Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Empat korban baharu babit individu 20-an

SHAH ALAM, 27 JUN: Empat daripada 60 kes kematian baharu yang direkodkan akibat Covid-19 di seluruh negara membabitkan individu berusia 20-an.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata kesemua mangsa terbabit yang menghidap obesiti merupakan rakyat tempatan.

Perincian kematian berkenaan adalah seperti berikut:
1. Lelaki 20 tahun – Jenazah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang
2. Lelaki 28 tahun – Meninggal di Hospital Tengku Ampuan Najihah, Kuala Pilah
3. Lelaki 26 tahun – Meninggal di Hospital Sungai Buloh
4. Perempuan 27 tahun – Meninggal di Hospital Sungai Buloh

Menurut kenyataan itu, individu berusia 40 tahun ke atas yang ada penyakit tertentu antaranya darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang kekal menyumbang kes kematian tertinggi.

Keseluruhannya, sebanyak 20 kes maut berlaku di Selangor, Kuala Lumpur (16), Kelantan (enam), Johor (lima) dan Negeri Sembilan (empat).

Sarawak pula melaporkan tiga kes, Melaka dan Pahang (dua) manakala masing-masing satu kes di Kedah serta Labuan.

Sejak pandemik menular, sebanyak 4,944 angka korban direkodkan di seluruh negara.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga individu usia 30-an antara 50 kematian akibat Covid-19

SHAH ALAM, 21 MEI: Tiga individu berusia lingkungan 30-an antara 50 kes kematian yang dicatat pada hari ini akibat Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seorang lelaki berusia 33 yang ada penyakit darah tinggi dan dislipidemia disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Dislipidemia adalah penyakit yang kandungan kadar lemak dalam darah pada tubuh seseorang terlalu tinggi atau terlalu rendah.

Beliau berkata seorang lelaki berusia 37 tahun dan wanita 35 tahun, kedua-duanya tiada rekod penyakit, pula meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras dan Hospital Melaka.

Selain itu, dua wanita masing-masing berusia 40 dan 41 tahun, yang ada rekod penyakit kencing manis, barah dan obesiti pula mati di Hospital Kajang, Selangor dan Hospital Kota Tinggi, Johor.

Baki kematian lain termasuk seorang warga asing membabitkan individu berusia 50 tahun ke atas, kebanyakan mereka ada penyakit kronik.

Dalam kenyataan sama, Dr Noor Hisham berkata Selangor mencatat 22 kes kematian diikuti Sarawak (lapan), Johor (lima), Kedah (empat), Kuala Lumpur (tiga), masing-masing dua di Negeri Sembilan, Perak dan Melaka.

Hanya satu kematian dicatat di Pulau Pinang dan Kelantan.