KLANG, 28 NOV: Kesemua 20 Ahli Dewan Diraja Selangor mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan Ahli Dewan Diraja Selangor bagi sesi 1 Disember 2019 hingga 30 November 2022, hari ini.
Istiadat Angkat Sumpah Ahli Dewan Diraja Selangor yang berlangsung di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah, Klang disaksikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah mendahului istiadat angkat sumpah yang bermula pada sekitar 10.30 pagi dan turut disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato’ Indera Abd Halim Aman.
Bagi sesi kali ini, terdapat dua ahli baharu yang pertama kali mengangkat sumpah iaitu Prof Adjung Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Tengku Harun.
Seorang lagi ahli, Tan Sri Ambrin Buang yang tidak hadir hari ini akan mengangkat sumpah pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.