi mandat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 Ogos ini, beliau mengulangi ikrar menggalas tanggungjawab sebaik mungkin untuk semua pihak, di DUN berkenaan.

“Saya komited untuk memastikan segala bantuan diterima selama ini dapat terus dinikmati pengundi, di sini,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua program Kerajaan Negeri termasuk Inisiatif Peduli Rakyat tidak menjadikan perbezaan kaum sebagai asas pertimbangan sebelum sesuatu bantuan diberikan.

“Ini kelebihan pentadbiran negeri diterajui PAKATAN yang sentiasa menitikberatkan keadilan kepada semua rakyat tanpa batas bangsa, agama dan budaya.

“Sebagai contoh, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan bantuan pendidikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan India kerana rakyat memberi mandat serta kuasa yang harus disantuni dengan adil,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, kepelbagaian bangsa, agama dan budaya sudah lama menjadi aset berharga di Selangor dan negara, maka semua pihak bertuah kerana dapat mengenali serta hidup dalam suasana harmoni juga memahami.

“Suka saya mengingatkan, mengekalkan keharmonian hidup dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa seperti kita lalui selama ini adalah salah satu perjuangan utama saya sebagai pemimpin politik.

” Malah, KEADILAN dan kerajaan PAKATAN juga sentiasa menjadikan agenda perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk sebagai teras perjuangan parti,” katanya.

Categories
SELANGOR

Zawawi komited perjuang isu setempat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JUL: Calon N49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni terus komited memperjuangkan isu-isu setempat demi kebajikan penduduk pelbagai kaum di kawasan berkenaan.

Berbeza dengan lawannya yang banyak memainkan sentimen atau isu nasional, Zawawi tetap mahu memfokuskan masalah infrstruktur dan pembangunan modal insan.

Katanya, hal itu supaya rakyat benar-benar mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan Kerajaan Negeri, khususnya.

“Saya mahu terus mendekati penduduk dalam usaha mendengar denyut nadi mereka.

“Walaupun lawan saya terus memainkan isu nasional, bagi saya kita di Pilihanraya Kecil (PRK) oleh itu saya mahu terus membangkitkan isu rakyat lebih-lebih lagi soal infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama, di sini.

Pada masa sama, Mohd Zawawi berkata, pihaknya menerima respon positif daripada ahli Pas di kawasan berkenaan.

Katanya, ahli Pas kawasan itu secara terbuka menyatakan sokongan untuk mengundinya pada hari membuang undi, 4 Ogos depan.

“Saya sendiri sudah bertemu dengan calon Pas pada Piliharaya Umum ke 14 yang lalu.

“Beliau dengan terbuka menyatakan sokongan dan mahu mengajak rakan-rakan untuk mengundi saya.

“Oleh itu, saya yakin dengan kenyataan saya sebelum ini bahawa undi pas yang lalu akan beralih pada saya,” katanya.