Categories
KENYATAAN MEDIA

Kita perlu jadi contoh rakyat

OLEH DATO’ DR MUJAHID YUSOF RAWA

Saya menyokong kenyataan Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar bahawa penyebab utama berlakunya rasuah dalam negara ini adalah kerana ketiadaan integriti.

Malah cadangan untuk menyeru kepada rakyat agar memilih wakil rakyat yang bersih daripada rasuah pada pilihanraya juga sangat terpuji. Beliau juga ada menambah agar semua calon atau wakil rakyat atau posisi-posisi yang memegang dana/kuasa rakyat untuk membuat deklarasi harta secara berkala.

Sebagai seorang Ahli Parlimen Parit Buntar saya telah mengistiharkan harta saya kepada awam sepertimana yang telah dicadangkan oleh beliau, malah sahabat-sahabat saya seperti Rafizi Ramli, Lim Guan Eng dan lain-lain turut melakukan langkah yang sama.

Saya percaya ramai yang melihat bahawa politik adalah suatu yang kotor, maka usaha untuk menjernihkan persepsi itu perlu dibuat dan ia perlu bermula dari ahli politik itu sendiri.

Saya menyeru agar semua rakan-rakan saya yang turut berada dalam arena politik ini untuk menjadi contoh yang terbaik dalam berbakti kepada rakyat disamping memelihara akhlak dan maruah sebagai rakyat Malaysia.

# Dato’ Dr Muhajid Yusof Rawa adalah Ahli Parlimen Parit Buntar