Categories
AGENDA SUKANKINI

Henti andaian negatif isu persatuan badminton, Zii Jia – menteri

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap agar semua pihak dapat menghentikan polemik atau andaian negatif dalam isu berkaitan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia.

Beliau yang mengadakan pertemuan dengan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu semalam turut berharap agar kedua-dua pihak dapat mencari kata sepakat bagi memastikan imej Malaysia dalam sukan badminton dapat terus tersohor di peringkat dunia.

“Saya telah berpeluang untuk berjumpa dengan Zii Jia secara santai, tapi telah bincang tentang hasrat dan permasalahan beliau. Saya dimaklumkan esok beliau akan berjumpa dengan kepimpinan BAM dan mereka akan bincang.

“Saya harap perjumpaan esok dapat merungkai permasalahan yang kita sama-sama hadapi ini. Saya harap Zii Jia dapat berehat sewaktu Tahun Baharu Cina ini bersama keluarga,” kata Ahmad Faizal menerusi satu klip video yang dikongsikan dengan Bernama.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan Zii Jia dan Goh Jin Wei selama sejam di ibu negara pada kira-kira pukul 5 petang.

Ahmad Faizal turut berkongsi gambar pertemuan dengan Zii Jia dan Jin Wei di laman sosialnya, dan berkata semangat serta komitmen Zii Jia terhadap sukan badminton negara masih teguh.

“Selagi mana kita semua senada dalam mengutamakan kepentingan negara, kita boleh bergerak maju kehadapan,” menurut catatan di Facebooknya.

Jumaat lepas, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Jan ini.

Ia berikutan keputusan juara All England itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Jan lepas, agar beliau dapat bergerak sebagai pemain profesional, dengan alasan tidak dapat menahan tekanan dan ‘regimented lifestyle’ di BAM.

Juara dunia remaja Jin Wei yang mengumumkan persaraan pada September lepas sebelum membuat pusingan-U untuk bergerak sebagai pemain profesional, turut tidak akan didaftar untuk kejohanan selama dua tahun bermula 31 Okt 2021.

Bagaimanapun BAM pada hari ini mengesahkan bahawa Zii Jia telah menghantar rayuan mengenai keputusan itu, dan berjanji ia akan mencari penyelesaian yang terbaik dengan segera.

Difahamkan, Ahmad Faizal dan Zii Jia akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan BAM esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia mara ke suku akhir Kejohanan Dunia BWF 2021

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke suku akhir Kejohanan Dunia BWF 2021 di Huelva, Sepanyol awal hari ini.

Pemain nombor tujuh dunia Zii Jia menyingkirkan Hans-Kristian Vittinghus dari Denmark 21-15, 15-21, 21-10 selepas perlawanan selama 58 minit pada pusingan ketiga.

Penyandang juara All England itu akan menghadapi pertembungan hebat menentang seorang lagi pemain Denmark, Anders Antonsen yang juga pemain nombor tiga dunia, dalam memburu penampilan sulungnya dalam separuh akhir pada kejohanan dunia itu.

Pada Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland, Zii Jia tersingkir pada suku akhir, apabila tewas 12-21, 8-21 kepada bintang Jepun, Kento Momota.

“Saya gembira memperoleh kemenangan ke atas Vittinghus, seperti biasa ia perlawanan yang sangat sukar. Saya fikir secara mental dan fokus, saya tercicir pada perlawanan kedua tetapi cuba bangkit daripada set ketiga. Keadaan saya agak tidak baik…tetapi saya gembira dapat mara ke suku akhir.

“Antonsen adalah kawan baik saya, beliau pemain yang sangat bagus dan matang, persembahannya juga lebih stabil daripada saya. Jadi, perlawanan nanti akan sukar, saya perlu persiapkan diri,” katanya kepada media Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Soon Huat-Shevon menewaskan Yeung Ming Nok-Ng Tsz Yau dari Hong Kong 21-8, 19-21, 21-19 dalam satu lagi perlawanan pusingan ketiga, untuk berhadapan tugas berat menentang Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.

Terdahulu, dua beregu lelaki bebas – pemenang pingat perak Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Yew Sin-Teo Ee Yi – turut berjaya ke peringkat suku akhir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia mara pusingan kedua kejohanan badminton dunia

SHAH ALAM, 14 DIS: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengesahkan tempat ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol, malam tadi.

Pemain berusia 23 tahun itu mara selepas menyingkirkan lawan dari Kanada, Jason Anthony Ho-Shue di pusingan pertama.

Bagaimanapun, Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan keenam diberi tentangan sengit sebelum melakar kemenangan 21-10, 17-21, 21-11 ke atas Anthony Ho-Shue.

Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 akan membuat perhitungan dengan pemain Brazil, Ygor Coelho dalam aksi pusingan kedua yang dijadual berlangsung esok.

Turut ke pusingan kedua, pemain profesional negara Liew Daren yang mengalahkan pemain israel Misha Zilberman 21-14, 21-14 dan bakal berdepan sama ada H S Pranoy dari India atau Angus Ang ka Long dari Hong Kong.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia dicalon sebagai pemain paling meningkat bagi tahun 2020/2021 BWF

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Juara All England 2021, Lee Zii Jia dicalonkan dalam kategori Pemain Paling Meningkat Tahun Bagi Tahun 2020/2021 dalam Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) tahun ini.

Bagaimanapun, Zii Jia akan dicabar oleh rakan sepasukan pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut disenaraikan dalam kategori itu, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan BWF hari ini.

Turut tersenarai pemenang pingat emas beregu lelaki Olimpik Tokyo, Wang Chi-Lin-Lee Yang dari China Taipei dan pemain perseorangan wanita nombor 10 dunia Pornpawee Chochuwong dari Thailand.

Sementara itu, juara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Paralimpik Tokyo Cheah Liek Hou merupakan pesaing di dalam kategori Pemain Lelaki Badminton Para Terbaik Tahunan.

Pramod Bhagat dari India, Daiki Kajiwara (Jepun), Kim Jongjun (Korea Selatan), Lucas Mazur (Perancis) dan Qu Zimo (China) juga disenarai pendek dalam kategori sama dengan Liek Hou.

Dalam pada itu dua pemain Denmark — Juara Olimpik Tokyo Viktor Axelsen dan Anders Antonsen akan bersaing dalam kategori Pemain Lelaki Terbaik Tahunan dengan dua lagi pemain, Wang Yi Lyu dari China dan Yuta Watanabe dari Jepun.

Calon-calon bagi kategori Pemain Wanita Terbaik Tahunan adalah wakil China Chen Yu Fei diikuti Carolina Marin dari Sepanyol, Tai Tzu Ying (China Taipei) dan Akane Yamaguchi (Jepun).

Bagi kategori Beregu Terbaik Tahunan, lima pasangan berpeluang memenangi kategori itu termasuk Kim Soyeong-Kong Heeyong dari Korea Selatan, Greysia Polio-Apriyani Rahayu (Indonesia), Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping (China), Wang Chi-Lin-Lee Yang (China Taipei) dan wakil Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Pemenang-pemenang akan diumumkan pada Jelajah Dunia BWF Indonesia di Bali yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 Dis ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Zii Jia mohon maaf kepada rakyat Malaysia

TOKYO, 29 JULAI: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal menyumbangkan pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, setelah tersingkir dalam saingan pusingan 16 terbaik acara perseorangan lelaki, malam ini.

Pemain berusia 23 tahun itu, tumpas kepada pemenang pingat emas edisi Rio 2016, Chen Long dari China, mengakui bahawa ramai peminat sukan tanah air mengharapkan beliau untuk menghadiahkan pingat pada Olimpik kali ini.

“Sekarang ini lockdown (sekatan pergerakan), ramai yang tidak boleh keluar atau pergi ke mana-mana, asyik tengok televisyen dan beri sokongan kepada kita (atlet negara). Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghadiahkan pingat seperti diharapkan,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Pada aksi di Musashino Forest Sport Plaza di sini malam ini, Zii Jia tumpas kepada juara bertahan Chen Long meskipun pada awalnya mempamerkan rentak permainan yang bertenaga.

Zii Jia bermula cemerlang di set pertama dengan kemenangan 21-8, namun tumpas 19-21 di set kedua sebelum hilang tumpuan pada set penentuan apabila kecundang 5-21.

Zii Jia, yang membuat penampilan pertama pada temasya Olimpik, sebelum ini adalah antara atlet Malaysia diletakkan sandaran untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo.

Sementara itu, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengakui pada perlawanan tersebut, hanya pengalaman yang membezakan beliau dengan pemain China yang berada di ranking keenam dunia itu.

“Pada set pertama, saya menguasai keseluruhan permainan. Tetapi pada set kedua, saya banyak membuang mata dan cuba mengejar untuk mendapatkan mata bagi meraih kemenangan penting itu tetapi gagal.

“Bermula set ketiga, saya hilang fokus. Dalam situasi itu, Chen Long dengan pengalamannya dapat mengawal keadaan. Banyak lagi yang perlu saya belajar,” katanya.

Zii Jia, bagaimanapun berkata kekalahan itu bukan penamat kepada kariernya, sebaliknya beliau akan bangkit untuk meraih kejayaan demi kejayaan pada kejohanan akan datang.

“Tidak perlu fikir banyak. Saya tidak menyesal, tiada alasan…seperti yang saya katakan, ini Olimpik pertama saya, dan saya perlu banyak berusaha dan benar-benar bersedia pada kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia: Peluang seimbang menang emas acara badminton

TOKYO, 24 JULAI: Pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, tidak akan memandang rendah terhadap mana-mana lawan yang akan beliau hadapi di Olimpik Tokyo.

Zii Jia pemain pilihan kesembilan Olimpik berpandangan bahawa, setiap pemain mempunyai peluang dan keupayaan untuk memenangi pingat emas dalam acara badminton, bagi acara yang bermula di Musashino Forest Sport Plaza hari ini.

“Setiap pemain mempunyai peluang yang sama untuk menang di Olimpik Tokyo,” katanya dalam satu video dimuat naik di Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Sementara itu juara All England 2021 itu berkata, beliau hanya mahu menikmati penyertaan kali pertamanya di Olimpik, di sini, walaupun akan bermain tanpa kehadiran penonton.

Menggambarkan suasana tanpa penonton sebagai sukar, pemain berusia 23 tahun itu berkata, setiap pemain perlu melalui laluan yang sama dan perlu mengadaptasi kepada norma baharu ini.

Tumpuan tentunya akan diberikan terhadap Zii Jia, apabila pemain berasal dari Kedah itu disebut-sebut sebagai calon untuk memenangi pingat di Tokyo selepas kejayaannya di All England 2021 mengalahkan pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 pada perlawanan akhir di Birmingham, Mac lepas.

Pemain nombor lapan dunia itu perseorang lelaki itu, akan memulakan cabarannya di Olimpik Tokyo esok (Ahad) dengan bertemu Artem Pochtarov dari Ukraine pada perlawanan Kumpulan M.

— BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia ganti Khairul Anuar bawa jalur gemilang di Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia akan menggantikan jaguh memanah Khairul Anuar Mohamad sebagai pembawa bendera pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 23 Julai ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mengesahkan penggantian itu berkata Khairul Anuar meminta untuk diberi pelepasan daripada menjadi pembawa bendera dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo kerana akan menyertai saingan pada 24 Julai.

Mohamad Norza berkata Khairul Anuar dijangka beraksi pada pusingan kelayakan acara recurve berpasukan campuran bersama Syaqiera Mashayikh di Yumenoshima Park Archery Field.

Penarikan diri Khairul Anuar itu menyaksikan Zii Jia kini akan bergandingan bersama seorang lagi pemain badminton beregu campuran Goh Liu Ying bagi membawa bendera Malaysia.

“Keputusan mesyuarat MOM pagi tadi memutuskan untuk memilih kombinasi muka lama dan muka baharu.

“Oleh sebab itu, Zii Jia dipilih kerana beliau merupakan antara atlet yang pertama kali ke Olimpik selain merupakan generasi masa depan Sukan Olimpik dan prospek pingat negara kali ini manakala Liu Ying pula pernah beraksi pada temasya sukan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Norza pada 3 Mei lepas mengumumkan MOM memberikan penghormatan kepada Liu Ying dan Khairul Anuar bagi menggalas tugas sebagai pembawa bendera.

Liu Ying, 32, dan pasangannya Chan Peng Soon, 33, yang berkedudukan ketujuh terbaik dunia merupakan pemenang pingat perak ketika Sukan Olimpik di Rio pada 2016 selepas tewas 14-21, 12-21 kepada pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana pada aksi final.

Zii Jia, 23, pula dijangka bakal memberi cabaran pingat di Tokyo berikutan kejayaan merangkul gelaran All England setelah mengalahkan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 di final di Birmingham pada Mac lepas.

Kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya Malaysia akan menampilkan dua pembawa bendera pada upacara pembukaan.

Sementara itu, MOM dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat turut menekankan persiapan atlet dan pegawai ke Sukan Olimpik Tokyo selain kepentingan mengamalkan langkah mengelakkan penularan Covid-19 dalam kalangan kontinjen Malaysia iaitu sebelum, semasa dalam penerbangan dan setibanya di Tokyo.

Seramai 30 orang atlet akan mewakili negara dan bertanding dalam 10 acara di Sukan Olimpik Tokyo, pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia kembali jalani latihan di akademi badminton

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia antara pemain yang kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini, yang sebelum ini ditutup susulan penularan wabak Covid-19 dikesan di lokasi berkenaan.

Beregu wanita muda negara meningkat naik, Pearly Tan-M Thinaah juga dilihat menyertai Zii Jia dan beberapa pemain lain dalam sesi latihan yang dijalankan di ABM sejak Selasa lepas.

Mereka kembali menjalani latihan selepas lebih seminggu tidak berbuat demikian sejak 15 individu didapati positif Covid-19 di ABM, baru-baru ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata sesi kali ini hanya melibatkan pemain yang terlibat dengan kejohanan dijadual berlangsung dalam tempoh sebulan dari sekarang.

“Sesi bermula dengan latihan ringan termasuk di gimnasium sebelum kita teruskan dengan rejim latihan yang lebih berat selepas ini,” katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebook BAM.

Choong Hann menegaskan sesi latihan kali ini dijalankan dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat termasuk cuba mengehadkan jumlah pemain pada satu-satu masa seperti di gimnasium dalam usaha membendung penularan virus itu.

Enam pemain di ABM disahkan positif Covid-19 pada 17 April dan pada 23 April BAM mendapati lapan lagi pemain pelapis disahkan positif jangkitan virus semasa ujian saringan pada 20 April dan seorang lagi dikesan positif dalam saringan pada Sabtu lepas.

– BERNAMA