Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: ECRL bakal jadikan utara Selangor hab pengangkutan kereta api

HULU SELANGOR, 12 MAC: Kawasan utara Selangor khususnya Batang Kali bakal menjadi hab pengangkutan kereta api dan industri logistik dengan adanya laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembinaan ECRL menerusi jajaran utara menjadikan proses penghantaran membawa kontena ke Pelabuhan Klang semakin mudah.

“Sebelum ini, dari utara mereka perlu melalui Kuala Lumpur dan kemudian baru ke Pelabuhan Klang. Dengan adanya ECRL, penghantaran barangan ini melalui Serendah Bypass yang menjadi sebahagian jajaran utara.

“Dengan adanya jalan ini, saya percaya bukan hanya kereta api tetapi syarikat logistik dan perkhidmatan penghantaran akan berkembang, sekali gus menjadikan Batang Kali sebagai hab penting kepada industri kereta api,” katanya ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini hari ini.

Menurut Amirudin, beliau turut menerima cadangan pembangunan pelancongan di sepanjang laluan menuju ke Genting Highland, Pahang.

“Bagaimanapun, rancangan itu perlu diteliti terutama melibatkan aspek alam sekitar sebelum sebarang projek pembangunan dijalankan di kawasan tersebut.

“Ini kerana kebanyakan tanah dimiliki syarikat dan individu yang sedang merangka untuk menjadikannya kawasan pelancongan,” katanya.

Pada 2 Disember tahun lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Selangor bersetuju menerima cadangan kerajaan persekutuan berhubung laluan projek ECRL melalui jajaran utara.

Bagaimanapun, beliau berharap projek itu mengambil kira kesan terhadap alam sekitar seperti kawasan tadahan air berdekatan Empangan Batu dan impak sosial lain antaranya penempatan kampung tradisi serta Orang Asli.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri giat selesaikan projek perumahan terbengkalai

HULU SELANGOR, 12 MAC: Kerajaan Selangor giat menyelesaikan projek perumahan terbengkalai di negeri itu secara berperingkat.

Dato’ Menteri Besar berkata terdapat banyak projek tersebut melibatkan kes lama yang masih belum selesai dan dalam senarai EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

“Kita akan atasi satu persatu, namun ia bukan mudah sebab sebahagiannya melibatkan pihak penyelesai (liquidator). Apabila melibatkan pihak berkaitan, penyelesaian jadi lama dan panjang.

“Senarai projek terbengkalai ada pada YB Rodziah dan dari semasa ke semasa kita akan selesaikan secara berperingkat untuk memastikan Kerajaan Negeri dapat menyediakan projek yang sempurna kepada rakyat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di Batang Kali, Hulu Selangor pada 12 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ion Belian Garden yang dahulunya merupakan projek perumahan Lembah Genting diambil alih NCT Group of Companies (NCT Group) selepas terbengkalai selama 17 tahun.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata penyelesaian projek perumahan terbengkalai membuktikan permintaan hartanah di Selangor masih tinggi dan berkembang.

“Ada dua perkara penting di sini, saya ucapkan terima kasih kepada pemaju yang tampil menyelesaikan projek terbengkalai selama 17 tahun. Mereka menukar unit banglo kepada rumah teres yang berkemampuan dan menawarkan harga sesuai dengan saiznya.

“Kedua pemaju menangani isu terbengkalai melibatkan lebih 199 pembeli yang terbeban dengan hutang dan kos pembelian. Penyelesaian ini membuktikan permintaan perumahan di Selangor masih tinggi,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Program jualan prihatin lebih kerap, ringan beban rakyat ketika Ramadan

AMPANG, 12 MAC: Program jualan prihatin rakyat akan dijalankan lebih kerap di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang Ramadan nanti, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata keperluan makanan lain yang dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran akan ditambah sebagai langkah meringankan beban penduduk.

“Selepas sidang Dewan Negeri Selangor, kita akan meneliti perkara ini melibatkan kekerapan lokasi serta penjualan keperluan lain. Sebelum ini kita kenal pasti 62 lokasi.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim bercakap kepada Media Selangor ketika meninjau Program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sepanjang dua minggu program berlangsung, sambutannya sangat baik. Penduduk memang minta ia dijalankan lebih kerap terutama sepanjang Ramadan jadi kita akan lihat perkara ini,” katanya selepas turun padang ke program di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya di sini hari ini.

Jelasnya, penentuan kekerapan lokasi program diutamakan ke kawasan didiami golongan berpendapatan rendah.

Hari ini program bermula 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri turut berjalan di Kampung Melayu Subang, Subang dan Jalan Permai 2, Tasik Permai.

Ia diteruskan esok di Jalan GP2A, Gombak Permai, Dewan Beringin, Taman Seri Gombak dan Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

MB: Penduduk dinasihat berpindah hingga hasil kajian tanah runtuh diperoleh

HULU SELANGOR, 12 MAC: Dato’ Menteri Besar sekali lagi menasihatkan penduduk di Taman Bukit Permai 2, Ampang supaya segera berpindah buat sementara waktu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata permintaan itu dibuat kepada 48 penghuni unit kediaman di kawasan tanah runtuh berkenaan.

“Tempoh perpindahan tidak lama kira-kira tiga hingga empat hari atau maksimum lima hari, sehingga kita memperoleh kebenaran daripada pihak terbabit mengenai tahap keselamatan cerun yang runtuh.

“Jika kajian mendapati ia selamat untuk diduduki, mereka boleh balik ke kediaman masing-masing dan operasi pemulihan di lokasi tanah runtuh akan dijalankan segera.

“Bagaimanapun, saya minta mereka mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya mahu terus berada di rumah masing-masing kerana lokasi itu masih berisiko,” katanya ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu kajian oleh Jabatan Kerja Raya, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berhubung insiden itu.

“Mereka meminta tempoh tiga hari dan selepas itu kita akan meneliti tindakan selanjutnya, termasuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan cerun yang tidak dapat dilakukan sekarang.

“Mengenai 150 cerun yang dikenal pasti berisiko berlakunya tanah runtuh, perkara ini akan dibincangkan seperti isu menangani banjir. Kita dalam proses memantau cerun-cerun dan bagaimana hendak menanganinya khusus ketika berdepan dengan perubahan iklim serta cuaca tidak menentu,” katanya.

Semalam, selepas membuat tinjauan kira-kira setengah jam di lokasi tanah runtuh, Amirudin memaklumkan tiada sebarang aktiviti mencurigakan atau pembalakan berlaku.

Kejadian di Taman Bukit Permai 2, Ampang itu meragut empat nyawa manakala seorang mangsa cedera ringan, selain mengakibatkan 15 rumah dan 10 kenderaan terjejas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri tambah bekalan ayam di lokasi jualan prihatin 

AMPANG, 12 MAC: Kerajaan Negeri akan menambah bekalan ayam sehingga 1,000 ekor di lokasi terpilih program jualan prihatin rakyat, susulan permintaan tinggi daripada orang ramai.

EXCO pertanian berkata, sebelum ini pihaknya menyediakan 500 ekor ayam di semua lokasi jualan berkenaan.

“Kita hadkan bekalan kepada 500 ekor ayam di setiap lokasi namun ada juga lokasi yang tidak cukup hingga perlukan 1,000 ekor.

“Waktu operasi juga bergantung kepada kehadiran pelanggan. Kita mahu pastikan semua mendapat peluang membeli barang pada harga murah,” kata Ir Izham Hashim kepada Selangorkini hari ini.

Mengenai program jualan prihatin rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, beliau berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Katanya, orang ramai sudah mula beratur di lokasi di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya sejak jam 9 pagi walaupun gerai jualan hanya dibuka pada jam 10 pagi.

“Penduduk memang memanfaatkan peluang ini kerana harga jualan lebih murah berbanding pasaran. Lagipun tempat ini juga strategik untuk dikunjungi.

“Bagi meringankan beban pelanggan yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah, pusat khidmat turut menyediakan baucar RM10 kepada 200 pengunjung terawal,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Pandan Indah itu berkata program sama turut diadakan di Kampung Melayu Subang, Subang dan Jalan Permai 2, Tasik Permai.

Program yang dilancarkan pada 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri itu menjual barang keperluan dengan harga lebih murah terutama ayam, telur, daging dan ikan.

Ia akan diteruskan di Jalan GP2A, Gombak Permai; Dewan Beringin, Taman Seri Gombak dan Padang Perbandaran Ampang Jaya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MetMalaysia: Orang ramai dinasihat lebih waspada ketika fasa peralihan monsun

SHAH ALAM, 12 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang ramai lebih berwaspada sepanjang fasa peralihan monsun.

MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 14 Mac ini dan berterusan hingga pertengahan Mei 2022.

“Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya monsun timur laut yang bermula sejak 3 November 2021.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataannya semalam, MetMalaysia berkata semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir, yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Menurut kenyataan itu, kejadian itu berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Katanya, keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS: Lima keluarga asnaf positif Covid-19 terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 12 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada lima keluarga asnaf di perkampungan Orang Asli Sungai Buloh.

Menurut Facebook LZS, agihan itu dibuat selepas menerima maklumat daripada Penggerak Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Buloh.

“Kami menerima maklumat daripada Penggerak KOA Sungai Buloh bahawa ada lima keluarga asnaf di perkampungan Orang Asli Sungai Buloh terputus bekalan makanan kerana sedang menjalani kuarantin di rumah disebabkan positif Covid-19.

“Justeru, Zakat Selangor bersama pihak Amil Kariah telah menyantuni keluarga ini dengan memberikan barangan keperluan makanan bagi meringankan beban dan ujian yang dihadapi mereka.

“Kami mendoakan dan berharap agar keluarga yang terlibat ini diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik selepas ini. Amin,” katanya.

 

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 1.1 juta kanak-kanak negara terima dos pertama vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Sejumlah 1,119,954 atau 31.5 peratus kanak-kanak di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, 15,238,078 individu atau 64.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 dan 22,933,696 atau 97.5 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,210,290 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,835,698 individu atau 91.1 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,935,797 atau 94.3 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam 58,326 dos vaksin telah diberikan, dengan 23,938 sebagai dos pertama, 1,678 sebagai dos kedua dan 32,710 sebagai dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang dikeluarkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,064,755.

Sementara itu menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 76 kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam, dengan Kedah mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 15 kes, diikuti Selangor (14), Perak (10), Johor (lapan), manakala Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing merekodkan lima kes kematian.

Kuala Lumpur merekodkan empat kes kematian, masing-masing tiga kes di Perlis dan Pulau Pinang, manakala Kelantan, Melaka, Pahang dan Sarawak masing-masing merekodkan dua kes dan Terengganu (satu).

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Terbuka Jerman: Zii Jia mara ke separuh akhir

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia menepati ramalan melangkah ke pentas separuh akhir Terbuka Jerman 2022 selepas menewaskan Zhao Junpeng dari China dalam aksi suku akhir semalam.

Turun selaku pilihan kelima, Zii Jia menang mudah set pertama 21-12 namun pemain China yang menduduki ranking ke-38 dunia itu cuba memberikan tentangan sengit pada set kedua, sebelum Zii Jia menang 21-18 dalam kejohanan berlangsung di Westenergie Sporthalle, Muelheim.

Pemain berusia 23 tahun di ranking ketujuh dunia itu dijangka akan membuat perhitungan bagi menentukan tempat ke final pada separuh akhir esok menentang pemenang satu lagi perlawanan suku akhir di antara Kenta Nishimoto dari Jepun dengan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang akan berlangsung lewat semalam.

Dalam pada itu hasrat beregu wanita Vivian Hoo-Lim Chiew Sien untuk memburu slot penentuan empat terakhir tidak kesampaian apabila tewas di tangan pilihan pertama Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China.

Qing Chen-Yi Fan mengambil masa selama 42 minit untuk menewaskan gandingan negara, 21-15 22-20

Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dijangka akan bertemu gandingan Du Yue-Li Wen Mei dari China atau Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand dalam pertemuan separuh akhir esok.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Yonnyboii kedua selepas Siti Nurhaliza di Spotify

Oleh Intan Syuhada Akhir

Walau masih baharu dalam dunia seni dengan lagu pertamanya Sakit, terbit hujung 2019, Yonnyboii tiba-tiba muncul penyanyi kedua popular selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin di Spotify tahun lalu.

Pemuda 24 tahun itu popular dengan lagu Angel dalam aplikasi tersebut, antara ruang digital muzik yang terbesar di dunia dengan lebih 400 juta pendengar aktif sebulan.

Sementara Siti Nurhaliza popular dengan lagu Bukan Cinta Biasa. Beberapa penyanyi lain yang lebih terkenal seperti Hujan (lagu Jika Sempat) berada di bawah populariti pemuda Setapak itu.

Selain lagu itu, Salahku yang terbit pada 2020 terus melonjak Yonnyboii ke pentas seni negara. Lagu itu yang dikarang dalam masa 30 minit berjaya ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 baru-baru ini.

Sayangnya penampilan pertama dalam pertandingan akhir Muzik-Muzik gagal meraih kemenangan.

“Saya masih ingat lagu ini saya hasilkan dalam tempoh yang sangat sekejap lebih kurang setengah jam. Saya duduk di kerusi dan ilham itu datang mengalir.

“Saya tidak sangka lagu ini digemari kerana konsepnya macam lagu bercakap. Tapi nampaknya pendengar betul-betul hayati lirik yang ditulis,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Penyanyi dan komposer Yonniboii

Yonnyboii, nama pentas Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, menyifatkan kelahiran lagu tersebut sebagai magis.

“Tujuan saya menghasilkan muzik cuma satu iaitu ingin berkongsi apa yang saya rasa. Melihat kepada sokongan orang ramai kepada lagu ini, saya rasa hasrat saya sudah tercapai,”katanya.

“Pada waktu itu, saya akui memang banyak perkara yang terjadi ketika bergelar anak seni di scene muzik bawah tanah. Semuanya saya pendam sehingga akhirnya saya menuliskan lagu ini,” cerita beliau lagi.

Berdepan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), Yonnyboii mengakui beliau pernah dijauhi rakan-rakan. Beliau juga menjadi sasaran pembuli sejak zaman persekolahannya sehingga menyebabkannya murung.

Namun, sisi gelap yang dilalui penyanyi dan komposer kelahiran Kuala Lumpur itu sebaliknya menguatkan jiwa Yonnyboii sebagai artis muda.

Namun, tingkah lakunya yang dianggap sedikit aneh kerap menimbulkan salah faham. Bahkan, ada menganggap penyanyi itu mengambil bahan terlarang. Namun, Yonnyboii tegas menyangkal tuduhan itu.

“Bagi saya, muzik adalah cara saya untuk berdamai dengan apa yang ada dalam kepala saya. Muzik adalah hidup saya.

“Setiap pengkarya kena ikhlas dalam menghasilkan lirik dan lagu. Saya tidak menipu dalam karya saya. Bila saya sedih, lagu yang terhasil juga sedih. Begitu juga sebaliknya.

“Siapa yang dengar lagu-lagu saya, mereka sedang membaca diari saya,” tambahnya, yang mendirikan rumah tangga tahun lalu.

Meski tidak menang ketika tampil di pentas akhir AJL, anak muda itu berjaya memberi persembahan terbaik sehingga mengundang perhatian peminat seni tanah air.

Yonnyboii mula bergiat dalam bidang muzik pada usia remaja enam tahun lalu. Tiga tahun kemudian, Sakit nyanyiannya bersama penyanyi rap Zynakal hingga kini meraih 48 juta tontonan di YouTube.

Karya berkenaan menduduki carta RIM sebagai lagu yang paling banyak distrim selama 14 minggu berturut-turut dan kekal hingga minggu ke-35. Ia juga berjaya mara ke separuh akhir AJL35.

Bagi mengukuhkan kerjaya muziknya, Yonnyboii bekerjasama dengan Caprice menerusi lagu Takut pada 2019, Azlan & The Typewriter (Kelabu) serta Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique (X Missing You), semuanya pada 2020.

Beliau juga menulis lirik lagu hip hop Jangan Keluar dendangan bersama 16 artis naungan Universal Music Malaysia, antaranya Hafiz Hamidun, Alvin Chong, Shila Amzah, Sophia Liana, Rabbit Mac dan Malik Abdullah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Paip pecah: Bekalan air 13 kawasan di KL pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 12 MAC: Bekalan air 13 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur yang terjejas berikutan kerja-kerja pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru pulih sepenuhnya jam 12 tengah malam tadi.

Air Selangor menerusi Facebook mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku.

Pada Khamis, sebanyak 13 kawasan sekitar ibu negara mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah.

Kawasan terjejas ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Taman Mewah dan Taman Mestika.

Pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hujan lebat punca cerun tidak stabil, ratusan berisiko runtuh

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Kerajaan Selangor mengenal pasti lebih 150 cerun yang berisiko tinggi untuk berlaku tanah runtuh terutama sekitar Gombak, Ampang dan Hulu Langat.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Ir Izham Hashim berkata cerun terbabit yang dikenal pasti menjadi tidak stabil akibat air hujan melampau sehingga menjejaskan kawasan itu.

Beliau berkata sebahagian besar cerun berisiko dikenal pasti selepas banjir di Selangor pada Disember lepas.

“Kita sudah minta Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia menjalankan pemantauan dengan lebih meluas dan dengan teknologi yang ada sekarang, kejadian tanah runtuh seperti ini dapat diminimumkan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang hari ini.

Mengulas kejadian tanah runtuh itu, Izham berkata kawasan tersebut tidak termasuk dalam senarai cerun yang berisiko.

“Kebiasaannya apabila berlaku kejadian tanah runtuh, akan ada petunjuk seperti keretakan dan runtuhan sedikit tetapi dalam kejadian di Taman Bukit Permai 2, tiada indikasi serta berlaku secara mengejut,” katanya.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Izham turut menolak kemungkinan kejadian bongkah batu yang terjatuh dari bukit berhampiran Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai pada 9 Mac lepas adalah petunjuk awal insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2.

Beliau juga berkata kejadian bongkah batu terjatuh berhampiran pangsapuri berlaku kira-kira empat kilometer dari lokasi insiden tanah runtuh semalam.

-BERNAMA