Categories
SELANGOR

Pegawai Kewangan Negeri bersara selepas 36 tahun berkhidmat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 DIS: Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman hari ini bersara selepas menabur bakti selama 36 tahun dan 30 hari dalam perkhidmatan awam.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Kewangan Negeri sejak lima tahun lalu akan digantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Dato’ Nor Azmie Diron, pada Januari 2018.

Beliau yang dianggap Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai tokoh penting membantu Kerajaan Negeri merangka belanjawan tahunan berkata, perasaannya ketika ini bercampur baur antara sedih dan gembira.

“Soal perasaan itu memang bercampur baur kerana saya akan meninggalkan perkhidmatan awam selepas berkhidmat selama 36 tahun, 30 hari iaitu satu tempoh yang lama dan dapat belajar banyak perkara.

“Di mana pun saya berada, saya tetap belajar dan hari ini sudah tiba masanya untuk kita meninggalkan perkhidmatan dan perlu mengundurkan diri.

“Apa pun sebenarnya bersara ini juga satu nikmat untuk kita melepaskan penat lelah selepas melalui satu tempoh yang panjang,” katanya kepada SelangorKini.

Noordin mula berkhidmat di Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, pada 1981 sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, pada 2006.

Beliau juga pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pegawai Daerah Klang, Penolong Ketua Pegawai Daerah dan Setiausaha Majlis Bandaraya Shah Alam.

Pada 1 November 2012, beliau mula menjawat jawatan Pegawai Kewangan Negeri dan menjadi tokoh penting membantu Mohamed Azmin melengkapkan empat belanjawan yang pernah dibentangnya sejak 2014.

Penyerahan tugas disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya sebelum Noordin melekapkan jarinya, pada perakam masa sebagai simbolik persaraan.