Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Teroka e-dagang bersama Shopee jadi ikutan negeri lain

KLANG, 22 OGOS: Pencapaian memberangsangkan diperoleh Selangor melalui kerjasama dengan pengendali e-dagang terkemuka, Shopee kini menjadi ikutan negeri lain.

Menurut Perunding Pembangunan Perniagaannya, Loqman Firdauz Wong selepas Selangor melancarkan inisiatif itu pada Mei, Pulau Pinang pula melancarkan Penang e-mall pada Jun diikuti Johor dengan memperkenalkan Johor e-marketplace awal bulan ini.

“Langkah Selangor membantu rakyat terkesan dengan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) membuka mata negeri lain.

“Mereka melihat kerjasama ini boleh membantu rakyat terkesan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan ekonomi negeri masing-masing,” katanya kepada SelangorKini selepas program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 hari ini.

Tambah Loqman beberapa negeri lain turut menyuarakan hasrat menjalin kerjasama tersebut dan masih diperingkat perbincangan.

“Mungkin dalam masa terdekat ini Perak menjadi negeri terbaharu mengumumkan inisiatif sama,” katanya.

Pada Julai lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan inisiatif Kerajaan Selangor mengadakan e-Bazar Raya Selangor mencatatkan pulangan RM341.5 juta, jauh melangkaui sasaran awal RM8 juta.

Kempen dua bulan bermula Mei dengan modal RM1 juta itu disertai 8,400 usahawan, 6,400 daripadanya golongan konvensional yang ada wadah e-dagang manakala 2,000 lagi peniaga aktif sedia ada.

Melalui kempen itu, usahawan ditawarkan peluang perniagaan selain memberi kemudahan kepada orang ramai mendapatkan keperluan sempena Aidilfitri seperti kuih-muih, barangan kelengkapan rumah, pakaian dan sebagainya dengan banyak pilihan serta harga murah.