Categories
EXCO SELANGOR

Kesan 1,000 tong sisa toksik, pemilik diberi amaran rampas tanah

SHAH ALAM, 16 JULAI: Kerajaan Negeri mengeluarkan amaran rampasan tanah susulan penemuan 1,000 tong drum disyaki mengandungi sisa toksik di tapak pembuangan haram di Jalan Sijangkang Utama, Johan Setia, Klang.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata tindakan rampasan akan dibuat sekiranya pemilik tidak mematuhi Notis 7A yang menghendakinya membersihkan tapak mengikut tempoh ditetapkan Pejabat Tanah dan Daerah Klang.

“Kita sudah mengenal pasti status tanah itu, ia adalah hak milik berstatus pertanian yang melanggar syarat guna tanah. Jika pemiliknya terus berdegil, kita akan keluar notis 7B iaitu rampasan tanah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai sejak Mac lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan maka ramai tidak menyedarinya dan lebih buruk ia berlaku di kawasan hitam iaitu tempat yang kerap berlaku pembakaran terbuka.

“Kerajaan Negeri kini sedang di peringkat perbincangan bersama agensi bertanggungjawab untuk kerja pembersihan kerana bimbang sisa-sisa kimia ini akan menyebabkan letupan,” katanya.