SEPANG, 2 JUN: Semua negeri disaran melaksanakan pemeriksaan Covid-19 secara percuma seperti dianjurkan Kerajaan Selangor menerusi program Saringan Komuniti.
Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata tindakan itu dapat mengesan jangkitan disamping boleh mengasingkan mereka yang dijangkiti lebih awal.
“Saya memuji langkah Kerajaan Selangor membantu rakyat terutama golongan kategori berpendapatan rendah (B40) melakukan saringan percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Saringan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Dewan Orang Ramai Serin, Cyberjaya, di sini hari ini.
Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 8 Mei hingga 10 Jun.
Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.