Categories
AGENDA NASIONAL

PGA tahan tujuh pendatang tanpa izin termasuk tiga wanita

SHAH ALAM, 26 DIS: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih menahan tujuh pendatang tanpa izin termasuk tiga wanita warga Myanmar di Jalan Masjid, Kampung Sungai Serdang, Kapar sekitar 10.30 pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Rizal Mohamed berkata empat lelaki warga Indonesia berumur 25 hingga 63 tahun manakala tiga wanita tersebut berumur 15 hingga 22 tahun ditahan hasil daripada maklumat yang diterima pihaknya.

“Kesemua mereka yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah. Tiga wanita berkenaan juga mengaku baru sahaja tiba dari negara jiran dengan menggunakan bot dan mendarat di pesisir pantai Sungai Serdang, di sini.

“Empat lelaki terbabit dipercayai cuba untuk keluar melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rizal berkata kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Kapar, Klang Utara untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan akan menjalani ujian saringan Covid-19.

Beliau juga menyeru orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PGA rampas rokok tidak bercukai bernilai RM875,000

SHAH ALAM, 13 DIS: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan penjualan rokok tidak bercukai di sekitar Kuala Selangor selepas merampas 4,900 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM875,000 semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Rizal Mohamed berkata rokok yang dirampas itu disembunyikan di belakang sebuah lori dan kereta di sebuah bangunan di kawasan Jalan Kilang Padi, Tanjung Karang, dekat sini.

Rizal berkata rampasan sekitar 3.30 petang itu susulan penahanan seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun di sebuah bangunan di kawasan itu.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan juga berjumlah lebih kurang RM942,460,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rizal berkata tangkapan dan rampasan berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Tanjung Karang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

Beliau juga meminta orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa.

– BERNAMA