Categories
SELANGOR

Jadikan tragedi Pos Tohoi pengajaran elak berulang

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 OKT: Tragedi Pos Tohoi seharusnya menjadi pengajaran semua pihak untuk memahami cara hidup setiap lapisan masyarakat.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata perkara itu penting untuk difahami terutama pihak berkuasa termasuk pihak kerajaan dan sekolah bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Nik Nazmi“Situasi dan gaya hidup orang asal, tidak sama dengan cara hidup masyarakat bandar (mahupun kampung), oleh itu semua pihak harus sensitif dengan keperluan mereka.

“Pihak kerajaan digesa menyiasat kejadian itu dengan teliti dan mengenakan hukuman sekiranya didapati ada pihak cuai menangani tragedi itu,” katanya dalam kenyataan media.

Terdahulu, beliau dengan kerjasama Badan Bertindak Orang Asli Selangor, Jaringan Orang Asal SeMalaysia dan Penyelia DUN Nenggiri melawat keluarga mangsa tragedi di Gua Musang, Kelantan.

Sumbangan berupa barang keperluan asas dan wang tunai turut disampaikan kepada keluarga mangsa.

Selain bertemu dengan keluarga mangsa, rombongan turut melawat lokasi mayat ditemui.

Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid Sekolah Kebangsaan Tohoi dilaporkan melarikan diri daripada asrama berikutan takut dikenakan hukuman kerana mandi sungai tanpa kebenaran.

Mereka ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8, Sasa Sobrie, 8, Ika Ayel, 9, Haikal Yaakob, 8, Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11, berasal dari Kampung Gawin dan Penad.

Selepas hampir 50 hari hilang, Miksudiar dan Norieen ditemui selamat manakala pihak berkuasa turut menemui dua mayat dan dua rangka kanak-kanak pada awal bulan ini.

Seorang lagi mangsa daripada kumpulan kanak-kanak itu masih hilang dan misi pencarian masih diteruskan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.