Categories
SELANGOR SUKANKINI

SelsDeaf Run with Deaf batal

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 6 FEB: SelsDeaf Run with Deaf yang bakal diadakan, pada 3 Mac ini terpaksa dibatalkan ekoran masalah teknikal dan kekurangan dana untuk meneruskan program berkenaan.

Larian anjuran Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor dengan kerjasama Persatuan Olahraga Para Selangor itu dijadualkan berlangsung, pada jam 7 pagi, di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Amcorp Mall.

Presidennya, B Sarkunan berkata, ia adalah kali kedua larian dibatalkan dengan pembatalan kali pertama, pada 12 November 2017.

“Persatuan memohon maaf kerana terpaksa membatalkannya dan akan memulangkan semula yuran penyertaan kepada peserta terbabit.

“Bagaimanapun, kami akan menganjurkan larian ini, pada masa akan datang dan berharap menerima sokongan hebat dari dalam dan luar Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, kos keseluruhan bagi larian itu kira-kira RM80,000, termasuk hadiah.

Terdapat tujuh kategori dipertandingkan dengan yuran penyertaan antara RM20 hingga RM80.