Categories
NASIONAL

Zuraida: Terus khidmat bakti balas kepercayaan pengundi

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 10 MEI: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, akan membalas kepercayaan penyokong dan pengundi di Parlimen Ampang dengan terus menyumbang khidmat bakti yang terbaik.

Beliau berkata, majoriti besar diperoleh adalah isyarat jelas sokongan padu masyarakat di sini dan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan terus menjaga kebajikan rakyat di Selangor seterusnya seluruh negara.

“Saya menjangkakan akan mengekalkan kerusi Parlimen Ampang dengan majoriti sekitar lebih 13,000 tetapi ia meningkat begitu tinggi hingga lebih 41,000.

“Terima kasih kepada pengundi Ampang,” katanya kepada media selepas diumumkan sebagai pemenang kawasan berkenaan di Dewan Datuk Ahmad Razali di sini, malam tadi.

Beliau yang menjadi wakil rakyat di sini selama dua penggal berkata, pembangunan berterusan akan dilaksanakan di kawasan itu demi kemudahan rakyat dan semua berkaitan.

“Kita akan terus membakti demi masa depan lebih baik dan terjamin untuk rakyat,” katanya.

Dalam pilihan raya ke 14 (PRU) ini, Zuraida mendapat sebanyak 54,307 undi dengan majoriti 41,956.

=EZY=

Categories
NASIONAL

NFC: Shahrizat tarik balik saman RM100 juta terhadap Rafizi, Zuraida

SHAH ALAM 11 NOV : Kes saman RM100 juta Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dibatalkan setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk menarik kembali saman yang dikemukakan.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Januari tahun lalu oleh Ketua Wanita Umno itu, beliau mendakwa Zuraida dan Rafizi membuat kenyataan fitnah berhubung dakwaan terhadap projek National Feedlot Corporation (NFC).

Menurut laporan The Malaysian Insider, penarikan saman itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera.