Categories
NASIONAL

ABIM lancar kempen #IngatBolaIngatRohingya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 24 NOV: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melancarkan kempen #IngatBolaIngatRohingya bersama Nasi Kandar Line Clear (LC) Kampung Baru bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kesengsaraan dan penderitaan hidup dialami etnik itu.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kempen itu turut memberi tumpuan kepada siri tayangan perdana video Rohingnya, pada perlawanan separuh akhir dan akhir membabitkan mana-mana pasukan bertanding pada kejohanan Piala AFF 2016 di Myanmar.

“Beberapa siri perlawanan persahabatan bola sepak di sekolah ABIM juga dilaksanakan untuk menjayakan kempen ini selain mengadakan FlashMob #IngatBolaIngatRohingnya dengan edaran risalah kesedaran berkenaan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat ABIM, di sini, tengah hari tadi.

Katanya, ABIM juga bakal menganjurkan siri wacana isu Rohingya secara terbuka sebagai mekanisme terbaik membentuk kesedaran umum membabitkan komuniti untuk digerakkan di surau dan masjid.

img_20161124_123516_735Mengulas gesaan pelbagai pihak supaya skuad Harimau Malaysia memboikot Piala AFF, Muhammad Faisal berkata, ia hanya mengikut trend dan bermusim.

Katanya, dasar berkenaan perlu diteliti ekoran tindakan sedemikian tidak memberi gambaran sebenar kritikan Malaysia terhadap penindasan etnik Rohingnya.

“Kita kena konsisten dan istiqamah dalam membantu Rohingya kerana apa yang terjadi hari ini sudah lama berlaku sebelum kejohanan AFF Suzuki lagi.

“Kita bercakap secara bermusim, itu masalah kita sama seperti yang berlaku kepada Syria, Palestin dan Iraq. Berapa ramai lagi dalam kalangan mereka yang tertindas,” katanya.

-AA-