Categories
PBT SELANGOR

PJKITA: MBPJ idam mimpi serupa dengan masyarakat

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 OGOS: Pihak berkuasa tempatan tidak lagi boleh berselindung dengan masyarakat di bawah pentadbirannya di sebalik kepesatan teknologi maklumat kini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, setiap projek pembangunan yang mahu dilaksanakan perlu disertai maklum balas masyarakat bagi menjamin ia memberi manfaat secara optimum.

“Menguruskan bandar tidak lagi seperti dahulu, sebaliknya PBT perlu berkerja rapat dengan ‘stakeholders’ iaitu masyarakat.

“MBPJ berharap mimpi kita dengan komuniti sama dan mencari titik pertemuan bagi meningkatkan persefahaman,” katanya pada Majlis Hari Terbuka PJKITA dan Pelancaran Anugerah Komuniti Mampan 2017 di The Curve, Mutiara Damansara, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PJKITA dilaksanakan sebagai landasan digital ke arah pembangunan mampan antara komuniti dan MBPJ.

aziziKatanya, selain berupaya meluaskan hubungan dan komunikasi, PJKITA turut bermatlamat mempromosikan usaha pembangunan mampan berdasarkan pelan strategik ‘Sustainable PJ 2030’.

“Sejak dilancarkan, MBPJ berjaya menghasilkan beberapa jalinan kerjasama antaranya program tanggungjawab sosial koporat bersama Bank Rakyat bagi projek PJCity Food dengan sumbangan RM1.5 juta.

“Melaluinya, MBPJ mengedarkan sarapan kepada kira-kira 5,000 pelajar dari 3,000 keluarga kurang berkemampuan di Petaling Jaya,” katanya.

Selain itu, MBPJ turut mengadakan kerjasama dengan DIGI dalam kempen kesedaran terhadap jenayah digital.