Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Umat Islam digalak miliki takwim hijrah

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Setiap keluarga umat Islam digalakkan memiliki takwim hijrah di kediaman masing-masing sebagai rujukan ataupun kompas kehidupan yang berkait dengan syariat Islam serta peringatan kepada tarikh penting dalam kalendar Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata segala ibadah dalam Islam perlu merujuk kepada tahun hijrah, dan takwim berkenaan amat penting dalam menentukan segala hari kebesaran, haul zakat, tempoh iddah dan umur baligh.

“Takwim memainkan peranan amat kritikal dalam pengurusan kehidupan manusia. Ia merupakan sistem masa berkait rapat dengan aktiviti sosial dan keagamaan serta urusan pentadbiran kehidupan seharian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Takwim Hijrah Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di sini hari ini.

Pada majlis itu, PICOMS, sebuah institut pengajian tinggi milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), melancarkan sebuah kalendar Takwim Hijrah melalui kerjasama dengan I Quest Training & Consultancy yang mempunyai ciri-ciri istimewa khusus kepada umat Islam sebagai panduan dan rujukan seharian.

Antara ciri dipaparkan takwim itu ialah sistem warna digunakan dan infografik serta simbol unik bagi menunjukkan tarikh penting dalam kalendar umat Islam, maklumat hari sesuai melakukan puasa sunat dan membaca al-Quran, selain hari perayaan, cuti umum dan persekolahan.

Zulkifli berkata Kempen 1 Rumah 1 Taqwim yang dilancarkan PICOMS juga wajar diperluaskan agar seluruh masyarakat Malaysia mendapat makluman dan manfaat menggunakan takwim Islam itu dalam kehidupan seharian.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sambutan Maal Hijrah dalam norma baru, majlis ringkas 20 Ogos

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M akan berlangsung dalam majlis ringkas di Masjid Negara pada 20 Ogos ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata sambutan diadakan mengikut kebiasaan baharu dengan jumlah peserta dihadkan selain perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pihak berkuasa bagi mengekang penularan Covid-19.

“Untuk sambutan peringkat Wilayah Persekutuan dan kebangsaan, kita buat dalam bentuk amat ringkas iaitu pada sebelah petang dan Insya-Allah akan selesai selepas solat maghrib dan pada malamnya diadakan solat hajat.

“Anugerah (Maal Hijrah) akan dibuat di peringkat kebangsaan di Masjid Negara pada malam tersebut dalam kapasiti yang amat terhad, ringkas tetapi tujuannya untuk meninggikan syiar agama dan menzahirkan semangat hijrah Rasulullah SAW diadaptasikan dan dilaksanakan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial Bil 1/2020, di sini hari ini.

Zulkifli berkata sambutan Maal Hijrah bagi peringkat negeri pula tertakluk kepada pengurusan di negeri masing-masing.

Sementara itu, beliau berharap penubuhan Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial tersebut akan dapat menghasilkan penyelesaian kepada isu-isu berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penghinaan terhadap agama Islam, ajaran sesat dan ateisme (fahaman tidak mengakui kewujudan tuhan).

“Saya berharap pelaksanaan yang berkesan dapat dimuktamadkan, bukan untuk menghukum semata-mata tetapi menyelesaikan masalah umat Islam untuk menuju kehidupan yang lebih harmoni,” katanya.

Menurutnya, persidangan itu diadakan bagi meneliti dan mengkaji secara mendalam langkah boleh diambil terhadap isu menghina agama Islam di media sosial dengan mengambil kira aspek tarbiah, penerangan, pemulihan, pencegahan dan undang-undang.

Persidangan sehari itu disertai ahli mesyuarat yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan antaranya wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan belum muktamadkan sambutan Maal Hijrah

NILAI, 11 OGOS: Kerajaan kini dalam peringkat akhir perbincangan bagi memutuskan sama ada mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 1442H/2020M atau sebaliknya, berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sambutan Maal Hjrah yang jatuh pada 20 Ogos ini, merupakan acara kebesaran umat Islam dan amat penting dalam menyebarkan syiar Islam meskipun ia diadakan dalam skala yang kecil.

“Insya-Allah kita akan muktamadkan dan kita akan isytiharkan. Kita akan cuba melihat sambutan Maal Hijrah yang mematuhi sepenuhnya tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini yang turut dihadiri Naib Canselor USIM Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Menurut Zulkifli jika diadakan sambutan Maal HIjrah tahun ini, jumlah peserta dan masa sambutan akan dihadkan.

Mengenai seminar berkenaan, Zulkifli berkata ia diadakan bertujuan mengumpul maklumat dan kajian bagi memperkasa, menambah baik serta mentransformasi pengurusan hal ehwal Islam dalam menghadapi cabaran dan keperluan semasa ummah.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Warga asing masih tidak dibenar solat jemaah di masjid, surau

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Warga asing masih tidak dibenarkan untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid dan surau, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Katanya sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat untuk membenarkan warga asing solat berjemaah di masjid dan surau, pihaknya perlu meneliti laporan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengetahui keadaan di masjid dan surau yang kini sudah mula dibuka.

“Kita mahu lihat laporan daripada Jawi (mengenai masjid di bawah Jawi) dan beberapa tempat lain. Sekiranya (keadaan) stabil dan tidak menjadi masalah maka pada masa itu kita akan dapat satu keputusan.

Kita rasa dalam masa sebulan dua lagi kita boleh selesaikan masalah ini, katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Misi Musa’adah Pasca Covid-19 Jawi Food Bank anjuran Jawi di sini, hari ini.

Pada program itu, Zulkifli menyampaikan bantuan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada 50 penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa di sini.

Zulkifli dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaksanaan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini diperluaskan dengan memberi kebenaran kepada surau dan dewan yang sesuai untuk mendirikan solat Jumaat.

Menurutnya pelaksanaan solat Jumaat juga diperluaskan dengan memaksimumkan penggunaan kawasan atau ruang solat di masjid dan surau Jumaat sedia ada.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor Sambut Ambang Tahun Baru Selama Tiga Hari

Halimah Ali Flip Flop 02

SHAH ALAM 27 DIS : Sambutan ambang Tahun Baru di Selangor akan berlangsung selama tiga hari dengan pelbagai program menarik ekoran sambutan hangat terhadap acara itu tahun lepas.

Ia akan dimulakan dengan Seminar Gen Y pada 29 Disember dan diikuti dengan Karnival Pendidikan Selangor – EduSel Fair daripada 30 hingga 31 Disember bermula tujuh pagi hingga 12 malam di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Karnival tersebut akan diwarnai dengan pelbagai aktiviti positif antaranya ceramah santai daripada personaliti TV iaitu Ahmad Shukri Yusof dan Mohd Fauzi Mustaffa.

Terdapat juga Tahnik bersama ilmuan, forum dan sembang santai bersama artis seperti Shamsul Ghau-Ghau, Kamal Adli, Malek Noor, Abby Abadi, Diana Amir dan Uztaz Azhar Idrus.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata karnival pendidikan itu diharapkan akan menarik lebih ramai pengunjung berbanding tahun lepas.

Karnival itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai ilmu dalam kehidupan seharian seiring dengan misi pendidikan negeri Selangor untuk menjadikan Selangor sebuah negeri Hub Ilmuan dan Hub Pendidikan.

Selain itu, Seminar Gen Y yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan akan memberi fokus kepada memahami psikologi dan biologi Generasi Y.

Seminar tersebut bertujuan membina generasi berwibawa, beriman dan bertaqwa kata exco Adat Melayu, Belia dan Sukan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Ia akan bermula seawal jam 8 pagi hingga 5 petang di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bagunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Antara tetamu jemputanya ialah Ahli Majlis Fatwa Terengganu, Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri ; Profesor Universiti Malaya, Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman, jemputan artis antaranya, Yatt Hamzah, Diana Amir dan Mel Wings.Halimad Ali Flip Flop 01