Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pelan pelihara sejarah Kuala Kubu Bharu 2025 dirangka

HULU SELANGOR, 3 FEB: Kerajaan Negeri akan mewujudkan pelan khusus untuk memelihara keunikan serta bangunan bersejarah yang dibina sebelum atau pasca merdeka di daerah ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Rancangan Kawasan Khas Kuala Kubu Bharu 2025 sedang dirangka bagi memastikan usaha memelihara khazanah negeri itu dapat dilaksana segera.

“Elemen warisan boleh didapati di Bukit Fraser, Kalumpang, Kerling dan juga Rasa yang masih memiliki bangunan lama. Bangunan berkaitan mempunyai pengaruh seni bina kolonial dan tempatan.

“Malah Kuala Kubu Bharu juga adalah pusat pentadbiran daerah selain laluan penting menghubungkan Selangor dan Pahang,” katanya pada Majlis Pelancaran Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2035 di Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Amirudin berkata, aspek pembangunan di daerah ini perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana ia adalah pusat tadahan yang membekalkan 60 peratus bekalan air di Lembah Klang.