Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tangguh pelaksanaan Program Subsidi Petrol

SHAH ALAM, 30 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengumumkan penangguhan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang dijadual bermula Januari 2020.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penangguhan itu diputuskan Kabinet dalam mesysuarat pada 18 Disember lalu sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

“Hal ini (penangguhan) untuk memberi ruang sesi penerangan dan penjelasan diteruskan dengan tujuan memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat menerima pelaksanaan program PSP ini.

“Proses pendaftaran penerima daripada kelompok M40 akan dikendali Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sementara menunggu konfirmasi pelaksanaan PSP ini diumumkan kemudian, rakyat akan terus menikmati harga petrol seperti sistem sekarang.

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM 2.4 billion dalam Belanjawan 2020 bagi pelaksanaan PSP dengan penerima manfaat seramai 8 juta orang daripada kelompok B40 dan M40.

Categories
AGENDA NASIONAL

Senarai penerima subsidi petrol dijangka keluar Februari depan

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dijangka mengeluarkan senarai muktamad penerima Program Subsidi Petrol (PSP) pada Februari depan, kata Timbalan Menteri berkenaan Chong Chieng Jen.

Beliau berkata pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat kementerian berkenaan menerusi satu kenyataan rasmi setelah pemurnian data itu selesai dilaksanakan.

“Berdasarkan data yang diterima daripada program Bantuan Sara Hidup (BSH) dan disilang semak mengikut data pemilik kenderaan yang diterima daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sejumlah 2.9 juta individu layak menerima bantuan daripada program ini.

“Sementara itu, 346,491 penerima PSP yang layak menyemak dan/atau mengemas kini maklumat akaun bank mereka, manakala 480,317 individu yang tidak layak telah mengemukakan rayuan melalui portal PSP,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datin Rahimah Mahamad yang ingin tahu jumlah berdaftar penerima PSP dan jumlah permohonan rayuan yang diterima bagi memuktamadkan jumlah sebenar penerima subsidi yang layak dalam PSP.

Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin berkata pada masa ini kementerian itu sedang melaksanakan semakan maklumat rayuan yang diterima dengan data daripada program BSH, JPJ dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Katanya tempoh semakan dan rayuan bagi PSP dilakukan melalui portal PSP iaitu sp.kpdnhep.gov.my yang dijalankan pada 15 Oktober hingga 30 November lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program Subsidi Petrol dilaksana 1 Januari 2020

PUTRAJAYA, 7 OKT: Program Subsidi Petrol akan dilaksanakan pada 1 Januari 2020, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Melalui program itu, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali, katanya.

Kadar subsidi adalah sebanyak RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal, katanya pada sidang media mengenai Program Subsidi Petrol di sini hari ini.

Dijangka seramai 2.9 juta bakal menerima manfaat daripada program subsidi berkenaan, katanya.

-BERNAMA