Categories
NASIONAL

Popov kecewa, dua kad merah berturut-turut tidak profesional

OLEH : AFIX REDZUAN

KOTA BHARU, 22 MEI: Jurulatih Kelantan, Velizar Emilov Popov nyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaan meskipun bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan 2-5 Kelantan di laman sendiri.

Dua layangan kad merah dalam dua perlawanan berturut-turut, menambah luka bekas Jurulatih Kebangsaan Maldives itu yang menyifatkan ia tindakan tidak profesional.

Dengan nada tegas, beliau mengingatkan pemain yang enggan beraksi cemerlang bersama Kelantan boleh meninggalkan pasukan itu secepat mungkin.

IMG_20160521_234537-800x587“Saya gembira dengan persembahan pemain saya meskipun ada kesilapan kecil yang dilakukan. Saya rasa ia bukan kesalahan kecil dan normal apabila ada dua kad merah dalam dua perlawanan.

“Itu tidak normal, tidak profesional dan bodoh kerana ia melampau apabila perlu beraksi 10 pemain menentang pasukan yang bagus di negara ini dalam dua perlawanan.

“Kita berjaya merapatkan jaringan ketika kedudukan 2-4 dan boleh jadi 3-4 jika bermain 11 orang.

“Menerima kad merah yang bodoh dengan sia-sia nyata saya tidak memahaminya,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Popov meminta maaf kepada seluruh penyokong Kelantan dan akan mengambil tindakan terhadap pemain yang dilayangkan kad merah kerana menyusahkan pasukan disaat mereka ketinggalan dua gol.

Beliau turut memuji aksi Selangor yang lebih efektif dan memanfaatkan kelebihan fizikal kerana berjaya menjaringkan lima gol dari tujuh peluang terhidang berbanding Kelantan.

Menyentuh peluang Kelantan dalam undian Piala Malaysia Isnin ini beliau mengakui tidak gentar dengan mana-mana pasukan selain mempertimbangkan untuk membawa masuk beberapa pemain baru.

“Kita mempunyai kualiti yang baik dan akan menggunakan tempoh rehat ini untuk meningkatkan kecergasan fizikal.

“Kita juga akan mengambil pemain baru jika perlu.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai pemain tempatan atau import. Pemain yang baik tetap baik tanpa ada isu pemain luar mahupun tempatan serta umur mereka.

“Hanya ada pemain yang bagus atau tidak. Bukan soal pemain muda atau tua. Saya lebih terbuka soal pemain yang bagus,” katanya.

Kelantan diletakkan dalam Balang 2 bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kedah dan Terengganu dalam undian peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia pada Isnin ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.