Categories
SELANGOR

Sultan & MB bersama rakyat sempurna ibadah korban

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 SEP: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyempurnakan ibadah korban dan aqiqah 1436H bertempat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong.

Baginda tiba di perkarangan masjid sekitar jam 8.15 pagi sambil mengenakan sepasang baju Melayu berwarna hijau dan bersamping kuning bagi menunaikan solat sunat Aidiladha yang dipimpin Mufti Selangor, Dato’ Seri Utama Diraja Mohd Tamyes Abd Wahid.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim serta Exco dan Adun Negeri Selangor.

Sejurus selesai solat dan bacaan khutbah Aidiladha bertajuk ‘Berkorban dengan penuh keikhlasan’ yang disampaikan Mufti Selangor, Baginda menyantuni rakyat jelata kemudiannya berangkat ke tapak penyembelihan lembu korban sebelum berangkat pulang.

MB SULTANDalam perkembangan sama, Pengarah Projek Aqiqah dan Korban, Hadarul Haswat Abdul Ghani, 53, berbesar hati keberangkatan pertama kali Tuanku Sultan yang sudi melaksanakan ibadah korban kali ini di Masjid Bukit Jelutong.

Katanya, kariah masjid berbesar hati menyambut kehadiran Baginda Sultan dengan membuat persiapan rapi sebelum ketibaan Aidiladha dengan penyertaan 200 sukarelawan untuk melapah daging korban.

“Lembu korban Tuanku kita pilih sendiri dan dibeli dari Melaka. Kita anggarkan boleh dapat dalam 200 hingga 300 kilogram daging dan Tuanku gembira melihatnya,” katanya kepada Selangor Kini.

Untuk tahun ini sebanyak 24 ekor lembu yang disembelih dengan 22 daripadanya untuk korban manakala dua lagi aqiqah.

Penyertaan lebih daripada 100 orang kariah dengan harga RM600 untuk satu bahagian manakala RM4,000 untuk seekor lembu.

Tambah beliau, ini merupakan tahun ketiga pihak masjid mengadakan majlis korban dan aqiqah.

“Tahun sebelum, lembu sebanyak 27 ekor tetapi tahun ini kita hadkan kerana kesuntukan masa.

“Kita masih menerima permohonan namun terpaksa menolak dan menasihatkan mereka melakukan ibadah korban di luar,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.