Categories
SELANGOR

MBPJ skor 80% dalam sistem pengurusan audit

OLEH LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 3 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya memperoleh skor 79.74 peratus bagi Sistem Pengurusan Audit Nilai Dalam Perkhidmatan Awam, pada tahun lalu.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, skor berkenaan dikategorikan pada tahap memerlukan penambahbaikan dengan pemantauan.

Katanya, penilaian dibuat berdasarkan lima indikator iaitu Rekod Amalan Nilai, Indeks Nilai Ideal, Indeks Nilai Peribadi, Indeks Nilai Organisasi dan Indeks Maklum Balas Pelanggan.

“Berdasarkan indeks diperolehi pada tahun terdahulu, skor Indeks Nilai Organisasi adalah 65.21 peratus, kurang memuaskan kepada skor Indeks Nilai MBPJ secara keseluruhan.

“Indeks ini digunakan untuk mengukur persepsi pegawai atau kakitangan ke atas tingkah laku yang mungkin berlaku dalam organisasi,” katanya ketika Mesyuarat MBPJ, di sini, baru-baru ini.

azizi-mbpjSehubungan itu, Mohd Azizi berharap Ketua Jabatan dapat menerap dan meningkatkan program yang memberi penekanan kepada usaha membudayakan amalan serta tingkah laku positif dalam organisasi.

Katanya, tingkah laku negatif perlu dikurangkan untuk mempertingkatkan persepsi lebih positif dalam kalangan pegawai dan kakitangan MBPJ.

“Pelbagai usaha dan kebajikan disediakan seperti kemudahan klinik MBPJ, klinik panel, insurans, kuarters, rumah rehat, pemberian semasa Ramadan, sambutan hari raya, Anugerah Khidmat Cemerlang dan banyak lagi.

“Besarlah harapan saya supaya MBPJ memperolehi peningkatan skor di dalam Audit Nilai ini berbanding tahun lalu,” katanya.

-AA-