Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR SELANGOR

Yide, Intec jalin kerjasama bantu anak yatim lanjut pelajaran

SHAH ALAM, 9 FEB: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menjalin kerjasama dengan INTEC Education College (Intec) bagi membantu anak yatim melanjutkan pelajaran.

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berkata pihaknya menyasarkan seramai 50 anak yatim lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini terpilih untuk menyambung pengajian di institusi pendidikan itu.

“Insya-Allah Yide dan Intec akan berusaha merealisasikan hasrat ini dalam masa terdekat dan mereka yang terpilih belajar di sana dengan segala yuran pengajian, wang saku dan komputer riba ditanggung sepenuhnya.

“Ia adalah salah satu impian Yide untuk melihat anak yatim berjaya dalam pelajaran dan secara tidak langsung dapat berbakti kepada ummah kelak,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Yide menerima kunjungan daripada pihak Intec diwakili Ketua Eksekutifnya Dr Roshayani Arshad dan disertai Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan dan Publisiti Yide Md Arifin Jaafar.

Ia adalah kali pertama buat kedua agensi itu bagi membincangkan usahasama pendidikan anak yatim seliaan Yide.

Pada masa sama, Nur Mohd Razali berkata pihaknya bercadang melaksanakan kempen infaq pendidikan dan terbuka untuk orang awam, syarikat korporat yang sudi membantu menjayakan program tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Amaran ribut petir, hujan lebat di Lembah Klang petang ini

SHAH ALAM, 3 FEB : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa daerah di Selangor sehingga jam 6 petang ini.

Daerah tersebut ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang termasuk beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beberapa kawasan di Kedah dijangka mengalami cuaca sama ialah Kulim dan Bandar Baharu serta seluruh Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Amaran sama turut dikeluarkan di Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, serta Pahang (Bera dan Rompin)

Manakala di Johor membabitkan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Sarawak pula membabitkan Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song), Bintulu (Bintulu) dan Miri (Subis dan Miri) sehingga jam 6 petang ini.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman web www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Anwar sumbang bakul makanan bantu mangsa banjir di Kampung Kebun Bunga

SHAH ALAM, 31 DIS:  Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan sokongan kepada usaha pasukan sukarelawan yang terdiri daripada anak-anak muda Mahasiswa Harapan dalam membantu mangsa banjir di negeri ini.

Ketua pembangkang telah menyerahkan bantuan bakul makanan kepada sukarelawan tersebut semalam bagi diedarkan kepada mangsa banjir di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 di sini.

“Terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anwar Ibrahim Club kerana memberi sumbangan bakul makanan kepada team Mahasiswa Mahasiswa Harapan.

“Sumbangan ini kami telah agihkan kepada penduduk Kampung Kebun Bunga,” kata Mahasiswa Keadilan Malaysia dalam Facebook lewat petang semalam.

Terletak di tepi Sungai Damansara, Kampung Kebun Bunga antara kawasan yang teruk dilanda banjir besar di bandar raya ini pada 18 Disember lalu apabila paras air mencecah bumbung rumah penduduk.

 

Sukarelawan Mahasiswa Harapan mengangkat barangan makanan yang disumbangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu mangsa banjir di Kampung Kebun Bunga Seksyen 22, Shah Alam pada 30 Disember 2021. Facebook Mahasiswa Keadilan Malaysia

 

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR SELANGOR

Unisel gerakkan 300 sukarelawan bantu bersih rumah mangsa banjir

SHAH ALAM, 21 DIS: Universiti Selangor (Unisel) hari ini menggerakkan seramai 300 orang sukarelawan bagi misi bantuan pasca banjir ke kawasan-kawasan yang terjejas.

Pengarah komunikasi korporat Hasril Abu Hassan berkata misi diketuai Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman membantu membersih rumah mangsa banjir selain menyerahkan bantuan kewangan.

Katanya, misi bantuan tersebut menumpukan beberapa kawasan terjejas antaranya di Bestari Jaya, Sungai Kandis dan Padang Jawa.

“Buat masa ini Unisel kampus Bestari Jaya masih selamat dan tidak terjejas. Meskipun begitu, kesemua pelajar yang berada di dalam kampus telah diberikan pelbagai bantuan melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut menyalurkan bantuan Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin, Penggerak Belia Selangor (PeBS), Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kewangan kepada mangsa banjir di Bestari Jaya pada 21 Disember 2021. Foto Facebook Unisel

 

Sukarelawan misi bantuan pasca banjir yang digerakkan oleh Universiti Selangor (Unisel) membantu membersihkan rumah penduduk di Bestari Jaya pada 21 Disember 2021. Foto Facebook Universiti Selangor
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Bantuan RM600 untuk keluarga fakir, bukan asnaf terjejas banjir

SHAH ALAM, 20 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan RM600 kepada setiap ketua keluarga fakir miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat bencana banjir di Selangor melibatkan peruntukan zakat RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M. Yusop berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah untuk menyelaras bantuan bagi meringankan beban mangsa terlibat.

Tambahnya sebanyak RM250,000 lagi diperuntuk bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah-daerah.

“Sumbangan tersebut menggunakan dana pengurusan operasi amil sebagai tanda keprihatinan amil zakat terhadap mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Saipolyazan LZS menyediakan 5,000 pek makanan bermasak sehari untuk diagihkan kepada semua PPS di bawah koordinasi pejabat daerah sepanjang tempoh lima hari.

“Semalam 5,000 pek pertama telah dihantar ke Pejabat Daerah Klang yang kemudiannya diagihkan ke PPS terlibat.

“Bagi mempercepatkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir terjejas, sebanyak RM90,000 diperuntuk untuk Tabung Kecemasan Banjir LZS. Bantuan ini akan ditambah berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama Saipolyazan memaklumkan, LZS akan menyalurkan beberapa bentuk sumbangan pasca banjir bagi membantu mangsa banjir terutama dalam kalangan asnaf fakir dan miskin serta institusi.

“Bagi asnaf fakir dan miskin yang mengalami kerosakan rumah boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan baik pulih dapat disalurkan mengikut keperluan bergantung kepada syarat dan kelayakan.

“LZS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menyalurkan bantuan baik pulih seperti karpet, peralatan sistem audio dan sebagainya kepada masjid serta surau yang mengalami kerosakan akibat banjir,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA SELANGOR

87 individu bakal terima darjah, bintang kebesaran Hari Keputeraan Sultan Selangor

SHAH ALAM, 7 DIS: Seramai 87 tokoh dan individu bakal dikurnia darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-76 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 11 Disember ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri berkata daripada 990 pencalonan hanya 17 penerima atau kira-kira 1.7 peratus terpilih menerima darjah dan bintang kebesaran yang  membawa gelaran.

Dato’ Haris Kassim berkata seorang penerima masing-masing bakal menerima Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (Darjah Kedua) dan pingat Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Beliau berkata seramai 16 orang pula akan menerima pingat Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS)  dan Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), kedua-duanya membawa gelaran Dato’ dan Datin Paduka bagi wanita manakala darjah Dato’ Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) tiada penerima.

“Pada tahun ini Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengutamakan calon-calon daripada barisan hadapan bagi memenuhi kuota darjah bintang kebesaran Negeri Selangor sebagai menghargai jasa dan pengorbanan dalam menggalas tugas membendung penularan pandemik Covid-19.

“Tumpuan juga diberikan kepada penyelaras pengurusan jenazah Covid-19 di negeri Selangor yang mencatatkan bilangan kematian tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Haris berkata seramai 69 individu pula bakal menerima  darjah yang tidak membawa gelaran iaitu:

  • Setia Mahkota Selangor (SMS) – 19 orang
  • Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS)  – 14 orang
  • Ahli Mahkota Selangor (AMS) – 15 orang
  • Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) – 14 orang
  • Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC) – tujuh orang

“Semua calon telah melepasi tapisan polis bahagian keselamatan dan jenayah, Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

 

 

 

Categories
AGENDA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sokongan akar umbi bantu Selangor lawan Covid-19

PETALING JAYA, 6 DIS: Selangor mampu mengekang Covid-19 hasil sokongan semua pihak di peringkat akar umbi meskipun sebelum ini pernah mencatat jumlah kes tertinggi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri boleh dianggap berjaya dan menampakkan hasil.

“Dalam tempoh hampir dua tahun ini kita berjaya tentang (Covid-19) dengan kaedah dan cara sendiri.

“Ini bukan perkara kecil. Kalau negeri lain tunggu vaksin (tetapi) kita beli sendiri untuk pastikan rakyat cepat divaksinasi,” katanya berucap di majlis sambutan Deepavali dan Krismas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden KEADILAN Tian Chua dan Timbalan Pengerusi negeri, Hee Loy Sian.

Amirudin yang juga pengerusi majlis pimpinan KEADILAN negeri meminta semua ahli fokus terhadap perjuangan parti bagi memastikan Selangor terus menjadi kubu pertahanan yang kuat.

“Kena tahu siapa musuh siapa lawan. Kenal pasti rakan-rakan. Kalau tewas jangan salahkan semua orang.

“Kena sabar supaya tidak ambil tindakan bukan-bukan. Kalau kita lemah asyik bertengkar, musuh kembali berkuasa,” katanya.

Categories
AGENDA SELANGOR

Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan tampil hari pertama Pesta Buku Selangor esok

SHAH ALAM, 1 DIS: Sasterawan Negara Dato’ Dr Anwar Ridhwan dijadual membuat penampilan khas pada hari pertama Pesta Buku Selangor 2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini esok.

Penulis novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman itu akan menyertai acara bual bicara Hati dan Minda Sasterawan selama satu jam bermula jam 2.30 petang.

Pesta buku itu turut diisi dengan kegiatan bersifat ilmiah antaranya Bicara Buku dengan menampilkan Prof. Datuk Dr Muhammad Nur Manuty untuk mengisahkan tentang karyanya, Jejak-Jejak Pencerahan Umat yang baru dilancarkan minggu lalu.

Sebagai acara pembuka tirai, slot DIY kraf tangan bersama Bush di pentas SACC bermula jam 9.30 pagi turut bakal meriahkan program tersebut.

Pesta buku kali ini turut memberikan fokus kepada golongan kanak-kanak dengan menyediakan acara bual bicara melibatkan topik Kesedaran Penderaan Kanak-Kanak, Dunia Sastera Kanak-Kanak Malaysia dan Kepentingan Buku Bergambar Kanak-Kanak sebagai Buku Asas.

Turut dianjurkan ialah acara bual bicara Penerbitan Komik Tempatan dan Nomik (Novel Komik) Remaja yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Selangorlibrary.

Acara tersebut melibatkan beberapa agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dan  Lembaga Antarabangsa Buku Untuk Orang Muda (IBBY).

Pesta Buku Selangor 2021 berlangsung di SACC di sini mulai 2 hingga 12 Disember menawarkan lebih 200,000 buku dari dalam dan luar negara.

 

Categories
AGENDA SELANGOR

Sambut baik rancangan pembangunan ekonomi di Sabak Bernam

SHAH ALAM, 30 NOV: Ketua Pembangkang menyambut baik pengumuman Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengenai rancangan pembangunan ekonomi di Sabak Bernam.

Bagaimanapun, Datuk Rizam Ismail berharap Kerajaan Negeri dapat menyelenggara aset-aset sedia ada di daerah berkenaan yang didakwa tidak dijaga dengan baik.

“Realitinya di Sabak Bernam bukan semata-mata soal pembangunan tetapi yang perlu dilihat adalah kecekapan dalam menguruskan projek pembangunan dan menyelia aset negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Wakil rakyat Sungai Air Tawar itu turut mengalu-alukan projek-projek pembangunan di daerah berkenaan antaranya Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan melibatkan pelaburan sekitar RM500 juta.

“Saya diberitahu tentang Hay Resort di Sabak Bernam yang tidak terurus dan hampir reput. Belanjawan kali ini ada diumumkan peruntukan RM20 juta untuk baik pulih untuk dijadikannya sebagai hotel lima bintang.

“Jika benar apa yang dikata, syukur Alhamdulillah dan terima kasih,” katanya.

Categories
SELANGOR SELANGOR

Himpunan kereta mewah setiap Ahad di SACC Mall, raih dana anak yatim

SHAH ALAM, 17 NOV: Pertunjukan kereta mewah amal yang diadakan di pekarangan SACC Mall di sini pada setiap Ahad akan diteruskan bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Terbaru acara Supercar Sunday sempena program SACC Charity Drive itu berjaya meraih dana RM12,700 dalam masa dua minggu daripada ahli-ahli kelab kereta mewah.

Dana itu telah disampaikan kepada tiga buah rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang pada Ahad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNS Real Estate Fakru Radzi Ab Ghani berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dan berharap agar Supercar Sunday dapat menjadi acara ‘signature’ di SACC Mall.

“Melalui acara ini, pengunjung berpeluang melihat kereta-kereta mewah secara lebih dekat selain berpeluang bergambar bersama kereta idaman.

“Pengunjung turut diberi kesempatan menaiki kereta-kereta tersebut,” katanya.

Pada program edisi keempat itu, sebanyak 40 buah kereta ‘sports’ berkapasiti 50,000 kuasa kuda berjaya dihimpunkan.

Antara kereta mewah terlibat ialah Mustang, BMWi8, Nissan GTR, Porsche Boxster, Lamborghini Huracan, Lamborghini Aventador dan Mercedes E63

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran 56 anak yatim dari Rumah Penyayang Ulin Nuha, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al-Mahabbah di Klang serta Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh.

Program amal ini mendapat sokongan TerMeetUp Group, ahli Harley Davidson Malaysia dan Mustang Group selain penaja lokasi SACC Mall, PKNS Real Estate, Bazaarlokal, LumiX Technology, Robotz dan Wrapz63.

Sementara itu, penganjur dan pengarah R Group Capital Sdn Bhd Shahrin Ong berkata pihaknya turut merancang membuat ‘countdown’ tahun baharu bersama kelab kereta-kereta mewah, Kelab Harley Davidson Malaysia dan kelab vespa di SACC Mall pada 31 Disember depan.

Sekumpulan anak yatim yang diraikan bergambar bersama kereta mewah pada acara Supercar Sunday di pekarangan SACC Mall pada 14 November 2021. Foto SACC MALL

 

Categories
AGENDA SELANGOR

Ikuti pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada 26 November

SHAH ALAM, 15 NOV: Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November bakal memberikan tumpuan kepada usaha bantu rakyat merancakkan semula ekonomi pasca wabak Covid-19.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).

Edisi Inggeris boleh dicapai melalui pautan selangorjournal.my

Maklumat pantas dan infografik berhubung isi menarik dan program utama Kerajaan Negeri akan dimuatkan di media sosial Media Selangor pada petang Jumaat tersebut.

Akhbar Selangorkini edisi Belanjawan #Selangor2022 juga diterbitkan dan mula diedar pada 27 November.

Amirudin sebelum ini berkata usaha yang bakal ditekankan dalam belanjawan kali ini antaranya menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SELANGOR

Media Selangor sedia kit ujian kendiri untuk kakitangan

SHAH ALAM, 20 OKT: Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 kepada semua 102 kakitangan termasuk wartawan dan jurugambar yang kerap bertugas di lapangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata mereka turut menerima oximeter atau alat pengukur kandungan oksigen dalam tubuh bagi memantau tahap kesihatan.

“Setiap kakitangan diberi lima kit kendiri dan satu oximeter. Dua alat ini penting dalam kehidupan selepas kita memasuk fasa endemik.

“Inisiatif tambahan ini sebahagian daripada usaha syarikat demi menjaga kebajikan kakitangan,” katanya dalam sesi Townhall tahunan kelmarin.

Mohamed Fareed menjelaskan Media Selangor sebelum ini turut menyediakan inisiatif kepada kakitangan untuk membuat tuntutan maksimum RM200 bagi pembelian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman serta vaksinasi percuma untuk ahli keluarga.

“Syarikat mengutamakan kesihatan pekerja. Diharap dengan semua inisiatif ini ia dapat membantu kakitangan menjaga kesihatan diri,” katanya.