Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi batal peraturan penjarakan sosial, pelawat tidak perlu kuarantin

RIYADH, 6 MAC: Arab Saudi pada Sabtu mengumumkan bakal menarik balik beberapa lagi peraturan berkaitan COVID-19, susulan keadaan pandemik yang bertambah baik di negara itu.

Kementerian Dalam Negeri memutuskan bahawa penjarakan sosial akan ditarik balik tetapi rakyat masih perlu memakai pelitup muka di kawasan tertutup, lapor agensi berita Xinhua memetik SPA.

Selain itu, pengunjung yang masuk ke negara itu tidak perlu lagi menyediakan PCR atau ujian antigen pantas dan menjalani kuarantin wajib COVID-19 semasa ketibaan, tambah kementerian itu.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Tujuh terkorban akibat gempa bumi di Sumatera Barat

JAKARTA, 25 FEB: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan 85 lagi cedera selepas gempa bumi melanda beberapa kawasan di Sumatera Barat pada Jumaat, menurut Lembaga Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB).

Jurucakap BNPB Abdul Muhari berkata lebih 5,000 orang telah ditempatkan di 35 pusat pemindahan di daerah Pasaman Barat.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan anggota penyelamat, tentera dan polis masih diteruskan di kawasan terjejas, katanya dalam satu kenyataan.

Gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter memusnahkan berpuluh-puluh bangunan dan lebih 1,000 rumah rosak teruk.

Indonesia yang terletak dalam Lingkaran Api Pasifik menyaksikan kekerapan aktiviti seismik dan gunung berapi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Hari kedua serangan Rusia, ibu negara Ukraine digegar siri letupan

KYIV, 25 FEB: Ibu negara Ukraine, Kyiv digemparkan dengan beberapa siri letupan awal Jumaat, pada hari kedua operasi ketenteraan Rusia di negara itu, lapor Agensi Anadolu.

Siri letupan berlaku pada 4.20 pagi waktu tempatan (10.20 pagi waktu Malaysia).

Kejadian serupa turut berlaku pada Khamis di bandar Kharkov, Kramatorsk, Mariupol, Mykolaiv dan pelabuhan Odessa, serta di Kyiv.

Bunyi siren kedengaran di seluruh bandar memberi amaran kepada orang ramai agar mencari perlindungan.

Ketika sebilangan rakyat berusaha meninggalkan bandar itu, ada yang cuba berlindung di stesen kereta api bawah tanah dan ruang bawah tanah, tambahnya.

Presiden Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan Rusia di Ukraine.

Pada hari pertama operasi, lebih 130 penduduk termasuk orang awam terbunuh, menurut Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Vietnam buka semula laluan udara buat 20 negara termasuk Malaysia

HANOI, 22 FEB: Vietnam setakat ini membuka semula laluan udara antarabangsanya kepada 20 negara dan wilayah, kata seorang pegawai pengangkutan.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), 20 laluan udara antarabangsa yang dibuka semula ialah Kemboja, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Filipina, Qatar, Singapura, Taiwan, Thailand, Turki, United Emiriah Arab Bersatu, Laos, China, Perancis, Jerman, United Kingdom, Australia, Rusia dan Amerika Syarikat.

Lapan lagi laluan udara yang belum dibuka semula ialah Brunei, India, Indonesia, Myanmar, Macau, Finland, Itali dan Switzerland, lapor VNA memetik Pengarah Jabatan Pengangkutan di Kementerian Pengangkutan Tran Bao Ngoc, pada sidang media hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO beri amaran siap sedia ancaman penyakit serentak Covid-19

GENEVA, 13 JAN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu memberi amaran dan menggesa masyarakat bersiap sedia menghadapi ancaman serentak wabak Covid-19 dan penyakit pernafasan lain menjelang musim bunga nanti.

Menurut Xinhua, Dr Maria van Kerkhove daripada Program Kecemasan Kesihatan WHO, berkata pada sesi taklimat media bahawa keadaan itu berlaku apabila pergaulan antara masyarakat meningkat, serta patogen sistem pernafasan lain seperti influenza merebak ketika musim bunga.

Lebih 15 juta kes baharu jangkitan Covid-19 di seluruh dunia telah dilaporkan pada minggu lepas, bilangan terbanyak kes dilaporkan dalam tempoh seminggu.

Peningkatan kes didorong oleh “varian Omicron yang pantas menggantikan Delta di hampir semua negara,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Sementara itu, jumlah kematian mingguan kekal stabil sejak Oktober tahun lalu, dengan purata 48,000.

Meskipun bilangan pesakit dimasukkan ke hospital meningkat di kebanyakan negara, ia tidak berada pada tahap seperti gelombang sebelum ini.

Kemungkinan varian Omicron tidak terlalu serius serta imuniti daripada vaksinasi yang semakin meluas atau jangkitan sebelum itu,” katanya.

“Mari kita jelaskan: Omicron menyebabkan simptom kurang serius berbanding Delta, tetapi kekal sebagai virus berbahaya, terutamanya bagi mereka yang tidak divaksinasi,” kata ketua WHO itu.

Organisasi itu sentiasa memberi amaran bahawa jumlah kes yang tinggi bakal membebankan sistem kesihatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

50 produk makanan halal Malaysia boleh didapati di Singapura

SINGAPURA, 6 DIS: Lima puluh produk makanan halal baharu buatan Malaysia tersedia di pasar raya di sini menerusi Program ‘Halal Route to Market’ (HalMap), inisiatif Maybank Islamic untuk meluaskan rangkaian perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Maybank Islamic melancarkan Program HalMap dengan objektif untuk membolehkan PKS yang berpangkalan di Malaysia mengembangkan perniagaan halal mereka ke luar negara.

“Pelanggan kami melihat kepada kami untuk keperluan perbankan patuh shariah mereka, oleh itu Program HalMap telah membangunkan ekosistem yang membentuk pembiayaan dan pembangunan perniagaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Singapura, Dr John Lee dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata program itu dapat dilakukan kerana keupayaan Maybank dalam memberi perkhidmatan kepada koridor perdagangan Singapura-Malaysia dan pengetahuannya mengenai rantaian bekalan halal.

“Kami berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu meningkatkan perniagaan PKS Malaysia dan pada masa yang sama membawa lebih banyak pilihan produk halal berkualiti kepada pengguna Singapura.

“Selain itu, kami merancang untuk memudahkan platform yang sesuai untuk pelanggan PKS Singapura yang terlibat dalam perniagaan halal untuk dipasarkan ke negara lain seperti dalam penjagaan kesihatan halal dan teknologi kewangan (fintech) untuk sektor halal,” katanya.

Di bawah Program HalMap, Maybank akan menyediakan pelanggan PKS dengan platform pengedaran, khidmat nasihat dan latihan untuk memasarkan produk mereka dalam segmen pasaran barangan pengguna (FMCG) yang bergerak pantas.

Program iti dimulakan dengan pemilihan 10 PKS Malaysia untuk menceburi pasaran makanan halal di Singapura.

50 produk baharu untuk dipasarkan itu boleh didapati di Eccellente by HAO Mart yang terletak di pusat beli-belah Kinex.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Letusan Gunung Semeru Jawa Timur ragut 13 nyawa, hampir 100 cedera

JAKARTA, 5 DIS: Sekurang-kurangnya 13 maut akibat melecur manakala 98 lagi cedera susulan letusan Gunung Semeru di daerah Lumajang, Jawa Timur pada Sabtu.

Jurucakap Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Abdul Muhari berkata mereka yang cedera termasuk dua wanita hamil dan kini menerima rawatan di hospital.

Operasi mencari dan menyelamat masih berterusan untuk memindahkan penduduk yang terperangkap, katanya dalam satu kenyataan.

BNPB juga berkoordinasi dengan tentera untuk memindahkan penduduk melalui jalan darat dan helikopter turut digunakan bagi mempercepat lagi operasi itu.

Gunung Semeru yang memiliki ketinggian 3,676 meter itu memuntahkan abu sehingga mencecah setinggi 12,000 meter pada 3.20 petang semalam.

Lahar daripada letusan gunung berapi itu turut memusnahkan kediaman berhampiran, menyebabkan 902 penduduk di daerah itu terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di kampung Supiturang dan Curah Kobokan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Varian Omicron: Indonesia sekat pengembara dari lapan negara Afrika

JAKARTA, 28 NOV: Indonesia mengenakan sekatan ke atas semua pengembara dari lapan negara Afrika, berkuat kuasa Isnin berikutan varian baharu Covid-19, B.1.1.529 atau dikenali Omicron.

Sekatan itu juga terpakai kepada pengembara yang pernah mengunjungi negara seperti Afrika Selatan, Botswana, Namibia, Zimbabwe, Lesotho, Mozambique, Eswatini dan Nigeria dalam tempoh 14 hari lalu, menurut Direktorat Jenderal Imigresen Indonesia.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua perhubungan awam dan hal ehwal umum, Arya Pradhana Anggakara berkata susulan sekatan itu visa lawatan dan visa perjalanan terhad untuk rakyat negara itu akan dihentikan kecuali bagi perwakilan ke mesyuarat G20 di Bali.

Indonesia bakal menjadi tuan rumah dan pengerusi G20 dari 1 Dis 2021 hingga 30 Nov 2022.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jemaah umrah boleh dapatkan visa melalui aplikasi telefon

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kebenaran bagi jemaah dari luar Arab Saudi untuk mendapatkan visa melalui aplikasi telefon “Eatmarna” dan “Tawakkalna”.

Menurut Twitter rasmi kementerian itu, jemaah juga boleh mendapatkan kebenaran untuk menunaikan solat di Masjidil Haram dan menziarahi Masjid Nabawi melalui kedua-dua aplikasi berkenaan, selepas mendaftar melalui platform “Quddum” sebaik tiba di Arab Saudi.

“Bagi mempermudah urusan tetamu al-Rahman, kini jemaah dari luar Arab Saudi boleh mendapatkan visa umrah menerusi aplikasi “Eatmarna” dan “Tawakkalna” yang disediakan pada platform Google Play, App Store, App Gallery, Galaxy Store”,” menurut kementerian itu.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kementerian menyatakan kebenaran ini bagaimanapun terhad kepada jemaah yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi, selain mereka yang mendapat pengecualian seperti tertera pada aplikasi “Tawakkalna”.

Sementara itu, bagi pemegang visa umrah yang belum lengkap dua dos vaksin pula diminta untuk segera mendapatkan suntikan dos kedua dalam masa 48 jam di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di negara berkenaan.

Syarat-syarat ini ditetapkan demi memelihara kesihatan jemaah seperti mana ditetapkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Tiga rakyat Thailand terlibat penemuan kubur Wang Kelian ditahan

BANGKOK, 29 OKT: Tiga rakyat Thailand yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia berhubung kes pemerdagangan orang dan penemuan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 ditahan baru-baru ini dan mereka kemungkinan akan diekstradisi ke Malaysia.

Suspek pertama ditahan pada 21 Okt manakala dua lagi ditahan lima hari kemudian.

Jurucakap Pejabat Peguam Negara (OAG) Thailand, Prayuth Phetkhun berkata ketiga-tiga mereka adalah antara sembilan anggota kumpulan pemerdagangan orang, kesemuanya rakyat Thailand termasuk seorang wanita, dikehendaki pihak berkuasa Malaysia berhubung tragedi sedih di Wang Kelian itu.

Beliau berkata pada awal 2017 penyiasat Malaysia meminta pihak berkuasa Thailand mengekstradisi suspek ke Malaysia untuk dibicarakan.

“Mahkamah Jenayah mengeluarkan waran tangkap ke atas sembilan suspek dan tiga telah ditahan.

“Pihak pendakwa telah meminta mahkamah mempertimbangkan untuk ekstradisi seorang daripada suspek dan akan mendapatkan prosiding ekstradisi terhadap dua lagi suspek sebaik sahaja mereka diserahkan oleh polis,” katanya kepada Bangkok Post.

Sementara itu, pendakwa raya yang bertanggungjawab ke atas kes ekstradisi itu, Thirach Limpaya-raya berkata proses berkenaan mungkin mengambil sedikit masa.

“… jika mahkamah memutuskan untuk mengekstradisi, suspek boleh merayu,” katanya.

Pada 2015, piihak berkuasa di sempadan kedua-dua negara dikejutkan dengan penemuan kubur besar dan kem penempatan sementara di Wang Kelian yang didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti pemerdagangan orang. Rentetan daripada penemuan itu 44 orang telah ditahan.

Di Thailand, mahkamah jenayah menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun kepada bekas jeneral tentera, Manas Kongpan atas pelbagai pertuduhan termasuk pemerdagangan orang, penyeludupan pendatang tanpa izin dan jenayah terancang pada 2017.

Selain Manas, yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Jabatan Penjara di Bangkok pada Jun, mahkamah jenayah turut menjatuhkan hukuman kepada 62 lagi yang lain. Antaranya bekas datuk bandar sebuah daerah kecil di selatan wilayah Songkhla, Banjong Pongphon yang dijatuhi hukuman penjara 78 tahun. Turut disabitkan bersalah ahli perniagaan dan bekas ketua pentadbiran wilayah Satun, Pajjuban Angchotephan yang dijatuhi hukuman penjara 75 tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Solat kapasiti penuh di Masjidil Haram, Masjid Nabawi mulai Ahad

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Solat berjemaah dengan kapasiti penuh dibenarkan di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah bermula Ahad (17 Okt).

Demikian antara enam perkara berkaitan kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 terbaharu yang diumumkan kerajaan Arab Saudi pada Jumaat.

Menerusi infografik yang dimuat naik di laman twitter rasminya, Kementerian Dalam Negeri (MOI) Arab Saudi memaklumkan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat terbuka, kecuali di beberapa tempat tertentu dan tertutup termasuk di kedua-dua masjid suci berkenaan.

“Pekerja dan pengunjung dua masjid suci tetap diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada di dalamnya selain wajib berdaftar menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna”, katanya.

Kementerian juga memberi kebenaran kepada sistem pengangkutan awam, restoran, panggung wayang, dewan acara dan sebagainya untuk beroperasi pada kapasiti penuh tanpa tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, hanya penerima dua dos vaksin yang dibenarkan memasuki kesemua premis berkenaan.

Kebenaran ini juga diberikan kepada golongan yang dikecualikan daripada mengambil vaksin atas faktor kesihatan dengan mereka diwajibkan memakai pelitup separuh muka.

Menurut kementerian itu lagi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka masih diwajibkan di tempat-tempat yang tidak dapat disahkan tahap kesihatan pengunjungnya menerusi aplikasi Tawakkalna.

Pemilik premis awam dan swasta pula wajib mengesahkan tahap vaksinasi pengunjung melalui aplikasi Tawakkalna sebelum mereka dibenarkan memasuki premis masing-masing.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Wartawan Filipina, Rusia menang hadiah Nobel Keamanan

SHAH ALAM, 8 OKT: Dua wartawan dari Filipina dan Rusia menerima anugerah Nobel Keamanan kerana memperjuangkan keberanian dengan mempertahankan kebebasan bersuara di negara masing-masing.

Maria Ressa dan Dmitry Muratov yang digelar “wakil semua wartawan yang memperjuangkan ideal tersebut” memenangi hadiah bernilai 10 juta krona Sweden (RM4,768,784), lapor BBC News.

Maria yang merupakan pengasas bersama portal berita Rappler dipuji apabila mendedahkan penyalahgunaan kuasa, penggunaan kekerasan dan peningkatan autoritarianisme di negara asalnya.

Manakala Dmitry yang juga pengasas bersama dan editor akhbar bebas Novaja Gazeta mempertahankan kebebasan bersuara di Rusia dalam keadaan yang mencabar selama beberapa dekad.

“Kewartawanan bebas dan berdasarkan fakta berfungsi untuk melindungi daripada penyalahgunaan kuasa, penipuan dan propaganda perang,” kata jawatankuasa pertandingan yang memilih kedua pemenang itu daripada 329 calon.