Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Semua masjid di Selangor terima sumbangan kewangan

KLANG, 20 APRIL: Kerajaan Selangor menyalur sumbangan antara RM5,000 hingga RM10,000 kepada semua masjid negeri ini dalam tempoh terdekat.

Dato’ Menteri Besar berharap bantuan itu menampung kekurangan dana susulan penutupan serta pengehadan bilangan jemaah masjid sejak perebakan Covid-19.

“Banyak masjid di Selangor berdepan kekurangan dana untuk melaksanakan aktiviti serta membaiki kerosakan kemudahan asas.

“Justeru, Kerajaan Negeri ikhtiar bagaimana untuk terus mengimarahkan masjid terutama sepanjang Ramadan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid Daerah Klang di Masjid Al-Ansar, Kapar sempena Jelajah Ramadan Kita Selangor Daerah Klang.

Pada majlis itu setiap 42 masjid di daerah Klang menerima sumbangan berjumlah RM10,000.

Sumbangan kepada semua masjid disalurkan menerusi Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

Sementara itu, Amirudin bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad turut meluang masa membeli juadah sambil meninjau operasi Bazar Ramadan Pekan Kapar.

Beliau kemudian menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Ketua Kampung dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Asy-Syarif, Pekan Meru.