Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KWSP umum dividen 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan dividen 5.45 peratus dengan jumlah agihan RM41.68 bilion untuk Simpanan Konvensional.

Didorong prestasi kukuh bagi 2019 yang disumbangkan operasi dan kewangan, KWSP memberikan 2.95 peratus melebihi kadar yang dimandatkan di bawah Akta KWSP 1991, yang memerlukan pengisytiharan dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun.

Di samping itu, dividen purata tiga tahun KWSP untuk Simpanan Konvensional selepas penyelarasan inflasi adalah 4.33 peratus, iaitu 2.33 peratus melebihi sasaran tiga tahun KWSP sebanyak 2.00 peratus.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KWSP jamin maklumat dan simpanan ahli selamat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara operasi di Petaling Jaya ekoran kejadian kebakaran yang berlaku, hari ini dan meminta orang awam ke ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur untuk sebarang urusan.

KWSP dalam kenyataan turut memberi jaminan kepada ahlinya integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas.

“Kami akan sentiasa memantau situasi dan akan memaklumkan sebarang perkembangan sehingga operasi cawangan dibuka semula,” katanya.

Katanya, pasukan Pengurusan Krisis Cawangan kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memastikan kebakaran tidak merebak ke tingkat lain atau kawasan sekitar.

“Memandangkan keselamatan pelanggan dan kakitangan adalah keutamaan kami, pengosongan bangunan dilakukan dan pejabat serta perkhidmatan kaunter ditutup.

“Selain ke cawangan berhampiran, ahli juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 atau menghantar pertanyaan melalui laman sesawang myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bangunan KWSP Petaling Jaya terbakar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya dilaporkan terbakar, tengah hari tadi.

Perkara itu dikongsikan orang awam menerusi satu video berdurasi sembilan saat yang dimuat naik di laman sosial ketika melalui Lebuhraya Persekutuan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dalam laporan awal berkata, kebakaran berlaku membabitkan bangunan KWSP setinggi enam tingkat, sekitar 40 peratus dan dipercayai berpunca daripada tingkat 1.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba Penyelamat Seksyen 7 Petaling Jaya, Damansara, Pelabuhan Klang, Hang Tuah dan Pantai bergegas ke tempat kejadian untuk membantu proses pemadaman api dengan kekuatan 43 anggota termasuk pegawai.

Setakat ini, jumlah mangsa masih belum disahkan.

Categories
NASIONAL

Guna akaun 2 KWSP langsai baki pinjaman pendidikan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JULAI: Lebih 70,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menggunakan simpanan Akaun 2 bagi menyelesaikan baki pinjaman pendidikan, berkuat kuasa 21 Julai ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, langkah itu antara penambahbaikan di bawah Skim Pengeluaran Pendidikan bagi menggantikan syarat semasa pengeluaran sebelum ini.

Katanya, ia juga berkuat kuasa kepada semua tanpa mengira tarikh kuat kuasa perjanjian pinjaman pendidikan masing-masing.

“Penambahbaikan ke atas polisi ini dilakukan setelah mengambil kira maklum balas ahli yang mengalami kesukaran mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman pendidikan menggunakan simpanan KWSP mereka.

“Sebelum membuat pengeluaran, ahli digalak mendapatkan nasihat percuma di kaunter khidmat nasihat persaraan di mana-mana 18 cawangan seluruh Malaysia berkenaan jenis pengeluaran terbaik mengikut kehendak mereka,” katanya dalam kenyataan.

hutang-wangSebelum ini, syarat semasa untuk menyelesaikan baki pinjaman pembiayaan pengajian anak ahli di peringkat ijazah dan ke atas, serta yang setara dengannya adalah terhad bagi perjanjian pinjaman berkuat kuasa 1 April 2000 dan bagi penyelesaian pembiayaan pengajian ahli di peringkat diploma dan ke atas, serta setara dengannya terhad bagi perjanjian pinjaman berkuat kuasa 2 Januari 2001.

Pada masa sama, syarat bagi menyelesaikan pembiayaan pengajian ahli dan anak ahli di peringkat diploma dan ke atas, serta yang setara dengannya terhad bagi pinjaman berkuat kuasa, pada 17 Januari 2006.

Turut berkuat kuasa serta-merta, ahli KWSP juga boleh mengemukakan borang permohonan pengeluaran 9B (AHL) untuk pengeluaran umur 50 tahun atau pengeluaran penuh atau sebahagian umur 55 tahun dan 60 tahun sebulan sebelum tarikh lahir masing-masing berbanding enam bulan sebelumnya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 atau layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau berkunjung ke cawangan KWSP di seluruh negara.