Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hari Keputeraan: MB doa pemerintahan Agong diberkati

SHAH ALAM, 7 JUN: Dato’ Menteri Besar menzahir ucapan setingi-tinggi tahniah kepada Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Keputeraan baginda hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendoakan agar Baginda dilimpahi keberkatan bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.

“Doa dipanjat ke hadrat Allah SWT juga semoga Seri Paduka Baginda Tuanku dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta putera-putera, puteri-puteri dan seluruh kerabat sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat-Nya, dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam sihat walafiat.

“Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku,” ucap beliau di Facebook hari ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan menangguhkan semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi itu ke satu tarikh yang lain setelah mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan demi melindungi nyawa rakyat ekoran pandemik Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga Istana Negara ucap tahniah sempena Hari Keputeraan Agong

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Warga Istana Negara merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, hari ini.

Warga Istana Negara melalui hantaran di Facebook mendoakan Seri Paduka Baginda sentiasa dilimpahi keberkatan bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.

Turut didoakan semoga Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta putera-putera, puteri-puteri dan kaum kerabat Seri Paduka Baginda berdua sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah, dilanjutkan usia dan berada dalam keadaan sihat walafiat.

“Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan menangguhkan semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi itu ke satu tarikh yang lain setelah mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan demi melindungi nyawa rakyat ekoran pandemik Covid-19.

Turut merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah KDYMM Seri Paduka Baginda, adalah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook beliau malam tadi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong zahir harapan rakyat Malaysia kekal perpaduan

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, baginda menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan budaya akan terus mengekalkan kemakmuran dan perpaduan yang telah dikecapi bersama selama ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah juga mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia terbuka hati untuk bersatu memikul peranan membantu kerajaan menjayakan usaha-usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negara yang dicintai bersama.

Beliau berkata Seri Paduka turut menyeru rakyat terus bersabar dan berdisplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baharu dan mematuhi semua perintah yang dikeluarkan oleh kerajaaan dalam usaha membanteras dan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Seri Paduka Baginda menyanjung tinggi terhadap komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para petugas keselamatan dan barisan hadapan dalam memerangi wabak ini.

“Al-Sultan Abdullah mendoakan agar Malaysia terus dilindungi daripada semua bentuk ancaman, dirahmati dan diberkati serta dikurniakan dengan kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan,” katanya, dalam kenyataan hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hari Keputeraan Agong setiap Isnin pertama Jun

PUTRAJAYA, 4 MAC: Kerajaan bersetuju sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tahun ini dipinda dari Sabtu, 6 Jun kepada Isnin, 8 Jun.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan juga bersetuju mulai 2021 dan sepanjang tempoh pemerintahan Al- Sultan Abdullah, Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka pada Isnin pertama bulan Jun setiap tahun.

“Hari Keputeraan Rasmi diisytiharkan sebagai hari kelepasan am,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua Hakim Negara dahului senarai penerima Darjah Kebesaran Persekutuan

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Ketua Hakim Negara Datuk Seri Utama Tengku Maimun Tuan Mat hari ini mengetuai senarai 42 penerima Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka.

Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Tengku Maimun, 60, yang dilantik memegang jawatan itu pada 2 Mei lepas menerima Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan itu yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, di sini.

Tengku Maimun yang merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Turut menerima Darjah PMN ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Ismail, 58, dilantik sebagai KSN pada 29 Ogos lepas. Lulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom itu telah 32 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam serta berpengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. Foto BERNAMA

Zulkifli, 60, pula dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 Jun 2018 dan pernah memegang jawatan Panglima Tentera Darat pada 2011.

Pada tahun ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 795 individu daripada pelbagai kategori.

Selain tiga tokoh tersebut, istiadat pengurniaan hari pertama hari ini turut menyaksikan 15 individu lain menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran Tan Sri iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah, Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah.

Turut menerima, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Badariah Arshad, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

Penerima Darjah PSM yang lain adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MFDM Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Mahamad Fathil Mahmood, Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Datuk Soh Thian Lai, Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Prof Datuk Dr Chuah Hean Teik serta Peguam Negara Qatar Dr Ali Fetais Al-Marri.

Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada 21 penerima iaitu Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Nor Azri Zulfakar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir, Peguam Cara Negara II Datuk Siti Zainab Omar, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Supang Lian dan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru See Mee Chun serta Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia(FRIM) Datuk Dr Abd Latif Mohmod.

Turut menerima Darjah PJN, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad, Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Dr Wahid Razzaly, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Akbar Samon.

Selain itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Leftenan Jen Datuk Kamalruzaman Mohd Othman, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Markas Tentera Darat Leftenan Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Seri Rosli Ab Rahman, bekas Pakar Perunding Kanan Periodontik Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Ahmad Sharifuddin Mohd Asari, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DXN Holdings Berhad Datuk Dr Lim Siow Jin serta Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Pada istiadat pengurniaan hari ini Al-Sultan Abdullah turut mengurniakan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Azuan Effendy Zairakithnaini, Duta Besar Malaysia ke Republik Korea Datuk Mohd Ashri Muda dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Rozainor Ramli.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Semoga Allah merahmati pemerintahan Agong – MB

SHAH ALAM, 9 SEPT : Semoga Allah SWT merahmati pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memayungi seluruh rakyat Malaysia, demikian ucapan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sempena Istiadat Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

“Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Seri Paduka. Daulat Tuanku,” tulis Amirudin menerusi twitternya, hari ini.

Bersempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong kali ini, seramai 795 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2019.

Daripada jumlah itu, seramai 42 individu akan menerima darjah kebesaran masing-masing hari ini.

Istiadat penganugerahan itu adalah yang pertama selepas Al-Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh gilang-gemilang di Istana Negara pada 30 Julai lalu.

Categories
BERITA UTAMA

Jangan peralat isu sensitif untuk kepentingan sendiri – Agong

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak memperalatkan isu-isu sensitif bagi kepentingan mana-mana pihak.

Titah Seri Paduka setiap rakyat dijanjikan hak serta kebebasan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan tersebut mestilah tidak melangkaui nilai-nilai yang menjadi asas perpaduan negara.

“Begitu juga dalam agenda politik, mesti ada noktah dan batasan yang tidak harus kita langgar. Jika polemik politik dibiarkan berlarutan, lambat-laun rakyat juga yang akan mendapat padahnya.

“Percayalah, perpaduan dan keamanan yang telah terbina selama 62 tahun ini jika hilang, akan sukar untuk dikembalikan. Nasihat Beta, buanglah yang keruh, dan ambillah yang jernih, mana-mana yang tercalar, rawatilah segera agar yang retak akan kembali bertaut,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah baginda menyambut baik usaha-usaha kerajaan, dalam menghadapi suasana ekonomi dan geopolitik yang semakin mencabar, serta mengalu-alukan pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi dan kewangan negara, di samping menangani kos sara hidup dan membasmi kemiskinan.

“Dalam hal ini, kerajaan Beta perlu sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

“Beta berharap golongan yang memerlukan seperti rakyat yang miskin, kurang upaya dan kumpulan B-40, hendaklah diberikan perhatian dan bantuan agar mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan,” titah Seri Paduka.

Selain itu, pembentukan nilai-nilai mulia dalam amalan kehidupan masyarakat hari ini adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, titah Yang di-Pertuan Agong.

Dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang berintegriti, Al-Sultan Abdullah bertitah, generasi muda perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan dan nilai jati diri yang tinggi.

Justeru, Seri Paduka menyarankan agar program-program yang boleh menyemai nilai-nilai mulia, jati diri dan semangat patriotisme, hendaklah dianjurkan di setiap pelosok negara.

“Melalui pendekatan ini, Beta berkeyakinan kita akan dapat membentuk sebuah masyarakat yang berintegriti dan akan turut berupaya membentuk sebuah negara yang mempunyai nilai-nilai jati diri dan patriotisme yang tinggi,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah pada istiadat berkenaan turut mengambil kesempatan menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu di atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Seri Paduka turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang sentiasa taat setia dalam melaksanakan tugas selain warga Istana Negara yang banyak membantu Seri Paduka dalam menggalas amanah sebagai Ketua Utama Negara.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

‘Poster Kuning Diraja’ warnai ibu negara sempena Hari Keputeraan Agong

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Menjelang sambutan Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong esok, jalan utama di sekitar ibu negara dan Istana Negara meriah dihiasi gegantung serta kain rentang memaparkan gambar Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain gambar Seri Paduka berdua, poster dan gegantung berwarna kuning diraja itu turut memaparkan ucapan merafak sembah tahniah kepada Al-Sultan Abdullah yang menyambut ulang tahun keputeraan ke-60, tahun ini.

Antara kawasan yang dihiasi poster dan gegantung berkenaan adalah sekitar Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Cangkat Semantan, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Tun Razak.

Selain itu, premis swasta sekitar Kuala Lumpur turut dilihat memasang poster ucapan merafak sembah tahniah di bangunan masing-masing.

Di Twitter, pelbagai agensi kerajaan, syarikat dan organisasi swasta serta netizen turut menzahirkan ucapan merafak sembah tahniah selain menitipkan doa untuk kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong.

Tarikh 9 September diwartakan sebagai cuti umum sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong bagi tahun ini.

Tepat 9 malam ini, Yang di-Pertuan Agong dijadual menyampaikan titah sempena sambutan itu yang disiarkan secara langsung melalui televisyen dan radio di seluruh negara.

Bagi acara kemuncak sempena sambutan hari istimewa Al-Sultan Abdullah esok, akan berlangsung Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara dan diikuti dengan Majlis Jamuan Teh Diraja pada sebelah petang.

Pada 12 September akan berlangsung Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Agong berangkat ke Majlis bacaan Yasin sempena Hari Keputeraan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat malam ini, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka pada Isnin hadapan.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada pukul 7.20 malam di Masjid Negara di sini disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Yang turut hadir, beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu selain Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Seri Paduka berdua kemudian menunaikan solat Isyak berjemaah. Pasangan diraja itu turut berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah di situ sebelum berangkat meninggalkan majlis pada pukul 9.10 malam.

Majlis itu adalah sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Seri Paduka dijadual berangkat ke khutbah khas dan menunaikan solat Jumaat yang akan berlangsung di sini, esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuti umum sempena Hari Keputeraan Agong wajib diberi kepada pekerja

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 9 September adalah antara lima cuti umum yang wajib diberikan kepada pekerja.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini menyebut bahawa perkara itu ditetapkan mengikut seksyen 60D(1)(a)(ii) Akta Kerja 1955 dan tidak boleh digantikan kepada tarikh lain.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya majikan dan pekerja sektor swasta berkaitan cuti am sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas dan Hari Keputeraan Baginda pada 9 September ini.

Kementerian itu memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan 30 Julai sebagai hari kelepasan am tambahan sempena majlis pertabalan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, dan cuti itu diisytiharkan di bawah seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Cuti ini adalah cuti umum yang diperuntukkan kepada pekerja swasta menurut seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955. Berdasarkan peruntukan ini, majikan boleh menggantikan cuti umum kepada pekerjanya. Dalam hubungan itu, majikan dikehendaki memberitahu pekerjanya sama ada majikan memilih tarikh 30 Julai 2019 sebagai cuti umum atau menggantikan ke tarikh lain dalam tahun ini juga,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sekiranya tiada penggantian dibuat, pekerja yang bekerja pada tarikh itu hendaklah dibayar kadar gaji cuti umum.

-BERNAMA