Categories
NASIONAL

Myanmar amal demokrasi hipokrit

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 24 NOV: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya siri pembunuhan etnik Rohingya oleh tentera pemerintah Myanmar yang jelas melanggari batas hak asasi kemanusiaan sejagat.

Presidennya, Mohd Raimi Ab Rahim berkata, kemenangan pentadbir negara itu, Aung San Suu Kyi pada pilihan raya lalu gagal membawa perubahan positif dan kehidupan lebih baik kepada etnik berkenaan.

“Wajah demokrasi yang dicanang Myanmar adalah bersifat hipokrit, apa lagi sistem pilihan raya terbuka yang pertama kali diadakan sejak 25 tahun lalu tidak mengiktiraf ratusan ribu rakyat Myanmar dari etnik Rohingya untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

“Lebih malang, kerajaan baru dipimpin parti Aung San Suu Kyi diam seribu bahasa apabila siri pembersihan etnik Rohingnya dari bumi Myanmar terus dilakukan dengan kejam,” katanya.

Keganasan yang berlaku di Rakhine, sebuah negeri di utara Myanmar membabitkan pencabulan ke atas etnik Rohingnya diburukkan lagi apabila tentera Myanmar melancarkan serangan terhadap perkampungan masyarakat Rohingnya, pada Sabtu lalu.

Laporan media mendakwa, tentera Myanmar menembak mati sekurang-kurangnya 25 orang penduduk kampung berkenaan dengan sebahagian besar mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Pada masa sama, Kerajaan Malaysia selaku negara ASEAN masih gagal memberikan penjelasan khusus berkenaan keganasan yang dilakukan di negara itu.

Terdahulu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan kejam tentera Myanmar itu dan menyeru supaya tindakan antarabangsa diambil bagi menghentikan siri keganasan terbabit.

-AA-