Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas barisan hadapan benteng akhir perangai Covid-19 – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 1 MEI: Ketua pengarah kesihatan menzahirkan ucapan penghormatan kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan perubatan sempena sambutan Hari Pekerja hari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham berharap petugas barisan hadapan teruskan perjuangan memerangi pandemik Covid-19.

“Selamat Hari Pekerja 2021 kepada semua warga Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya barisan hadapan kesihatan dan perubatan. Kita masih berjuang dan kita adalah benteng terakhir dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Kita mesti ambil iktibar dan elakkan tsunami Covid-19 seperti yang berlaku di India. Insya-Allah marilah kita ikhlaskan hati, betulkan nawaitu, berusaha dan berjuang habis habisan serta bertawakal kepada Allah,” katanya di Facebook.

Malaysia kembali mencatat peningkatan kes harian Covid-19 sejak awal bulan lalu hingga kembali mencecah lebih 2,000 pada 15 April lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 3,142 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Kes baharu Covid-19 melepasi angka 3,000 dengan 3,142 kes dan 15 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan kes kumulatif Covid-19 di negara mencecah 401,593 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua yang meninggal dunia merupakan warga tempatan menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat wabak itu kini 1,477.

Menerusi kenyataannya hari ini, beliau memaklumkan Selangor masih menjadi negeri mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 1,019 kes, diikuti Kelantan (523) dan Kuala Lumpur (440).

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam lepas juga, 1,822 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 373,397, manakala kes aktif kini 26,719.

Selain itu, beliau berkata sejumlah 306 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 151 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata 12 kluster baharu dilaporkan melibatkan empat kluster sektor pendidikan, empat kluster komuniti, dua kluster tempat kerja, dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, iaitu Kluster Jalan Sekinchan dan satu kluster keagamaan, Kluster Leboh Gambus di Selangor .

Kluster sektor pendidikan terdiri daripada Kluster Melugu di Sarawak, Madai (Sabah), Layar Hujung (Kedah) dan Jalan Gombak Dua (Selangor), manakala kluster komuniti pula Ulu Strass di Sarawak, Jalan Maharajalela (Perak), Taman Wira (Johor) dan Pintu Air Relau (Kedah).

Sementara itu, kluster tempat kerja dikenal pasti ialah Kluster Jalan Rimbunan di Kuala Lumpur dan Kluster Jalan Bakariah di Johor.

Dr Noor Hisham menyatakan pertambahan kluster itu menjadikan kluster aktif kini 370 manakala sembilan kluster dilaporkan tamat hari ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM: Jangkitan baharu Covid-19 hampiri 3,000 kes hari ini

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Jumlah kes harian Covid-19 di negara ini semakin meningkat dan menghampiri 3,000, apabila 2,875 kes dilaporkan hari ini dengan Kelantan mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu 662.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasminya memaklumkan, jumlah kumulatif kes kini 384,688, manakala tujuh lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian akibat pandemik itu di Malaysia kini 1,407.

Sementara itu, 2,541 lagi kes sembuh dicatatkan, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 22,014.

Selangor menjadi negeri kedua mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 633 kes diikuti Sarawak (474) dan Kuala Lumpur (332), manakala Perlis tidak merekodkan kes baharu hari ini.

Sejumlah 169 kes direkodkan di Johor, diikuti Sabah (160), Pulau Pinang (144), Kedah (91), Negeri Sembilan (55), Perak (49), Melaka (42), Pahang (29), Terengganu (22), Putrajaya (10) dan Labuan (3).

Katanya sejumlah 248 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 115 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini berkata, 13 kluster baharu dikenal pasti membabitkan lima kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan dan satu kluster keagamaan iaitu Kluster Kampung Bangkahulu di Negeri Sembilan.

Kluster tempat kerja ialah kluster Jalan Industri Mekanikal dan Jalan Skin di Johor, Jalan Semtec (Selangor), Kota Sawit (Sabah) dan Jalan Salahuddin (Kuala Lumpur), manakala bagi kluster komuniti ialah Jalan Raji (Selangor), Sungai Banus (Sarawak), Jalan Pokok Mangga (Melaka) dan Taman Changkat (Perak).

Dalam pada itu, kluster sekolah atau institusi pendidikan ialah Jalan Shah Banting (Selangor), Mengkebang (Kelantan) dan Dinamik (Kedah).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu meningkat kepada 2,551, Sarawak tertinggi

SHAH ALAM, 16 APRIL: Sebanyak 2,551 kes baharu Covid-19 dicatat hari ini dengan Sarawak rekod kes paling tinggi iaitu 960 kes.

Ketua pengarah kesihatan berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam negara kini sebanyak 370,528.

Menurut Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor mencatat 590 kes diikuti Kuala Lumpur (245), Kelantan (164), Sabah (143) dan Johor (121).

“Tujuh negeri mencatat kes dua angka iaitu Pulau Pinang 91 kes, Negeri Sembilan (53), Perak (49), Pahang (47), Kedah (35), Melaka (28) dan Terengganu (16).

“Sebanyak enam kes dilapor di Putrajaya, dua di Perlis dan satu di Labuan,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 227 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 91 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak 1,524 pesakit sembuh, dua kematian baharu dilapor,” katanya di Facebook.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes baharu Covid-19 catat lebih 2,000 selepas 41 hari

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kes baharu Covid-19 negara kembali mencatatkan angka melepasi 2,000 selepas 41 hari dengan 2,148 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Kali terakhir negara mencatat kes melebihi angka 2,000 adalah pada 5 Mac lalu dengan 2,154 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Twitter beliau hari ini memaklumkan tiga negeri tertinggi mencatat kes baharu adalah Sarawak dengan 512 kes, Selangor (459 kes) dan Kelantan (221 kes).

Ini diikuti Sabah dengan 202 kes, Johor (182), Kuala Lumpur (171), Pulau Pinang (134), Terengganu (57), Melaka (53), Perak (51) dan Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing mencatat 34 kes.

Beliau berkata Kedah mencatat 26 kes, Putrajaya (8), Labuan (3) dan Perlis merekod satu kes bagi tempoh 24 jam lepas.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM cadang tangguh rentas negeri sambut raya

PUTRAJAYA, 15 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini ditangguhkan susulan situasi penularan pandemik Covid-19 masih membimbangkan ketika ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ini berikutan rungutan serta rayuan pelbagai pihak agar kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan berkenaan.

“Sepertimana kita sedia maklum, kebanyakan negeri ketika ini masih di bawah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) sehingga 28 April ini.

“Memandangkan kes harian masih meningkat dan belum stabil, maka pergerakan ini perlu ditangguhkan. Program vaksinasi (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) pun masih dijalankan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku ‘Malaysia Health Sector Response to COVID-19: Perspectives From The Field’, di pejabatnya hari ini.

Malaysia mencatatkan 1,889 kes COVID-19 semalam (14 April) berbanding 1,767 kes pada Selasa.

Ditanya mengenai kemungkinan mereka yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan untuk rentas negeri, Dr Adham berkata pihaknya masih menunggu dapatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

“Kita masih menunggu dapatan ini untuk mendapatkan keputusan sama ada perkara ini boleh dibenarkan,” katanya.

Mengenai tatacara operasi piawai (SOP) di bazar Ramadan, Dr Adham memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai kegagalan pematuhan SOP di beberapa lokasi bazar Ramadan di seluruh negara.

Katanya, kerajaan memandang serius mengenai perkara tersebut dan tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan ditutup sekiranya terdapat kluster baharu dipercayai daripada aktiviti bazar.

“Kalau kluster bazar wujud, kita (KKM) akan lakukan siasatan melalui rekod aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan punca yang tepat. Mudah bagi kita untuk kesan punca atau tempat bermula jangkitan. Sekiranya penganjur tidak bertanggungjawab, kita tidak teragak-agak kenakan kompaun,” katanya.

Mengenai kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan kompaun kepada individu yang gagal mematuhi SOP, beliau berkata lantikan di bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) itu bertujuan memastikan tahap pematuhan SOP di bazar Ramadan adalah tinggi.

Berkuat kuasa semalam, Kementerian Kesihatan telah menurunkan kuasa kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas, untuk mengkompaun kesalahan di bawah Akta 342 termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP bazar Ramadan.

 

– BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 terus meningkat, rekod 1,739 jangkitan baharu

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Kes baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini mencatatkan 1,739 kes dengan lapan kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah.

Menurutnya, daripada jumlah itu 1,731 adalah penularan tempatan, manakala lapan lagi adalah kes import.

“Kes sembuh pula adalah 1,216 menjadikan jumlah kumulatif 343,953,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19.

“Pada masa ini, terdapat 183 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 81 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tiga negeri mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu Selangor dengan 535 kes, diikuti Sarawak (443) dan Sabah (127).

Mengenai kes kematian hari ini beliau berkata, ia melibatkan empat di Selangor, dua di Kuala Lumpur serta masing-masing satu di Sabah dan Johor, dengan umur antara 57 dan 78 tahun.

Sementara itu, lapan kluster baharu turut dikenal pasti membabitkan lima kluster tempat kerja dan tiga kluster komuniti.

Kluster tempat kerja adalah Jalan Kasawari dan Jalan Desaria di Selangor; Jalan Bambangan dan Jalan Badarudin di Sarawak; serta Jalan Zainab di Kelantan.

Bagi kluster komuniti pula, Nanga Kelangas dan Abak Bon di Sarawak, serta kluster Meruntum di Sabah.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Selangor rekod 415 kes baharu Covid-19, tiga kematian

SHAH ALAM, 10 APRIL: Selangor merekodkan 415 kes baharu Covid-19 hari ini termasuk tiga kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah lebih 70 peratus iaitu 295 kes dikesan daripada saringan kontak rapat dan 86 kes membabitkan lain-lain saringan.

“Jumlah harian ini turut melibatkan 31 kes dari kluster sedia ada termasuk lapan kes dari dua kluster baharu, kluster Kampung Kelanang dan Industri Jalan Kebun.

“Peningkatan ini menjadikan keseluruhan sebanyak 119,520 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat tiga kematian melibatkan lelaki warga tempatan berusia antara 56 hingga 64 tahun.

“Semua kes memiliki penyakit kronik seperti jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatatkan 1,510 kes baharu. Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 dalam negara kini 359,117 kes.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1,510 kes baharu Covid-19, turun sedikit banding semalam

SHAH ALAM, 10 APRIL: Sebanyak 1,510 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini, turun sedikit berbanding semalam, maklum ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor mencatatkan kes harian tertinggi dengan 415 kes diikuti Sarawak (296), Kelantan (171), dan Sabah (131).

“Kuala Lumpur mencatatkan 106 kes baharu, Pulau Pinang (101), Johor (80), Kedah (59), Perak (46) dan Terengganu (44).

“Negeri Sembilan pula melaporkan 28 jangkitan baharu, Pahang (13), Putrajaya (10), Melaka (enam), Labuan dan Perlis masing-masing dua kes,” katanya menerusi Facebook.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 dalam negara kini 359,117 kes.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 naik kepada 1,854, Sarawak tertinggi

SHAH ALAM, 9 APRIL: Sebanyak 1,854 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara kini meningkat kepada kepada 357,607 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Sarawak mencatatkan pertambahan kes harian tertinggi dengan 555 kes baharu.

Menurut beliau, enam negeri lain turut mencatatkan pertambahan kes tiga angka iaitu Selangor 403 kes, Pulau Pinang (176); Kelantan (143); Sabah (139); Kuala Lumpur (135) dan Johor (103).

“Negeri Sembilan dan Kedah masing-masing 40 kes baharu, Melaka (34), Perak (29), Pahang (19), Labuan (3) dan enam kes di Putrajaya.

“Hanya Perlis tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes hari ini,” katanya menerusi Facebook.

 

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 1,139 kes baharu, empat kematian, Sarawak kekal tertinggi

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Malaysia mencatatkan 1,139 kes baharu Covid-19 hari ini dengan empat kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi hantaran di Twitter, beliau memaklumkan daripada jumlah itu, 1,126 membabitkan penularan tempatan manakala 13 lagi adalah kes import.

Beliau juga berkata kes sembuh pula sebanyak 1,199 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 339,067.

Pada masa ini, terdapat 194 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 86 memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Dr Noor Hisham berkata tiga negeri mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu Sarawak dengan 332 kes, diikuti Selangor (294) dan Johor (102).

Sementara itu, beliau berkata 10 kluster baharu dikenal pasti melibatkan enam kluster tempat kerja, dua kluster komuniti, serta masing-masing satu kluster pusat tahanan dan import.

Kluster tempat kerja membabitkan Jalan Simpang Balak dan Jalan Keretapi di Selangor; Sungai Kluang Empat dan Jalan Padang Benggali (Pulau Pinang); Jalan Bangunan Kerajaan (Sarawak) dan Persiaran Indahpura Utama (Johor).

Kluster komuniti dikesan di Sungai Kawi (Sarawak) dan Jalan Persiaran Putri (Johor), manakala kluster pusat tahanan ialah Tembok Choh Dua (Johor) dan kluster import ialah Highline (Johor), katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kawalan, pencegahan Covid-19 perlu dipertingkat jika Rt lebih 1.2

PUTRAJAYA, 5 APRIL: Kaedah pencegahan dan pengawalan wabak Covid-19 di negara ini perlu dipertingkatkan sekiranya kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) melebihi 1.2, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau bimbang dengan trend ditunjukkan kebelakangan ini yang merekodkan bilangan kes melebihi 1,000 sehari dengan kadar Rt 1.0, berbanding unjuran Rt pada kadar 0.8, yang bermaksud kes Covid-19 dalam negara dapat dikawal dengan baik.

“Kebimbangan kita adalah Rt akan pergi kepada 1.2, dan kaedah pengawalan selain daripada vaksinasi perlu dipertingkatkan. Saya seru orang ramai patuhi SOP (tatacara operasi piawai) sedia ada,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini bersama Menteri Penyelaras program itu Khairy Jamaluddin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan 1,349 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam dan kadar Rt di negara ini adalah 1.01.

Ditanya adakah Malaysia akan mengalami gelombang keempat Covid-19, Dr Adham berkata ia bergantung kepada pembukaan sempadan negara.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan sembilan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah jangkitan varian Afrika Selatan B.1.351, namun ia masih terkawal dan semua pesakit terbabit telah diberi rawatan dan dikuarantin.

“Setakat ini, kes import harian di dalam negara terus dipantau dan akan terus dibuat pengasingan seterusnya mengenal pasti kontak rapat mereka,” katanya.

Mengenai kesiapsiagaan hospital bagi membendung Covid-19, Dr Adham berkata KKM mempunyai 63 hospital yang dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19 iaitu tujuh hospital merupakan ‘hospital full Covid’ manakala 56 yang lain adalah hospital hibrid.

Tujuh hospital itu ialah Hospital Sungai Buloh; Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di Kluang, Johor; Hospital Tampin; Hospital Kepala Batas; Hospital Hulu Terengganu; Hospital Tumpat dan Hospital Kuala Krai (lama).

Dr Adham berkata katil khusus untuk rawatan Covid-19 adalah sebanyak 6,775, dan kadar penggunaannya kira-kira 37 peratus.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM sedang memperhalusi data daripada Unit kawalan penyakit berjangkit (CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung cadangan membenarkan individu yang lengkap proses vaksinasi merentas negeri.

“Setakat ini, kita belum terima ‘concrete evidence’ untuk benarkan orang yang telah menerima dua dos untuk rentas negeri… cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

– BERNAMA