Categories
PBT SELANGOR

Hutan Bandar MPSJ legasi kelestarian hijau

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JAN: Pelaksanaan Taman Rekreasi Hutan Bandar di Persiaran Setia, USJ 3C berupaya
meneruskan usaha kelestarian hijau, di kawasan Subang Jaya dan menjadikannya sebagai ‘Intergrated Playground Centre’ untuk komuniti pelbagai peringkat umur.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, cadangan pembangunan taman rekreasi awam berkonsepkan hutan bandar itu bertujuan mewujudkan persekitaran segar, nyaman dan selesa untuk semua lapisan masyarakat.

Katanya, ia juga selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012–2030 yang memperincikan setiap perancangan, pembangunan mampan dan mesra alam sebagai salah satu inisiatif ke arah perbandaran ‘vibrant’.

“Pembangunan rekreasi itu diperolehi melalui pemuliharaan kawasan hutan belukar sedia ada dengan keluasan sebesar 7.86 ekar kepada sebuah kawasan taman rekreasi awam untuk manfaat penduduk setempat, yang siap pada April 2018.

“Kawasan tapak ini berpotensi tinggi sebagai taman rekreasi awam untuk riadah keluarga ekoran 70 peratus daripada guna tanah sekeliling adalah daripada kawasan perumahan dan baki 30 peratus adalah kawasan perindustrian dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Hutan Bandar MPSJ, bersempena Jelajah Maju Bersama 2019 ke Daerah Petaling, semalam.

Turut hadir, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari; EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Noraini berkata, pembangunan taman rekreasi itu turut menyediakan landskap lembut yang mempunyai pelbagai kategori pokok hutan tropika membabitkan 750 pokok, 18 pokok palma, 4,220 shrubs, 1,500 tanaman herba serta 1,800 jenis tanaman memanjat.

Beliau berkata, pemilihan pokok itu bersesuaian dengan konsep taman rekreasi hutan bandar dan iklim, di Malaysia.

“Terdapat juga lima pecahan Laman Utama untuk tujuan penanaman pokok dan pendidikan iaitu Laman Terapi, Laman Ilmu, Laman Herba dan Laman Permainan Kanak-Kanak.

“Selain itu, antara kemudahan lain yang dicadangkan adalah trek joging, walk board, taman hutan, open lawn, mountain bike trail, taman permainan kanak-kanak, outdoor gimnasium, pejabat pengurusan dan tandas,” katanya.