Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu semasa bawah siasatan JP-PBT

Oleh: NIK NAZMI NIK AHMAD

Jawatankuasa Pilihan Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT) sedang menjalankan beberapa siasatan ke atas isu-isu semasa berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan di Selangor.

Antaranya adalah cadangan pembinaan Lebuhraya KIDEX dan Lebuhraya SKIP serta penukaran zon di USJ 10 dan USJ 7 yang berada di bawah bidangkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya. Jawatankuasa Pilihan PBT sedang menyelidik perkara-perkara ini dengan lebih mendalam dengan memeriksa Rancangan Tempatan MPSJ 2020 dan juga mendapat keterangan daripada pihak MPSJ, dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor atas dakwaan pindaan draf Rancangan Tempatan tersebut tidak mengikut prosedur. Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan, Y.B. Dato’ Teng Chang Kim dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bandar dan Peneroka Bandar, Y.B. Iskandar bin Abdul Samad juga telah memberi penjelasan yang lanjut.

Selain itu, Jawatankuasa telah mengambil perhatian masalah yang dihadapi oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB) dalam proses menyelenggara dan menguruskan kediaman berstrata terutamanya kediaman-kediaman strata kos rendah. Oleh yang demikian, Jawatankuasa telah mengadakan pendengaran tertutup bersama COB daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan juga Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk mendapatkan maklumat terperinci.

Di samping itu, selari dengan rangka kerja Jawatankuasa untuk melihat sendiri perkembangan dan perjalanan pentadbiran PBT-PBT di Selangor, Jawatankuasa telah mengadakan lawatan ke MPKj dan MBPJ. Melalui lawatan-lawatan ini, Jawatankuasa telah dapat mengetahui pencapaian dan mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh PBT-PBT di Selangor.

Hasil daripada siasatan dan lawatan yang dijalankan, Jawatankuasa telah membuat beberapa penemuan dan saranan untuk dinyatakan di dalam Penyata dan dibentangkan di dalam Dewan Negeri yang akan datang.

#Nik Nazmi adalah Pengerusi: JP-PBT

Leave a Reply

Your email address will not be published.