Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelbagai insentif bantu miliki rumah dalam Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Belanjawan 2020 yang menyediakan pelbagai program dan insentif baharu berkaitan perumahan mampu menyelesaikan masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata peruntukan yang diumumkan semalam itu membawa berita gembira dan ia merupakan langkah tepat dan terperinci dalam usaha membantu rakyat untuk memiliki rumah.

Katanya antara langkah itu termasuk Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki yang bertujuan membantu mereka yang tidak mampu membayar deposit 10 peratus dan sukar mendapatkan akses pembiayaan pembelian rumah.

Menurut Zuraida, melalui skim itu, pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion.

“Di bawah program berkenaan, kerajaan akan memberi pengeculian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik antara pemaju, institusi kewangan dan pembeli,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Melalui Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Skim Perumahan Belia akan menawarkan jaminan pinjaman 10 peratus melalui Cagamas bagi membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh serta bantuan ansuran bulanan RM200 bagi tempoh dua tahun pertama, terhad kepada 10,000 unit rumah.

Kerajaan juga, menurut Lim, akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dari 1 Jan, 2020 kepada 31 Disember, 2021 serta peruntukan RM10 bilion untuk Skim Pembiayaan Sewa oleh institusi kewangan menerusi bantuan kerajaan melalui jaminan 30 peratus.

Sementara itu, mengulas mengenai Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba yang turut diumumkan semalam, Zuraida berkata elaun itu dilihat mampu memberi motivasi kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Elaun yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan ransangan motivasi kepada anggota bomba di seluruh negara untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Setiausaha Akhbar Zuraida letak jawatan

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 10 JUN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengesahkan telah menerima notis peletakan jawatan Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Soffian Mohd Shariff melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Zuraida berkata, beliau menghormati keputusan yang diambil Ahmad Soffian bagaimanapun akan memperhalusi perkara berkenaan selepas pulang ke tanah air.

“Pada dasarnya, saya menghormati keputusan yang diambil beliau. Encik Ahmad Soffian adalah seorang kakitangan berdedikasi dan sering memberi komitmen tinggi terhadap tugasan beliau.

“Namun memandangkan pada waktu ini saya masih berada di luar negara atas beberapa urusan, perkara ini akan diperhalusi sekembalinya saya ke tanah air”, katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Soffian pada pagi ini menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada pihak media memaklumkan bahawa beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan hari ini dan akan bercuti selama sebulan.

Categories
SELANGOR

Zuraida lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang Parlimen Ampang

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 22 OGOS: Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Parlimen Ampang, di perkarangan luar Pusat Membeli Belah Spectrum, Bandar Baru Ampang, semalam.

Beliau menyampaikan Jalur Gemilang kepada semua wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta ketua komuniti, sekitar Parlimen Ampang.

Dalam ucapannya, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia mengembalikan martabat negara dengan semangat baharu sempena sambutan Hari Kemerdekaan, pada 31 Ogos ini.

“Dengan adanya kerajaan baru, tidak kira bangsa dan agama, maka kita akan terus berkhidmat kepada semua. Kita juga akan bekerjasama dengan kerajaan (negeri) yang ditadbir pembangkang dan bantu kerana tiada falsafah menganak tirikan,” katanya.

Zuraida berkata, beliau gembira untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-61 tahun ini kerana buat pertama kalinya pemerintahan negara bertukar dan diangkat menjadi salah seorang menteri, di peringkat Persekutuan.

“Saya gembira dapat mengucapkan Selamat Hari Merdeka sebagai menteri kerajaan menerusi saluran televisyen yang tidak pernah saya gambarkan selama ini.

“Terima kasih kepasa semua warga Ampang kerana terus memilih saya mewakili Parlimen Ampang dan akan meneruskan tanggungjawab seperti diamanahkan,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut meletakkan Jalur Gemilang di kenderaan agensi kerajaan seperti polis, bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Categories
NASIONAL

Isu elaun kritikal bomba, KPKT muktamad akhir Julai

OLEH SHEEDA FATHIL

PUTRAJAYA, 11 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memuktamadkan elaun kritikal kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pada akhir Julai ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT sudah membuat kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada beberapa agensi kerajaan berkenaan elaun kritikal itu.

Beliau berkata, kertas kerja mengenai perkara itu sudah dibentangkan dalam mesyuarat kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

Katanya, setakat ini, pihaknya juga sedang menunggu ulasan daripada pihak Kementerian Kewangan untuk menyemak dan meluluskan.

“Bagaimanapun, kita berasa amat positif kerana permintaan untuk elaun kritikal bomba itu tidak membabitkan implikasi kewangan tambahan.

“Memandangkan kerajaan kini sedang berjimat cermat, namun kebijaksanaan KPKT mampu untuk memperuntukan elaun kritikal kepada bomba tanpa ada sebarang tambahan peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Kehormat JBPM yang diadakan di KPKT, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Zuraida turut menerima Pangkat Kehormat selaku Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba daripada JBPM.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, selepas dimuktamadkan akhir bulan Julai, elaun kritikal itu mampu memberi manfaat kepada 14,700 anggota JBPM di seluruh Malaysia.

“Setiap anggota bomba akan menerima elaun kritikal RM200 seorang pada setiap bulan,” katanya.

Terdahulu, KPKT memperuntukkan RM35 juta bagi pemberian elaun kritikal kepada anggota JBPM memandangkan tugas mereka yang berhadapan risiko berbahaya serta mengancam keselamatan ketika di lokasi bencana.

 

Categories
NASIONAL

Zuraida: Tidak terima sebarang aduan RUMAWIP dihenti

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 8 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tiada menerima sebarang aduan mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa projek pembinaan Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) itu akan dihentikan.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, sekiranya ada aduan beliau bersedia mengadakan pertemuan dengan pembeli unit perumahan terbabit untuk mendapatkan maklumat.

“Setakat ini kita tidak terima sebarang aduan berhubung perkara ini, tetapi jika ada kita akan ambil pendekatan untuk pastikan mereka tidak dianiaya dan mendapat hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Ampang yang diadakan di Padang Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas, di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa.

Terdahulu, terdapat desas-desus mengatakan bahawa projek RUMAWIP untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang menetap serta bekerja di Wilayah Persekutuan itu akan dihentikan.

Categories
NASIONAL

Zuraida: Pembangunan perumahan di Sarawak diberi perhatian

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PUTRAJAYA, 27 JUN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berhasrat untuk memberi kerjasama penuh dengan Kerajaan Sarawak bagi pembangunan perumahan dan penempatan di negeri itu.

Katanya, walaupuan Sarawak bukan dari Kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) namun menjadi prinsipnya tidak memandang perbezaan politik untuk menjalin kerjasama demi manfaat rakyat.

“Walaupun ada sekatan masuk sebelum ini, namun ia tidak menutup hasrat saya membantu rakyat di negeri itu.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sudi menerima saya kembali ke Sarawak disamping menyatakan hasrat bersedia bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan khususnya dalam pembangunan perumahan di sana,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya di sini, semalam.

Katanya, beliau telah mengenal pasti kira-kira 75,000 rumah kos rendah diperlukan di Sarawak termasuk rumah panjang.

Difahamkan perkara itu dibincangkan ketika beliau membuat kunjungan rasmi buat pertama kali ke Sarawak baru-baru ini sejak disekat pada 2013.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Peranan bapa penting untuk negara

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 JUN: Peranan bapa adalah penting untuk pembangunan masyarakat dan juga negara.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, bapa memainkan peranan penting sebagai seorang ketua dan pembimbing dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

“Bagi sebuah keluarga, bapa dan ibu bersama-sama memainkan peranan yang amat besar dalam mendidik anak-anak yang akan menjadi pelapis kepada kepimpinan akan datang.

“Seorang bapa yang bertanggungjawab, baik dan berfikiran jauh akan dapat membentuk sebuah keluarga sakinah sekaligus menjadi asas kepada sebuah masyarakat madani,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Beliau yang juga Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan berkata, hanya keluarga yang progresif, aman dan bahagia akan dapat membentuk negara yang maju dan berdaya saing.

“Maka dalam sambutan hari bapa kali ini saya ingin menyeru kepada semua bapa untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pelindung, pembimbing dan nakhoda keluarga.

“Selamat Hari Bapa kepada semua bapa di Malaysia,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tiada lagi “rumah sarang burung” bagi orang miskin – Zuraida

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Dasar Komuniti Negara yang akan dilancarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Ogos ini mungkin mencadangkan tempat kediaman yang lebih besar kepada golongan miskin, kata menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata cadangan yang bakal dibuat adalah menambah keluasan saiz rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada 900 kaki persegi daripada 600 kaki persegi sebelum ini.

“Saya tidak mahu rumah PPR dan rumah untuk B40 ini konsep duduk di rumah ibarat sangkar burung…kecil, jadi saya cadangkan dalam pelan Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) nanti rumah yang selesa dengan rumah yang disediakan lebih besar sikit,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Kumpulan B40 terdiri daripada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan memperoleh RM3,000 sebulan ke bawah.

“Bilik, ruang tamu dan koridor mestilah selesa. Kemudahan yang lengkap seperti tempat riadah, surau, dewan, perpustakaan, semua ini kena lengkap untuk mereka supaya ada ruang untuk berekreasi dan rehatkan minda dalam kelompok sendiri tanpa perlu pergi jauh.

Kita mahu mereka rasa selesa dengan persekitaran mereka dan komuniti akan sentiasa berkomunikasi dalam kelompok sendiri,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zuraida azam laksana perbandaran selamat, kerajaan tempatan bertaraf global

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MEI: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi kabinet baru di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Zuraida berkata, portfolio itu membolehkannya meneliti perumahan seimbang untuk Bumiputera di kawasan bandar besar termasuk hak golongan minoriti, orang asal dan warganegara lain agar mereka juga menikmati kediaman selesa.

“Ini adalah antara perkara yang akan saya berikan perhatian. Kini saya berpeluang untuk meneliti segala dasar dan pelaksanaan kementerian terbabit dengan lebih mendalam. Saya yakin banyak penambahbaikan dan cadangan dengan substantif dapat dilaksanakan, ” katanya kepada SelangorKini.

Zuraida yang juga Ketua Wanita PAKATAN berkata, beliau akan turut meneliti reformasi dari sudut perkhidmatan perbandaran yang selamat dan mesra gender.

“Justeru, pengurusan perbandaran dan kerajaan tempatan yang profesional dan berkelas antarabangsa dapat dimulakan perlaksanaannya.

“Manakala pemberdayaan komuniti akan diberi penekanan utama selaras dengan kepesatan perubahan dalam negara,” katanya.

Wanita berusia 60 tahun ini pernah memegang beberapa jawatan penting dalam dunia korporat, termasuk, Pengurus Penyelidik dan Perancangan Akaun, Chuo Senko Advertising (Jepun), Pengarah Pengiklanan Bersekutu, Saatchi&Saatchi serta Pengurus Jualan Kebangsaan, Avon (M) Berhad.

 

Categories
SELANGOR

Janji BN beri rumah percuma tidak realistik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 FEB: Janji Barisan Nasional (BN) untuk memberi rumah percuma kepada pasangan muda baru berkahwin sekiranya menang di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disifatkan hanya janji kosong.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor, Zuraida Kamarudin berkata, janji yang ditawarkan itu tidak realistik, malahan BN terdahulu gagal memberikan khidmat kepada rakyat, di negeri terbabit.

Malah, beliau turut mempersoalkan kemampuan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, yang tidak mempunyai rekod amanah dan tidak mempunyai kredibiliti.

“Janji beliau tidak ditepati. Jamal tidak ada kredibiliti, tidak ada ‘track record’ yang amanah, jujur dan kita tidak boleh pakai janji orang macam ini.

“Janji kosong BN ini yang digunakan 60 tahun dulu, sebab itu BN kalah, pada 2008 sehingga kini,” katanya lapor FMT.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Jamal yang berjanji akan memberi rumah percuma kepada pasangan muda baru berkahwin jika parti itu berjaya menawan negeri berkenaan, pada PRU14.

Terdahulu, Jamal berkata, pihaknya sudah membincangkan perkara itu dengan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Pada masa sama, Zuraida mengingatkan BN untuk menerima hakikat bahawa rakyat kini lebih mempercayai kemampuan PAKATAN yang mentadbir Selangor.

“Kerajaan Selangor yang ada masa ini, kita cakap dan buat. Sebab itu, saya cakap Jamal tidak rasional dan cakap tak boleh pakai, sebab tidak ambil kira statistik berkenaan kajian, analisa keadaan semasa ekonomi dan kedudukan kewangan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

IWB anjur seminar wanita galak keseimbangan kerjaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 FEB: Penganjuran Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya yang dijayakan Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor mampu mengukuhkan peranan wanita dalam institusi kekeluarga negara.

Pengerusi IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, penganjurannya diwujudkan bagi memberi pendedahan umum terhadap pelaksanaan keseimbangan kerjaya dan keluarga.

“Ini adalah sebahagian daripada agenda untuk memberdayakan kebajikan wanita Selangor dengan mefokuskan aspek keseimbangan hidup bekerjaya bagi menghasilkan pendekatan baru untuk meningkatkan kualiti wanita Selangor.

“Usaha ini dijalankan kerana kita mahu melahirkan wanita Selangor yang bukan sahaja bekerjaya tetapi bahagia bersama keluarga dan pada masa sama dapat mengekalkan identiti daripada segi penyediaan jati diri maasing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya (Work Life Balance) anjuran Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor, di Dewan Auditorium Tingkat 2, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Raja Tun Uda, pagi ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Ahli Lembaga Pengarah IWB, Haniza Talha.

Pada masa sama, seramai lebih 300 peserta terdiri daripada kakitangan wanita kumpulan anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) hadir pada seminar berkenaan.

Ia menampilkan panelis terkenal antaranya Felo Kanan di Institute Of Southeast Studies (ISEAS), Dr Lee Hwok Aun dan Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Norizan Abd Razak.

Seminar berkenaan turut menampilkan Timbalan Dekan Akademik Malaysian Japan International Institute Of Technology (MJIIT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Sabariah Baharun dan Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa, Dr Ruhaya Hussin.

Categories
NASIONAL

Jamal dinasihat hentikan aktiviti ‘kurang siuman’ – Zuraida

OLEH SABIRAH AZIZ

AMPANG, 8 NOV: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menasihatkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos supaya berhenti melakukan perkara tidak siuman dan membuang masa.

Beliau berkata, nasihat dan teguran yang sama pernah diberikan sewaktu perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Saya minta dia berhenti lakukan aktiviti-aktiviti yang kurang siuman dan bukan-bukan sebab berdosa, jadi kalau lepas ini dia buat lagi perkara sama, dia akan terima padahnya.

“Kalau dia buli orang lagi, kita akan terus ambil tindakan dan takkan biarkan orang macam ini merosakkan masyarakat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini.

Ahli Parlimen Ampang itu mengulas mengenai kes samannya terhadap Jamal berhubung insiden pukul pada 13 November 2016 lalu.

“Alhamdulilah..selepas kes itu, sewaktu dia buat fitnah, memang banyak peguam telefon saya nak ambil kes ini sebab mereka yakin boleh menang tapi bagi saya, menang bukan menjadi isu, tetapi prinsipnya.

“Jadi saya harap dia akan berhenti buat bukan-bukan dan berubah. Saya minta dia jadikan pengajaran, jangan senang-senang buli orang. Lagipun banyak kes saman dia yang belum selesai lagi,” katanya.

Dalam kejadian itu, Jamal mendakwa ditumbuk di mukanya ketika mengetuai penyokong Baju Merah ketika mengekori Zuraida di Pusat Beli-belah Ampang Point dan menjerit polis memukulnya serta menuduh penyokong Bersih mencederakannya.

=EZY=