Categories
SELANGOR

“Alhamdulillah, Allah kurniakan rezeki melimpah ruah”

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 5 MAC: Rezeki datang bertimpa.

Itulah yang dialami Imam Muda Penjara Kajang, Muhammad Hafis Mohamad Foizi, 27, selepas diumumkan sebagai johan kategori qari dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1437H/2016M, malam tadi.

Kisah gembira Muhammad Hafis bermula apabila dikurniakan cahaya mata bulan lalu selepas empat tahun berkahwin manakala kemenangannya semalam membolehkan beliau meneruskan hasrat mengerjakan ibadah umrah bersama ibunya.

johan tilawah lelaki 1“Hadiah wang tunai ini saya kongsikan bersama anak saya kerana apabila dia lahir, Allah menambahkan rezeki saya mencurah-curah, manakala hadiah pakej umrah pula membolehkan saya mengerjakan umrah bersama ibu.

“Sepatutnya tahun lepas saya buat umrah dengan ibu saya, tetapi terpaksa dibatalkan hasrat ini kerana simpanan tidak mencukupi,” katanya pada Majlis Penutupan Rasmi Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor di Masjid Jamed Sultan Hisamuddin, Badar Baru Salak Tinggi, di sini.

Wakil tunggal daerah Hulu Langat itu berkata, kemenangannya memberi semangat supaya lebih bersungguh-sungguh memperbaiki bacaannya sebagai persediaan ke Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan.

“InsyaAllah, saya akan perbaiki bacaan mana yang kurang dengan lebih bersungguh-sungguh supaya orang tahu Selangor juga mempunyai ramai qari bagus,” katanya.

johan tilawah campuranSementara itu, johan bagi kategori qariah, Nor Faizah Panut, 27, berkata, beliau tidak menyangka dipilih sebagai juara pertandingan kali ini.

“Sangat bersyukur dan tidak menyangka kerana selepas berehat setahun, Allah beri rezeki kemenangan kepada saya dan selepas ini saya akan berlatih bersungguh-sungguh untuk ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Juara bagi kedua kategori qari dan qariah menerima hadiah wang tunai RM5,000, pakej menunaikan umrah, piala iringan dan sepersalinan pakaian.

Hadiah disampaikan Dulu Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.