Categories
SELANGOR

Teater Atas Pokok angkat gagasan Smart Selangor

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APR: Teater Atas Pokok arahan Dinsman berjaya mengangkat tema kelestarian alam sekitar selaras gagasan ‘Smart Selangor’ ke arah kehidupan bandar yang ‘livable’ seperti yang dilaungkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Persembahan teater itu juga menunjukkan tekad seni Dinsman atau nama sebenar Shamsudin Osman yang sarat dengan kritikan terhadap pembangunan oleh ‘monster’ kapitalis.

TEATER TAPMenjadikan sebatang pokok angsana sebagai ‘pentas’ utama, Dinsman turut menyampaikan mesej kesedaran menjaga ekosistem, kebudayaan, kemasyarakatan dan teknologi.

Teater Atas Pokok itu turut mengadaptasi dua puisi karya Usman Awang, “Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya” dan “Surat Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar”.

Teater terbabit menceritakan tentang perjuangan alam sekitar dan nilai warisan sebuah kampung Melayu, Kampung Banda Dalam di Kuala Lumpur yang diancam kemusnahan.

Ia menampilkan watak-watak daripada pihak kerajaan dan kaum pemodal yang ingin meruntuhkan kampung demi projek pembangunan metropolitan.

Antaranya kelihatan watak Timbalan Menteri yang berpakaian emas dan perak (Datuk Bandar) cukup sinis mengambarkan kemewahan warga kapitalis serta dua watak sarkas sebagai sindiran kepada kedua-kedua watak terbabit.

Menampilkan tujuh pelakon termasuk pelakon dan penari jemputan daripada Thailand iaitu Bhumin Dhanaketpisarn dua pemuzik oleh Sani Sudin Saidin Omar.

Ia turut menampilkan persembahan tarian kuda kepang dari Sabak Bernam sebagai pembukaan.

Teater Atas Pokok“Mula timbul idea secara spontan untuk pementasan teater atas pokok sekitar hujung 2014. Saya rasa ini pertama kali dipentaskan, tak pernah dengar ada orang sebelum ini yang buat teater atas pokok,” kata Dinsman.

Dinsman berkata pementasan kali ini merupakan cabaran buatnya dan kru lain kerana memerlukan mereka memanjat pokok setinggi 40 kaki.

Beliau yang juga Pengarah Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) berkata teater berdurasi dua jam itu memerlukan pelakon tergantung di dahan pokok sambil menyanyi, melontarkan dialog, malah membuat beberapa aksi termasuk menari dan duduk atas buaian.

“Kita gunakan syarikat perunding yang menyediakan alat keselamatan termasuk tali ‘harness’ bagi memastikan keselamatan kru dan pelakon terjamin.

“Buaian dan tali digunakan untuk bergayut digunakan untuk menggambarkan gambaran kehidupan atas pokok,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.