Categories
SELANGOR

Festival Fesyen Orked Selangor peluang pereka muda tonjol sentuhan kreatif

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MEI: Pereka muda Festival Fesyen Orked Selangor (SOFF) 2015 memuji inisiatif Kerajaan Negeri dalam memartabat bidang rekaan sebagai sumber pendapatan.

Pemilik Prettyplisz, Aini Dayana Hamid berkata, program itu sangat sesuai diadakan terutama bagi golongan muda yang ingin mencipta nama dalam bidang fesyen.

aini dayana hamid aKatanya, lokasi strategik dan kadar sewa yang murah sangat berbaloi untuknya yang baru sahaja membuka perniagaan empat bulan lalu.

“Sangat berbaloi. Ini adalah peluang untuk saya menonjolkan diri ke hadapan. Sudah tentu saya akan menyertainya kembali jika dijadikan acara tahunan,” katanya ketika ditemui di festival itu, di sini, semalam.

Bagi Norliani Yusof, dia sangat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan terhadap perniagaan pakaiannya yang menampilkan konsep ‘tye and dye’.

Dia menguruskan perniagaan dalam talian bersama suami teruja diberi peluang menyertai pameran jualan walaupun terpaksa datang dari Ipoh, Perak.

“Ia sangat memberi peluang kepada saya kerana ingin perniagaan dikenali ramai.

“Perniagaan pakaian dengan konsep ‘tye and dye’ ini sudah setahun lebih diusahakan. Kami berhasrat mengembangkan lagi konsep ini dengan lebih meluas,” katanya.

Katanya, produk yang dikeluarkan setakat ini adalah tudung, baju dan jubah rekaan sendiri yang membabitkan pakaian dewasa juga kanak-kanak.

nurmalin aSementara itu, Normalin Khalid pula mahu lokasi penganjuran dijalankan di tempat terbuka atau pusat membeli-belah.

“Mungkin penganjur perlu menukar lokasi selepas ini kerana tempat terbuka lebih mendapat sambutan.

“Kita sedia maklum Shah Alam sangat strategik untuk jalankan perniagaan dalam bidang ini tetapi penganjur perlu mengambil kira lokasi yang lebih sesuai,” katanya.

SOFF 2015 disertai lebih 60 gerai jualan termasuk rekaan pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam bermula 29 hingga 31 Mei ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.