Categories
SELANGOR

Selangor Kekal Pilihan Pelabur

SHAH ALAM 12 Jan : Selangor sinonim dengan imej negeri maju dan kaya pelaburan. Akan tetapi sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pentadbiran pada Mac 2008, pelbagai pihak mendakwa iklim pelaburan negeri merudum.

Dalam wawancara eksklusif bersama TVSelangor, Pegawai Eksekutif Pusat Pelaburan Negeri Selangor(SICC), Datuk Mhd Jabar Ahmad Kembali menjelaskan bagaimana tanggapan tersebut tidak benar sama sekali.

Katanya, kemerosotan yang didakwa pihak tertentu itu disifatkan sebagai andaian yang tidak tepat bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan tidak benar sama sekali.

Ini kerana menurutnya, pelabur asing mahupun tempatan masih meletakkan kepercayaan untuk melabur di negeri ini, bahkan statistik jelas menunjukkan Selangor sehingga kini masih berada di tempat ketiga teratas sejak tahun 2008.

“Pelabur masih mengekalkan pelaburan mereka di Selangor. Kalau dilihat daripada statistik yang diberikan kepada SSIC, Selangor berjaya menungguli negeri-negeri lain dengan 218 projek.
“Bagaimanapun, kita juga mempunyai cadangan dan pandangan dalam usaha menimbangkan antara pelaburan domestik dan antarabangsa supaya ia selari,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jabar memaklumkan kerajaan negeri tidak memberi sebarang insentif kepada pelabur luar memandangkan ia tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, kerajaan Selangor bertindak menyelenggarakan dan menaik taraf infrastruktur di kawasan perindustrian serta menyediakan kawasan perindustrian yang kondusif, mempercepatkan proses kelulusan permohonan seperti permohonan Sijil Layak Menduduki, Permohonan Kelulusan Pelan Bangunan dan sebagainya.

Selain itu, kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan turut dipertingkatkan selain membuat pemantauan lebih kerap terhadap projek-projek pelaburan asing dan tempatan yang sedang dilaksanakan.

“Kita telah memberi kelulusan dengan cepat kepada pelabur-pelabur ini. Jadi, apabila kita berbuat demikian, pelabur itu tadi akan menyarankan kepada pelabur-pelabur lain bahawa Selangor komited dan pantas memberi kelulusan. Secara tidak langsung, pelabur-pelabur itu juga turut menjadi jurucakap kita di luar negara.

“Selain itu, perkhidmatan dan servis yang ditawarkan di Selangor juga cekap dan tangkas. Ini kerana, pelabur-pelabur ini perlu diberi perhatian untuk mengelakkan masalah lain berlaku kelak,” menurutnya lagi.

Ketika ditanya tentang sasaran mahupun perancangan pelaburan di Selangor untuk tahun 2012, Jabar menjelaskan tahun ini sasarannya adalah tertumpu kepada sektor perkhidmatan supaya ia berkembang selaras dengan kemajuan yang dikecapi Selangor selain turut mengekalkan industri sedia ada di negeri ini.

Tambahnya, berdasarkan pelaburan sedia ada ini, tawaran pekerjaan juga akan terbuka lebih luas selain menggalakkan migrasi antara negeri ke negeri sekaligus berupaya memajukan kawasan-kawasan tempatan.

“Pada tahun 2011, kerajaan mensasarkan pelaburan sebanyak RM10 bilion, jadi kita berharap sasaran itu akan dapat dicapai. Kita sentiasa positif dan berharap sektor pelaburan di Selangor akan terus bertambah memandangkan Selangor memerlukan pelaburan untuk memajukan negeri ini dan juga untuk kepentingan rakyat bagi mendapat pekerjaan,” katanya.

Berdasarkan statistik sepanjang Januari hingga Oktober 2011 Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM6.8 bilion.

Menurut Jabar, daripada jumlah itu, pelaburan asing di negeri ini mencatat sebanyak RM3.7 bilion sementara pelaburan domestik mencatat sejumlah RM3 bilion dan 218 projek diluluskan dengan 15,415 peluang pekerjaan diwujudkan.

Beliau berkata, sektor elektrik dan elektronik antara penyumbang utama dalam meningkatkan jumlah pelaburan asing ke negeri ini, iaitu sebanyak RM1.17 bilion, diikuti dengan sektor pembuatan makanan RM734 juta, pengeluaran produk bahan asas RM672 juta, serta kelengkapan pengangkutan RM237 juta, dalam tempoh sama.

“Berdasarkan statistik pelaburan bermula Jun sehingga Oktober 2011, negara Jepun mencatatkan pelaburan tertinggi di Selangor sebanyak RM1.2 bilion dan 24 projek diluluskan dengan mewujudkan 1,307 peluang pekerjaan,” katanya.

Jelasnya, peningkatan itu selaras dengan dasar kerajaan negeri bagi memastikan iklim pelaburan kondusif melalui dasar-dasar pelaburan yang telus untuk memberi keyakinan kepada pelabur.

Katanya, konsep mesra pelabur yang dijalankan seperti kekerapan mengadakan lawatan ke tapak-tapak projek industri secara berkala bagi mendapatkan maklum balas dan menyelesaikan masalah dihadapi pihak industri antara bentuk bantuan sokongan yang diberikan kepada sektor di bawah seliaan kerajaan negeri.

“Negeri Selangor sentiasa mengamalkan dasar mesra pelabur di mana menerusi dasar ini, kita memberi fokus kepada pelanggan (pelabur). Oleh itu, apa yang kita laksanakan sebelum ini memberikan kesan pada masa sekarang.

“Kedua, melalui program-program yang dilancarkan kerajaan negeri seperti mesyuarat di tapak-tapak industri yang menjadi salah satu dasar yang membantu pengusaha untuk datang ke Selangor. Malah ada di antara pelabur ini juga mengambil pendekatan dengan mewujudkan program di antara industri,” ujar Jabar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.