Categories
AGENSI SELANGOR

PPV Dewan Komuniti Serendah ditutup esok

SHAH ALAM, 22 OGOS: Pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Komuniti Serendah akan ditutup mulai esok, maklum Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.

Justeru, individu yang mendapat janji temu di PPV berkenaan diminta hadir ke PPV Bukit Beruntung Golf Club pada 24 Ogos bagi mendapat suntikan pelalian.

Melalui perkongsian infografik di Facebook, PPV Bukit Beruntung Golf Club akan ditutup sehari esok bagi proses penyelarasan semula pengoperasian.

Individu yang menghadapi kesulitan boleh menghubungi PPV Bukit Beruntung Golf Club di talian 019-4037416.

Pada 20 Ogos, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengarahkan 29 PPV di Selangor ditutup secara berperingkat mulai esok hingga September.

Arahan itu berikutan sebanyak 73.8 peratus individu dewasa di Lembah Klang lengkap dua dos vaksin pada 18 Ogos.

Categories
AGENDA NASIONAL

Slot vaksin tanpa janji temu di Serendah ditambah 300 lagi

HULU SELANGOR, 4 OGOS: Slot suntikan tanpa janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Komuniti Serendah akan ditingkatkan kepada 600 sehari berbanding 300 ketika ini.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bagi melancarkan proses suntikan sekali gus melengkapkan kadar vaksinasi di Hulu Selangor yang ketika ini mencatat 60 peratus bagi dos pertama.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan rancangan menambah slot juga sudah dikemukakan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19.

“Jumlah kehadiran di sini agak tinggi malah setiap hari kira-kira 1,500 dos diberi melibatkan individu yang menerima janji temu di aplikasi MySejahtera serta tanpa janji temu,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas meninjau PPV terbabit di sini hari ini turut memuji proses pemberian vaksin yang teratur dan lancar di sebalik kesesakan lalu lintas yang dihadapi.

“Semalam ada khabar kesesakan jalan raya, jadi mungkin perlu ada inisiatif antaranya menyediakan tapak letak kenderaan di padang sekolah berdekatan supaya pengunjung tidak perlu menunggu terlalu lama,” katanya.

Dewan Komuniti Serendah antara 10 PPV terpilih di Lembah Klang untuk pemberian vaksin tanpa janji temu melalui program jangkauan ke kawasan pinggiran Lembah Klang berkuat kuasa 2 Ogos.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata PPV Serendah menghadapi kekurangan bekalan susulan kehadiran penerima yang ramai.