Categories
NASIONAL

KWSP jamin maklumat dan simpanan ahli selamat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara operasi di Petaling Jaya ekoran kejadian kebakaran yang berlaku, hari ini dan meminta orang awam ke ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur untuk sebarang urusan.

KWSP dalam kenyataan turut memberi jaminan kepada ahlinya integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas.

“Kami akan sentiasa memantau situasi dan akan memaklumkan sebarang perkembangan sehingga operasi cawangan dibuka semula,” katanya.

Katanya, pasukan Pengurusan Krisis Cawangan kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memastikan kebakaran tidak merebak ke tingkat lain atau kawasan sekitar.

“Memandangkan keselamatan pelanggan dan kakitangan adalah keutamaan kami, pengosongan bangunan dilakukan dan pejabat serta perkhidmatan kaunter ditutup.

“Selain ke cawangan berhampiran, ahli juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 atau menghantar pertanyaan melalui laman sesawang myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my,” katanya.