Categories
NASIONAL

KEADILAN: Kerajaan Persekutuan mesti bantu pekebun kecil getah

SHAH ALAM 16 APR : Kerajaan Persekutuan digesa menyemak semula Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kerana gagal membela nasib pekebun kecil getah yang kini memperolehi pendapatan di bawah garis kemiskinan akibat kejatuhan harga komoditi itu di pasaran dunia.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata kira-kira 260,000 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah didakwa memperoleh pendapatan hanya RM400 sebulan pada masa ini.

menoreh getahKatanya situasi pekebun kecil mengusahakan tanaman itu sangat menyedihkan dan memerlukan tindakan segera.

“Harga getah semasa tidak mampu menampung kos sara hidup penoreh getah terutamanya mereka dalam kalangan kelompok termiskin.

“IPG tidak membantu penoreh getah mendapat sumber pendapatan berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan media bersama.

Kenyataan media itu bersama Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Naib Presiden Pengerusi Biro Masyarakat FELDA & Perladangan KEADILAN, Dr Syed Hussein Ali, Naib Presiden KEADILAN, Prof. Dr Shaharuddin Badaruddin, dan  Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail.

Penoreh getahNurul Izzah berkata, mekanisme pembayaran tetap RM1,200 sebulan terhadap penoreh getah perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah semakin meruncing itu.

Katanya, ia dapat menjamin pendapatan minimum untuk penoreh getah supaya golongan tani itu dapat meneruskan kehidupan.

“Kerajaan Persekutuan harus mengkaji semula lambakan dana yang diperuntukkan kepada program pemberian baja penggalak susu dan kursus cara menoreh yang betul.

“Hal ini kerana, walaupun baja diberikan dan kaedah menoreh digunapakai, penoreh getah masih tidak mampu menikmati hasil getah lebih baik dan ini menunjukkan perlu ada program baru menjurus kepada peningkatan hasil, bukan hanya menguntungkan kontraktor,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nurul Izzah berkata, cadangan pembayaran tetap itu bakal diuar-uarkan KEADILAN menerusi siri jelajah #DemiPenoreh pada 17 dan 18 April ini.

Katanya, ia bakal dibangkitkan dalam program ceramahnya di Padang Terap, Kubang Pasu, Pendang, Jerai, Bukit Selambau, Baling, Padang Serai dan Kulim.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.