Categories
SELANGOR

36 pelajar dicekup ponteng sekolah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 NOV: Niat 36 pelajar sekolah untuk berseronok dan bermain permainan video tidak kesampaian apabila dicekup dalam Operasi Ponteng Sekolah di sekitar daerah Klang, di sini, hari ini.

Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kedua-kedua kafe siber di kawasan itu menjadi tumpuan pelajar sekolah di daerah Klang menghabiskan masa untuk bermain permainan video.

“Hasil siasatan di premis pertama mendapati 19 pelajar berumur 14 hingga 17 tahun leka bermain permainan video.

“Tindakan sitaan dikenakan di bawah Undang-undang Kecil 14 (j) UUK Pusat Siber dan Kafe Siber (MPK) 2007 kerana melanggar syarat iaitu membenarkan murid berpakaian sekolah di dalam premis,” katanya selepas operasi terbabit.

Sementara itu, Adi berkata, serbuan di premis kedua mendapati pelajar berumur antara 11 hingga 17 tahun menjadi pelanggan di dalam premis yang tidak mempunyai lesen perniagaan sah dari MPK.

Katanya, MPK turut menyita premis terbabit di bawah UUK 3, Pusat Siber dan Kafe Siber MPK 2007 atas kesalahan tidak mempunyai lesen sah.

Dalam operasi bermula jam 10 pagi itu, seramai 10 anggota serta seorang pegawai bertindak menyerbu premis terbabit hasil maklumat orang awam dan siasatan dijalankan sebelum ini.

Pelajar yang dicekup terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Rantau Panjang, Sekolah Menengah Meru, Sekolah Tinggi Klang dan Sekolah Menengah Tangku Ampuan Rahimah.

-AA-