Categories
PBT SELANGOR

Anugerah Masyarakat Mampan 2017 tawar dua kategori baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 OGOS: Anugerah Masyarakat Mampan 2017 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kembali dengan memperkenalkan dua kategori baru iaitu remaja dan kanak-kanak.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, peserta remaja perlu mengemukakan cadangan projek kawasan kejiranan dengan penilaian berdasarkan idea, kreativiti, keupayaan membina rangkaian, kolaborasi bersama penduduk berserta impak.

Sementara katanya, MBPJ memberi peluang kepada kanak-kanak menjadikan bandar raya itu berdayahuni susulan projek I-Play Park di Damansara Damai yang dilaksanakan berdasarkan idea golongan terbabit.

“MBPJ menyedari remaja adalah golongan sangat penting yang akan mewarisi pentadbiran dan pucuk pimpinan komuniti, bandar raya, dalam negeri juga negara.

“Manakala kanak-kanak pula diraikan sejajar usaha MBPJ memperkasakan golongan ini,” katanya pada Majlis Hari Terbuka PJKITA dan Pelancaran Anugerah Komuniti Mampan 2017 di The Curve, Mutiara Damansara, di sini, semalam.

Mohd Azizi berkata, pertandingan yang bermula semalam (20 Ogos 2017) sehingga 20 Oktober itu turut menawarkan hadiah wang tunai RM261,000.