Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LUAS: Friends of River pupuk kesedaran cintai sungai

SHAH ALAM, 25 NOV: Pewujudan Friends of River (FoR) membuktikan komitmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memupuk kesedaran dan rasa cinta masyarakat terhadap sungai di negeri ini.

Pemangku pengarahnya (ketua penolong pengarah bahagian pengurusan lembangan sungai dan pantai) berkata inisiatif itu bukan sahaja melindungi sungai daripada tercemar malah memanfaatkan komuniti setempat.

“Pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) dikumpulkan di bawah FoR dengan masing-masing menggerakkan usaha sendiri melalui aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran sungai.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Haslina Amer bercakap ketika Program Bual Bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? di Studio Media Selangor, Menara Bank Rakyat Shah Alam pada 23 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita percaya komuniti sungai akan mendapat manfaat kerana kawasan sungai itu boleh digunakan untuk beriadah dan melakukan aktiviti bersama keluarga,” kata Haslina Amer pada program bual bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Media Selangor pada Isnin.

Pada masa sama, beliau menasihatkan semua pihak bersama-sama menjaga kebersihan sumber air mentah demi kepentingan generasi akan datang.

“Tanggungjawab memelihara sungai bukan semata-mata terletak di bahu kerajaan mahupun agensi tetapi memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Pada 25 Januari 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan pewujudan Jawatankuasa Pelaksana Pemuliharaan Sungai-Sungai di Selangor yang dipengerusikan EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam dan Luas sebagai urusetia.

Salah satu inisiatif pemuliharaan sungai yang diperkenalkan melalui jawatankuasa ini adalah pewujudan FoR di setiap sungai negeri ini.

Sehingga kini, sebanyak 40 FoR ditubuhkan di 40 anak sungai yang menjadi ‘mata’ Kerajaan Negeri untuk memastikan kawasan persekitaran sungai bersih.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: 20 lokasi Friends of River dilancar serentak 26 September

SHAH ALAM, 18 OGOS: Kerajaan Negeri bakal melancarkan inisiatif Friends of River (FoR) di 20 lokasi sempena sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Selangor pada 26 September ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata FoR diwujudkan di setiap sungai seluruh negeri ini bagi pemeliharaan dan pemuliharaan oleh komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin tempatan.

“Pelancaran inisiatif ini pada asalnya dijadual sekitar Mac lalu ditunda ke September berikutan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia akan dilancarkan serentak secara minima mengikut tatacara operasi piawai (SOP) tanpa melibatkan jumlah peserta atau komuniti yang ramai dalam satu masa,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Amirudin dijangka melancarkan program tersebut di Sungai Klang, Taman Melawati, Gombak yang akan disiarkan secara langsung menerusi media sosial bagi menggalakkan penglibatan ramai komuniti.

Program yang dijadual bermula jam 8.30 hingga 10 pagi itu menumpukan aktiviti gotong-royong pembersihan sungai.

Sambutan Hari Sungai Sedunia disambut pada Ahad minggu terakhir September bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai kepentingan sungai kepada semua kehidupan.

Sambutan ini dimulakan pembela sungai tersohor antarabangsa, Mark Angelo pada 2005 bagi meraikan saluran sumber air semulajadi di dunia.

Tahun ini merupakan sambutan ke-16 yang disambut lebih 60 negara seluruh dunia.