Categories
AGENDA NASIONAL

Yayasan Bank Rakyat hulur bantuan sekolah kepada 1,000 pelajar

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Sebanyak 1,000 murid sekolah rendah dan menengah daripada keluarga golongan kurang berkemampuan di sekitar ibu negara menerima bantuan persekolahan sempena Program Kembali ke Sekolah anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR).

YBR dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bantuan berjumlah RM150,000 itu disempurnakan pengerusinya Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin sebagai tanda prihatin atas kekangan dihadapi keluarga pelajar.

Dalam pada itu, Nazir Hussin dalam kenyataan berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak 33,721 murid telah menerima manfaat melalui bantuan itu membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM3.87 juta.

“Bantuan diberikan ini juga membuktikan keprihatinan badan bukan berkeuntungan dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat mengecapi limpahan ekonomi dalam negara,” katanya.

Bantuan persekolahan berupa set baju, kasut dan beg sekolah bernilai RM150 itu juga akan diagihkan ke 148 lokasi lain yang telah dikenal pasti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Yayasan Bank Rakyat sumbang RM50,000 kepada 250 keluarga mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Yayasan Bank Rakyat meneruskan tradisi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) hari ini apabila menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 kepada 250 keluarga yang terjejas banjir kilat di ibu negara baru-baru ini, dengan masing-masing menerima RM200.

Pengerusinya Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata mereka merangkumi penduduk dari Kampung Baru, Taman Maluri dan Kampung Datuk Keramat.

“Sebelum ini (13 November) kita telah turun bagi bantuan kepada 450 keluarga mangsa banjir di Hulu Langat dan kita dapati keadaan minggu berikutnya cuaca masih hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir kilat di ibu negara.

“Insya-Allah bantuan seperti ini kita akan perluaskan ke negeri lain-lain yang terjejas banjir,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan bantuan mangsa banjir di Kampung Baru di sini hari ini.

Nazir berkata pada masa sama, yayasan itu juga mengutamakan bantuan kepada anak-anak yatim, tahfiz dan rumah orang tua yang terjejas dari segi sumbangan dan bantuan susulan penularan wabak Covid-19.

Seorang mangsa banjir, Mardziah Mohamad, 77, berkata rumahnya di Jalan Raja Ali di sini dinaiki air setiap kali hujan lebat yang berterusan dan paling teruk ialah pada September lepas apabila air naik hingga ke paras pinggang.

“Kalau nak kira berapa kali banjir tidak terkira dah, minggu ini pun selang sehari walaupun kadang-kadang air masuk ke lantai rumah setakat aras buku lali sahaja, tetap rumah kena cuci dan angkat barang juga.

“Jadi, sekarang apabila setiap kali hujan lebat, saya akan cepat-cepat angkat yang mana patut,” katanya yang percaya banjir kilat itu berpunca daripada sistem perparitan tersumbat dan projek pembinaan yang menyebabkan air bertakung.

Mohd Esa Abdul Hamid, 43, pula berkata dia kerugian lebih RM1,000 apabila perabot rumahnya rosak ditenggelami air dalam kejadian baru-baru ini selepas hujan lebat berterusan lebih empat jam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BIZZHALL2020 program bangunkan usahawan terjejas Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Yayasan Bank Rakyat semalam melancarkan program BIZZHALL2020 dalam usaha membantu usahawan berskala mikro serta industri kecil dan sederhana (IKS) mengembangkan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Program inisiatif yayasan itu dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bertujuan memastikan kesinambungan serta kelestarian perniagaan berskala mikro dan IKS yang terjejas.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika berucap pada pelancaran program itu berkata pandemik Covid-19 banyak mengubah lanskap keusahawanan dan perniagaan apabila ramai peniaga tidak dapat beroperasi seperti biasa.

“Program BIZZHALL2020 ini membantu rakyat mengharungi era pasca-Covid-19, sekali gus membuktikan usaha pelbagai sektor yang sangat menyokong nilai-nilai keusahawanan dengan memfokuskan usahawan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Hari ini (semalam) kami menghimpunkan 13 agensi di bawah satu bumbung yang menawarkan pelbagai produk pembiayaan khusus bagi membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata antara agensi terlibat ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi pembiayaan Tabung Modal Pusingan berjumlah sehingga RM10 juta; Bank Rakyat (Pembiayaan Khas Bank Rakyat Cares – sehingga RM300,000); Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (Bumiputera Relief Financing – dari RM100,000 hingga RM1 juta); dan TEKUN Nasional (Skim Pembiayaan Tekun Niaga – dari RM50,000 hingga RM100,000).

Nazir Hussin berkata sehingga kini bilangan usahawan PKS yang berdaftar di negara ini ialah 907,065 syarikat dengan sejumlah 20.6 peratus merupakan usahawan wanita.

Sementara itu bercakap pada sidang media, Nazir Hussin berkata seramai 200 usahawan terpilih di tujuh lokasi lain akan dilatih dengan pelbagai kemahiran keusahawanan.

Program pertama ini melibatkan 253 peserta. Beliau berkata MEDAC turut memperuntukkan RM372.8 juta untuk pelan pemulihan usahawan Pascal Covid-19 yang dijangka dapat membantu 907,000 PKS mikro seluruh negara.

– BERNAMA