Categories
SELANGOR

Inisiatif Invest Selangor bantu pesakit down syndrome KIWANIS

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 23 APR: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) mengambil inisiatif bagi membantu pesakit down syndrome KIWANIS (KDSF) melalui acara Selangor Corporate Colour Run 2019 yang bakal dianjurkan pada 17 Ogos depan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Korporatnya, Mohd Azuan Khairoji berkata, selaku penganjur utama acara larian itu, ia adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Invest Selangor di mana sebahagian dana terkumpul akan disumbangkan kepada badan kebajikan Kiwanis Down Syndrome Foundation (KDSF) melalui kategori khas iaitu Corporate Charity Run.

“Sumbagan terbabit akan disalurkan kepada kebajikan yang telah dipilih melalui empat kategori iaitu platinum berjumlah RM30,000, gold (RM20,000), silver (RM10,000) dan bronze (RM5,000).

“Melalui program ini, kita berharap lebih banyak syarikat di Selangor serta anak syarikat Kerajaan Negeri bersedia menjadi penaja bagi program anjuran Invest Selangor dan Kelab Rekreasi Invest Selangor,” katanya.

Turut hadir, duta larian Selangor Corporate Colour Run, Mohd Ridwan Mustafa dan Pengerusi Kiwanis Down Syndrome Foundation-National Centre, Chan Kin Hou bagi mempromosikan acara berkenaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara itu, boleh menghubungi Azrul, Balqis atau Maryani di talian 03-55102005 manakala bagi sesiapa berminat menyertai acara boleh mendaftar secara dalam talian melalui laman sesawang https://www.checkpointspot.asia/

Categories
SUKANKINI

Invest Selangor bakal anjur Selangor Corporate Colour Run

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 23 APR: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) bakal menganjurkan Selangor Corporate Colour Run 2019 edisi pertama dengan kerjasama Kelab Rekreasi Invest Selangor (KRIS) di Stadium Shah Alam, di sini, pada 17 Ogos depan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Korporatnya, Mohd Azuan Khairoji berkata, tujuan utama program itu dianjurkan adalah bagi meningkatkan tahap kesihatan masyarakat dan komuniti perindustrian di Selangor.

“Acara ini adalah landasan ideal di mana ianya baik bagi meningkatkan kesihatan tubuh badan supaya menjadi lebih sihat untuk semua lapisan umur.

“Menerusi larian ini, kita dapat merapatkan hubungan di antara Kerajaan Negeri dan komuniti perindustrian melalui persaingan sihat,” katanya.

Selain itu, larian terbabit dibahagi kepada dua kategori iaitu terbuka kepada awam melalui acara Competitive Run sejauh 5kilometer (km) dan kepada ketua pegawai eksekutif dan pihak pengurus syarikat serta penaja (3km).

“Kita menyasarkan seramai 3,000 peserta bagi mewakili pelbagai korporat dan komuniti perindustrian serta masyarakat khususnya di Selangor.

“Peserta turut dibekalkan t-shirt, medal, sijil penyertaan ‘running bib’ dan ‘sling bag’ selepas menamatkan larian terbabit selain berpeluang memenangi cabutan bertuah sebuah motosikal,” katanya.

Pendaftaran dibuka pada 7 Mac lalu hingga 20 Mei depan bagi kategori 5km dengan bayaran sebanyak RM55.00 (early bid) daripada harga biasa RM65.00.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara itu, boleh menghubungi Azrul, Balqis atau Maryani di talian 03-55102005 manakala bagi sesiapa berminat menyertai acara boleh mendaftar secara dalam talian melalui laman sesawang https://www.checkpointspot.asia/