Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Operasi tren pantai timur KTMB batal mulai malam ini

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Perkhidmatan KTM Intercity untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan tren Ekspres Timuran No. 26 dan No. 27 bagi laluan Johor Bahru Sentral-Tumpat dan sebaliknya, serta tren Shuttle Timuran, dibatalkan mulai malam ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pembatalan perjalanan itu dibuat susulan landasan antara Kuala Krai dan Bukit Abu, Kelantan ditenggelami banjir.

“Pihak KTMB terpaksa membatalkan perkhidmatan tren demi keselamatan penumpang dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun penumpang yang terjejas dengan perkhidmatan itu boleh menukar tarikh perjalanan atau mendapatkan pemulangan tambang penuh, mengikut terma dan syarat.

Sebarang maklumat terkini boleh didapati di saluran media baharu KTMB atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih 150,000 tiket KTMB masih ada untuk kembali dari cuti raya

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Lebih 150,000 tiket kereta api masih lagi ada untuk mereka yang ingin kembali dari kampung halaman ke Kuala Lumpur dengan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) dan kereta api antara bandar KTM, selepas bercuti Hari Raya Aidilfitri mulai hari ini sehingga 16 Jun.

Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Ahmad Asri Khalbi berkata tiket masih ada untuk mereka dari utara atau selatan yang ingin ke Kuala Lumpur dan sebaliknya termasuk pada hujung minggu ini.

“Kami masih ada 152,440 tiket untuk mereka yang ingin berjalan-jalan selepas musim cuti terutamanya dari Padang Besar ke Kuala Lumpur, Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan Tumpat, Kelantan ke Kuala Lumpur dan sebaliknya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau menggesa orang ramai untuk mendapatkan tiket dengan segera kerana kadar jualan tiket adalah pantas memandangkan cuti sekolah dan Hari Raya Aidilfitri berakhir hujung minggu ini.

Mereka boleh menempah tiket secara dalam talian menerusi www.ktmb.com.my atau aplikasi KTMB Mobticket yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store.

Tiket juga boleh dibeli menerusi perkhidmatan kaunter di 105 stesen KTMB di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Asri berkata operasi KTMB berjalan dengan lancar biarpun hujan lebat dalam beberapa hari lepas.

“Berdasarkan laporan hari ini, walaupun keadaan cuaca tidak menentu, kereta api tiba dan berlepas mengikut waktu yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Beliau berkata lebih ramai memilih KTMB untuk pulang selepas musim perayaan kerana ia menjimatkan masa dan mereka boleh mengelakkan kesesakan di lebuh raya yang berjam-jam lamanya.

Untuk keselamatan penumpang, KTMB juga memastikan setiap stesen dikawal ketat, terutama pada hari-hari puncak untuk penumpang kembali daripada cuti perayaan dengan polis ditempatkan di stesen-stesen utama seperti KL Sentral, Butterworth dan JB Sentral. – BERNAMA